اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #908 : HUKUM MENJUAL AIR MAWAR DAN BUNGA SEGAR DI KUBURAN

af908 compressed

SOALAN:

Salam. Apakah hukum berniaga di kawasan kuburan khususnya jualan air mawar @ bunga-bungan?

JAWAPAN:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Air mawar dan bunga-bungaan bukanlah termasuk dalam item yang diharamkan untuk dijual-beli. Justeru, pada asalnya hukum menjual air mawar dan bunga-buangaan di kuburan, dan tempat-tempar lain, adalah harus.

Berkenaan menyiram air mawar dan menabur bunga di atas kuburan, maka kami telah menjawabnya dalam Irsyad Hukum Ke-78: Hukum Menjirus Air Mawar Ke Atas Kubur dengan menyatakan hukumnya adalah makruh disisi ulama jika melibatkan unsur pembaziran. Sebahagian ulama seperti Imam al-Isnawi mengganggapnya sebagai haram, namun dijawab oleh Imam al-Subki sebagai tidak haram, bahkan tidak makruh sekiranya digunakan sedikit sahaja untuk tujuan mengharumkan kubur supaya disukai malaikat.

Berkata Syeikh Sulaiman al-Jamal:

(قَوْلُهُ وَيُكْرَهُ رَشُّهُ بِمَاءِ الْوَرْدِ) أَيْ؛ لِأَنَّهُ إضَاعَةُ مَالٍ وَإِنَّمَا لَمْ يَحْرُم؛ لِأَنَّهُ يُفْعَلُ لِغَرَضٍ صَحِيحٍ مِنْ إكْرَام الْمَيِّت وَإِقْبَالِ الزُّوَّارِ عَلَيْهِ لِطِيبِ رِيحِ الْبُقْعَةِ بِهِ فَسَقَطَ قَوْلُ الْإِسْنَوِيِّ، وَلَوْ قِيلَ بِتَحْرِيمِهِ لَمْ يَبْعُدْ وَيُؤَيِّدُ مَا ذَكَرَهُ قَوْلُ السُّبْكِيّ لَا بَأْسَ بِالْيَسِيرِ مِنْهُ إذَا قُصِدَ حُضُورُ الْمَلَائِكَةِ؛ لِأَنَّهَا تُحِبُّ الرَّائِحَةَ الطَّيِّبَةَ

Maksudnya: “[Berkata Syeikh al-Islam: Makruh menyiram kubur dengan air mawar] kerana hal itu adalah penghamburan/pembaziran harta. Namun tidak haram kerana memiliki tujuan yang betul, iaitu memuliakan si mati dan menyambut kedatangan penziarah kubur dengan mengharumkan kawasan kubur. Oleh itu gugurlah pendapat al-Isnawi: “Andai dikatakan haram sekalipun, itu tidak jauh daripada pendapat yang tepat”. Keharusan ini diperkuat dengan pendapat al-Subki: “Tiada masalah hukumnya, jika air mawarnya sedikit itu, untuk tujuan hadirnya malaikat yang mana mereka senang dengan bauan yang harum.”

Rujuk Hasyiah al-Jamal (2/208)

Amalan menabur bunga di atas kubur ini diharuskan dengan kaedah qias terhadap hadis pelepah tamar yang masyhur. Daripada Abdullah bin Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda ketika melalui dua buah kubur yang sedang diseksa:

إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً فَشَقَّهَا بِنِصْفَيْنِ ثُمَّ غَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا فَقَالَ: "لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا".

 

Maksudnya: “Sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa tetapi bukanlah kerana mereka melakukan dosa yang besar. Seorang daripadanya diseksa kerana tidak mencuci air kencingnya dengan betul dan seorang lagi diseksa kerana sentiasa berjalan bagi tujuan mengadu domba. Kemudian baginda mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu mematahkannya menjadi dua. Setelah itu baginda menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua”. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, mengapa engkau melakukan hal sedemikian?”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Semoga dengan pelepah ini dapat meringankan seksanya selagimana ia belum kering”.

Riwayat al-Bukhari (no. 218)

Imam al-Bukhari telah memasukkan sebuah athar daripada Buraidah dan juga Ibn Umar R.anhuma di dalam salah sebuah bab di dalam kitabnya Sahih al-Bukhari:

وَأَوْصَى بُرَيْدَةُ الأَسْلَمِيُّ: "أَنْ يُجْعَلَ فِي قَبْرِهِ جَرِيدَانِ" وَرَأَى ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فُسْطَاطًا عَلَى قَبْرِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ فَقَالَ: "انْزِعْهُ يَا غُلاَمُ فَإِنَّمَا يُظِلُّهُ عَمَلُهُ.

Maksudnya: “Buraidah al-Aslamiy telah berwasiat agar diletakkan di atas kuburnya dua pelepah tamar dan Ibn Umar telah melihat sebuah khemah di atas kubur Abdul Rahman lalu memerintahkan agar ianya dicabut dengan berkata: “Cabutlah ia wahai budak, kerana yang akan melindunginya adalah amalannya”.

Riwayat al-Bukhari (209)

Para ulama Syafieyyah bahawa hukum meletakkan pelepah tamar dan bunga-bunga yang segar dan harum adalah disunatkan. Berkata Syeikh al-Khatib al-Syirbini:

وَيُسَنُّ أَيْضًا وَضْعُ الْجَرِيدِ الْأَخْضَرِ عَلَى الْقَبْرِ وَكَذَا الرَّيْحَانُ وَنَحْوُهُ مِنْ الشَّيْءِ الرَّطْبِ وَلَا يَجُوزُ لِلْغَيْرِ أَخْذُهُ مِنْ عَلَى الْقَبْرِ قَبْلَ يُبْسِهِ لِأَنَّ صَاحِبَهُ لَمْ يُعْرِضْ عَنْهُ إلَّا عِنْدَ يُبْسِهِ لِزَوَالِ نَفْعِهِ الَّذِي كَانَ فِيهِ وَقْتَ رُطُوبَتِهِ

Maksudnya: “Disunatkan meletakkan pelepah (kurma) yang hijau (basah) di atas kubur, begitu juga tumbuh-tumbuhan yang berbau harum dan yang seumpama dengannya yang masih basah dan tidak dibolehkan bagi orang lain untuk mengambilnya dari atas kubur sebelum ianya kering kerana pemiliknya tidak akan berpaling daripadanya kecuali setelah ianya kering disebabkan telah hilangnya manfaatnya tidak seperti ketika ia masih basah."

Rujuk Mughni al-Muhtaj (2/56)

Maka jelaslah hukum menyiram air mawar adalah dimakruhkan, bahkan diharuskan oleh sebahagian ulama jika sedikit jumlahnya dan bertujuan yang mewangikan kubur, dan menabur bunga segar adalah diharuskan. Namun begitu perlulah kita memiliki aqidah yang sahih dalam perkara ini, iaitu ini hanyalah merupakan ikhtiar kita dengan menggunakan sebab-sebab yang dibenarkan Syarak. Hanya Allah SWT yang memberi manfaat dan darurat kepada siapa yang Dia kehendaki. Apabila diharuskan hukum menyiram air mawar dan bunga-bungaan, maka harus jualah jual belinya.

Walau bagaimanapun, keharusan itu hendaklah terikat dengan perkara-perkara berikut:

  • Tidak dibenarkan menjalankan perniagaan menjual air mawar dan bunga-bungan di dalam kawasan kubur kerana kawasan itu bukan dibina untuk aktiviti perniagaan. Hendaklah dijual di luar kawasan kubur.
  • Hendaklah penjualan dilakukan berdasarkan keperluan sahaja dan tidak berlebihan sehingga mendatangkan mudarat. Contohnya, sehingga pandangan serong dan fitnah kepada agama.

Wallahua’lam.