اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #929: HUKUM GAJI BEKERJA SEBAGAI STAF DI SYARIKAT PENERBANGAN YANG MENGHIDANGKAN ARAK

AK929.png

SOALAN

Saya ingin mendapatkan penjelasan dari segi hukum syarak berkaitan hukum pendapatan yang kami dapat dengan bekerja di syarikat penerbangan tetapi bukan krew penerbangan tapi sekadar staff di bahagian audit. Ini kerana, pendapatan syarikat adalah dari hasil penerbangan dan di dalam penerbangan terdapat penjualan arak. Jadi bagaimana dengan status pendapatan kami? Apa tindakan kami sekiranya pendapatan itu tidak halal?

Mohon perincian dari SS Dato’ Seri Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Suka untuk kami tegaskan disini bahawa mencari yang halal adalah satu tuntutan dan menjadi kewajipan dalam agama Islam. Firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A’raf : 157)

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan, benda yang baik adalah perkara yang disukai jiwa dan fitrah yang murni. Sementara sesuatu yang buruk dari sudut harta adalah segala sesuatu yang diambil dengan cara yang tidak sah seperti riba, suap, mencuri, merampas dan cara-cara keji yang lain. (Rujuk Tafsir al-Munir, 5/124)

Isu-isu yang berkaitan dengan persoalan di atas telah dijawab dalam artikel-artikel yang terdapat dalam laman web kami seperti berikut:

  • Al-Kafi #441 : Hukum Pendapatan Yang Diperoleh Ketika Solat Jumaat

Sila lihat di pautan berikut: https://bit.ly/2FGdtv9

  • Al-Kafi #509: Hukum Bekerja Di Kedai Serbaneka Yang Menjual Arak

Sila lihat di pautan berikut: https://bit.ly/2DIER92

  • Al-Kafi #681: Hukum Pendapatan Yang Dijana Daripada Syarikat Yang Tidak Berstatus Sijil Halal

Sila lihat di pautan berikut: https://bit.ly/2Kze28w

Menjawab kepada isu di atas, hukum hasil pendapatan dari pekerjaan sebagai staf di syarikat penerbangan yang terdapat padanya penjualan arak adalah harus dan boleh diambil. Ini kerana, kami melihat keuntungan utama syarikat adalah melalui aktiviti utamanya iaitu perkhidmatan penerbangan yang disediakan yang merupakan mualamah yang harus di sisi syarak. Manakala hidangan arak yang terdapat semasa penerbangan adalah sebagai satu sampingan. Justeru nisbah peratusan keuntungan melalui hidangan arak adalah terlalu kecil jika dinisbahkan dengan keuntungan utama syarikat.

Namun begitu, sebagai satu langkah berjaga-jaga, sebaiknya kita meninggalkan segala perkara yang tidak diyakini kehalalannya dalam menjaga agama Islam itu sendiri. Sabda Nabi SAW:

فَمَنْ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang  syubhah (samar-samar), itu bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan maruah dirinya.

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

KESIMPULAN

Kami berpandangan bahawa harus untuk mengambil dan menggunakan hasil gaji dari pekerjaan sebagai staf di syarikat penerbangan yang terdapat di dalamnya hidangan arak. Hal ini kerana, keuntungan utama syarikat adalah melalui perkhidmatan penerbangan dan bukanlah melalui hidangan arak yang merupakan sejuzuk kecil dari keuntungan syarikat. Namun begitu, sebaiknya dan afdhal untuk kita mengambil pendekatan yang warak dengan meninggalkan pekerjaan tersebut dan mencari pekerjaan yang tidak terdapat keraguan padanya. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkan apa yang kamu ragui kepada apa yang tidak kamu ragui”

Riwayat al-Tirmizi (2442) dan al-Nasa’i (5711)

Semoga dengan penjelasan ini, memberikan kefahaman dan kekuatan kepada kita semua untuk mempelajari serta memahami ilmu agama Islam dengan lebih baik. Amin.