اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL KAFI #902 : HUKUM MENCELA HUJAN

AL KAFI 902

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t tuan. Sekarang merupakan musim hujan dan kita mendapati ramai yang mengeluh bahkan sehingga ada yang mencela hujan itu sendiri kerana pada pandangan mereka menyebabkan terganggunya pekerjaan dan tergendalanya urusan-urusan seharian disebabkan hujan. Mohon pandangan.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T, selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, hujan boleh dikatakan mempunyai musimnya yang tersendiri di sesebuah kawasan dan tempat. Di Malaysia sebagai contohnya, Jabatan Meterologi menyatakan bahawa berlakunya Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac. Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.[1]

Justeru, kadar curahan hujan pada waktu-waktu sebegini adalah lebih tinggi berbanding waktu-waktu selainnya di Malaysia. Ini samalah keadaannya seperti musim syita’ (sejuk) yang berlaku di negara-negara timur tengah kerana pada masa tersebutlah kebiasaannya hujan turun dengan kadar yang tinggi.

Maka mencela hujan pada hakikatnya adalah suatu celaan pada musim atau waktu tertentu. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى يُؤْذِينِي ابْنُ آدَمَ، يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ، بِيَدِي الأَمْرُ، أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

Maksudnya: Allah S.W.T berfirman: Anak Adam menyakiti Aku. Dia mencela masa sedangkan Aku adalah masa. Di tangan-Ku ada segala urusan. Aku lah yang membolak-balikkan siang dan juga malam.

Riwayat Al-Bukhari (7491)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani apabila dalam syarahan beliau ke atas hadis ini menukilkan kata-kata Imam Al-Khattabi yang menyebut: Maksud hadis ini adalah: ‘’Aku (Allah) merupakan pemilik kepada masa serta pentadbir segala perkara yang mereka nisbahkan kepada masa’’. Maka sesiapa yang mencela masa dengan sebab ia yang melakukan perkara-perkara ini, maka celaannya itu tadi kembali kepada Tuhan masa yang melakukan hal tersebut. Sesungguhnya Al-Dahr adalah masa yang dijadikan zharaf bagi perkara-perkara yang berlaku. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (8/437).

Hadis ini adalah petunjuk yang jelas bahawasanya mencela masa adalah sama seperti mencela Tuhan kepada masa iaitu Allah. Maka hukum perbuatan ini adalah jelas akan keharamannya. Riwayat yang lebih jelas dalam menyatakan keharaman perbuatan ini adalah sebuah hadis riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ تَسُبُّوا الدَّهْرَ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الدَّهْرُ

Maksudnya: Janganlah kamu mencela masa kerana sesungguhnya Allah merupakan masa.

Riwayat Muslim (2246)

Pada hadis ini La Al-Nahiyah (larangan) yang membawa hukum haram di sisi ilmu usul feqh.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa hukum mencela hujan adalah haram. Ini kerana Allah S.W.T yang menurunkan hujan dan mencela hujan hakikatnya adalah mencela zat yang menurunkannya iaitu Allah. Secara asasnya hujan merupakan salah satu nikmat daripada Allah S.W.T. Bahkan menjadi suatu sunnah bagi seorang muslim itu apabila melihat turunnya hujan untuk berdoa :

 اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَيِّبًا نَافِعًا

Maksudnya: Ya Allah jadikanlah ia hujan yang bermanfaat.

Riwayat Al-Nasai (1523)

Maka inilah adab yang diajarkan dalam sunnah nabawiyyah untuk kita ini sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T supaya menjadikan sesuatu yang berlaku itu sebagai bermanfaat. Ini adalah lebih utama dalam mendatangkan sifat redha seorang hamba kepada Allah terhadap setiap perbuatan-Nya yang sudah pastinya didasarkan kepada hikmah dan rahmah kepada sekalian makhluk-Nya.

Bahkan hukum haram ini tidak terbatas kepada mencela hujan semata-mata. Bahkan menganggap sial dan mencela sesuatu masa seperti hari, bulan, atau tahun tertentu, ataupun mencela musim kemarau yang panjang, maka hukumnya juga adalah haram kerana Allah S.W.T lah yang mengurus tadbir kesemuanya ini.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat http://www.met.gov.my/pendidikan/cuaca/fenomenacuaca