اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #945: NIAT SOLAT: SEBELUM ATAU SEMASA TAKBIR?

niat solat.JPG

Soalan

Assalamualaikum Dato Seri Mufti, adakah niat solat dilakukan sebelum takbir, atau semasa takbir?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Niat ditakrifkan sebagai:

قَصْدُ الشَيْءِ مُقْتَرِنًا بِفِعْلِهِ ، وَمَحَلُّهَا القَلْبُ

Maksudnya: Memaksudkan melakukan sesuatu yang disertai dengan pekerjaan. Dan tempat niat adalah di dalam hati. (Lihat Fath al-Qarib, hlm. 75)

 

Berkenaan dengan persoalan di atas, kami nukilkan beberapa pendapat ulama’ al-Syafi’e antaranya:

  • Kata Imam al-Nawawi: “Niat itu di dalam hati. Dan sunat (mandub) mengucapkannya sebelum takbir.” (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/343)
  • Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Sunat (mandub) mengucapkan apa yang diniatkan seketika sebelum takbir, agar lidah dapat menolong hati, juga kerana ada yang mewajibkannya, dan juga diqiyaskan kepada apa yang terjadi dalam mengerjakan haji.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, Juzuk 2).
  • Kata Imam al-Ramli: “Sunat mengucapkan yang diniatkan itu seketika sebelum takbir, supaya lidah dapat menolong hati, untuk menjauhkan was-was dan tidak terlalu jauh dari ulama’ yang memfatwakan kewajibannya.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/340)
  • Kata Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari: “Mengucapkan niat itu seketika sebelum takbir, supaya bacaan dapat menolong hati.” (Lihat Fath al-Wahab, Jilid 1)
  • Kata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “Sunat mengucapkan yang diniatkan sebelum takbir, supaya bacaan dapat menolong hati, dan supaya tidak terlalu jauh dari fatwa mereka yang memfatwakan wajib.” (Lihat Fath al-Mu’in, Bab Solat).

 

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelas menunjukkan niat boleh didahulukan daripada takbir. Begitu juga, niat tempatnya di dalam hati tetapi melafazkan dengan lidah bagi menghadirkan hati adalah dibolehkan mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulama’ Syafi’iyyah.

 

Semoga pencerahan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita semua dalam melaksanakan ibadat seperti solat dengan sempurna. Amin.