اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #895 : HUKUM MENJADI SAKSI PERNIKAHAN BUKAN ISLAM

af895 compressed

 

Soalan:

Apakah hukum seseorang islam itu menjadi saksi kepada pernikahan rakannya yang bukan islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, isteri-isteri dan para sahabat seterusnya mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Para ulama menyimpulkan, harus bagi seorang Islam untuk menjadi saksi bagi akad yang dimeterai antara orang kafir. Berkata Syeikh al-Bujairimi Rahimahullah dalam Tuhfah al-Habib (4/427) bahawa Hukum Syarak tidak menerima penyaksian orang kafir dalam akad-akad orang Islam. Pada awalnya, penyaksian orang kafir itu diharuskan, kemudian dinasakhkan berdasarkan firman Allah Taala:

وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِن رِّجَالِكُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu.”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ayat daripada (kalangan kamu) bermaksud; kaum Muslimin. Adapun firman Allah Taala:

أَوْ آخَرَانِ مِنْ غَيْرِكُمْ

Maksudnya: “atau dua orang lain (yang bukan seugama) dengan kamu.”

(Surah al-Maidah: 106)

Maka dijawab maknanya orang selain daripada keluarga kalian, atau ayat ini mansukh dengan ayat:

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu.”

(Surah al-Talaq: 2)

Begitu juga hadis Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

وَلَا تَجُوزُ شَهَادَةُ مِلَّةٍ عَلَى مِلَّةٍ إِلَّا أُمَّتِي , تَجُوزُ شَهَادَتُهُمْ عَلَى مَنْ سِوَاهُمْ

Maksudnya: “Dan tidak harus penyaksian satu millah (agama) atas millah yang lain melainkan umatku. Diharuskan penyaksian mereka atas selain daripada mereka.”

Riwayat al-Baihaqi (20618) dengan sanad yang daif.

Begitu juga fatwa Lajnah Daimah al-Ifta wa al-Buhuth Kerajaan Arab Saudi memutuskan dalam no. fatwa (16010) :

“Penyaksian orang Islam terhadap akad-akad orang kafir itu padanya ada tafsil (perincian). Sekiranya akad-akad mereka itu akad yang batal (di sisi Islam) seperti akad-akad riba, perkahwinan antara mahram, maka tidak diharuskan bagi Muslim untuk menjadi saksi terhadap akad tersebut. Namun sekiranya akad-akad itu adalah sahih maka tiada masalah untuk menjadi saksi nikah atau selainnya.”

Justeru, kami cenderung kepada pendapat bahawa diharuskan seorang Muslim menjadi saksi nikah bagi akad nikah orang bukan Islam, sepertimana diharuskan mereka menjadi saksi dalam akad-akad muamalat yang tidak bertentangan dengan Syarak seperti akad riba dan perkahwinan antara mahram. Wallahua’lam.