Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah maksud sebenar tafsiran ayat ketiga dari Surah al-Nasr: “إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا” yang maksudnya: “Sesungguhnya Dia amat menerima taubat”?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Berkenaan Surah al-Nasr ini, al-Nasa'ie meriwayatkan daripada 'Ubaidillah bin 'Abdullah bin 'Utbah, dia berkata: "Ibnu Abbas pernah berkata kepadaku: "Wahai Ibnu Utbah, apakah engkau tahu akhir surah al-Quran yang diturunkan?" “Ya, "إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّـهِ وَالْفَتْحُ" [Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah)]” Jawabku. Dia pun berkata, "Engkau benar."
Dua orang hafiz, Abu Bakar al-Bazzar dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma, dia berkata: "Surah ini turun kepada Rasulullah SAW di pertengahan hari-hari Tasyriq, sehingga Baginda mengetahui bahawa ia merupakan surah yang terakhir. Kemudian Baginda memerintahkan binatang tunggangannya, al-Quswa untuk melakukan perjalanan, maka unta Baginda pun berangkat. Selanjutnya, Baginda berdiri dan berkhutbah kepada orang ramai. Lalu disebutkan khutbah Baginda yang sangat terkenal tersebut. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/567)
Menjawab persoalan di atas, berkenaan ayat ketiga dari surah al-Nasr, firman Allah SWT:
إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
Maksudnya: Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
(Surah al-Nasr: 3)
Al-Qurtubi Rahimahullah berkata:
(إِنَّهُ كانَ تَوَّاباً): أَيْ عَلَى الْمُسَبِّحِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ، يَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَيَرْحَمُهُمْ، وَيَقْبَلُ تَوْبَتَهُمْ
Maksudnya: Firman Allah SWT: (إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا) “Sesungguhnya Dia amat menerima taubat,” iaitu ke atas orang-orang yang bertasbih dan memohon keampunan, Dia mengampunkan mereka dan melimpahkan rahmat-Nya serta menerima taubat mereka. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/233)
Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Menerima Taubat hamba-Nya kerana Dia mendidik jiwa manusia dengan pelbagai cubaan. Jika jiwa itu lemah, maka digugah untuk mencari kekuatan, dikuatkan kemahuannya dengan janji yang baik. Hal seperti ini berterusan sehingga jiwa manusia mencapai darjat kesempurnaan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7730)
Kami tutupi tafsiran surah ini dengan kenyataan Sayyid Qutb: Inilah adab sopan Nabi Muhammad SAW di sepanjang hidupnya dan dalam masa mendapat pertolongan dari Allah dan mencapai kemenangan menakluk Mekah, Baginda membongkok di atas belakang untanya kerana bersyukur kepada Allah dan memasuki negeri Mekah dalam keadaan seperti itu. Sedangkan negeri itulah yang telah menyakitinya, mengusirnya keluar, memeranginya dan menentang dakwahnya dengan penuh kedegilan.
Apabila tiba pertolongan dari Allah dan terlaksana kemenangan menakluk Mekah, Baginda melupakan kegembiraan mendapat kemenangan dan terus membongkok bersyukur kepada Allah, bertasbih, bertahmid dan beristighfar sebagaimana yang diajar oleh Tuhannya. Baginda bertasbih, bertahmid dan beristighfar begitu banyak sebagaimana yang diceritakan oleh hadith-hadith. Dan itulah sunnah yang diikuti oleh para sahabat selepas R.Anhum ajma’in.
Demikianlah terangkatnya manusia dengan keimanan mereka kepada Allah. Demikianlah jiwa mereka memancar dengan gemilang, melembut halus dan terbang bebas. Demikianlah mereka berjaya sampai kepada darjat kebesaran, kekuatan dan kebebasan. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 17/579-580)
Semoga Allah SWT menjadikan kita dari kalangan hamba-hamba-Nya yang bertaubat.