اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #980: SOLAT SUNAT TAHIYYATUL MASJID ATAU JAWAB AZAN

jawab azan.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Ketika saya sampai ke masjid, azan Subuh berkumandang. Bolehkah saya terus solat Tahiyyatul Masjid atau jawab azan. Kalau selepas azan itu, saya terus solat sunat Subuh tanpa solat sunat Tahiyyatul masjid, adakah saya sudah dikira menunaikan solat Tahiyyatul Masjid?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertamanya, saya mengucapkan syabas kepada anda kerana melazimi masjid untuk solat berjemaah sekalipun membelah kegelapan malam di waktu subuh sedangkan ramai insan tidak mampu untuk melangkahkan kaki ke masjid ketika itu.

Saya mulakan jawapan ini dengan menukilkan hadis daripada Abi Sa’id R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ فَإِنَّ اللَّهَ قَالَ : إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ 

Maksudnya: Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa menuju ke masjid, maka saksikanlah baginya mempunyai iman. Ini kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang mengimarahkan masjid-masjid Allah adalah orang yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat.

Riwayat Ahmad (11725), al-Tirmizi (3093)
dan al-Darimi (1223)

 

Keduanya, apabila anda sampai ke masjid sedangkan azan Subuh sedang berkumandang, makanya lebih baik dan afdhal bagi anda menjawab azan dahulu. Ini kerana arahan untuk kita menjawab azan. Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ ما يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar azan ucaplah sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin.”

Riwayat al-Bukhari (586) dan Muslim (383)

Kemudian bagi anda dua pilihan:

  • Pertamanya, solatlah Tahiyyatul Masjid dahulu. Ini jika terdapat keluasan masa. Ini juga sebagai penghormatan kepada masjid. Tahiyyatul Masjid ialah solat dua rakaat yang dilakukan oleh setiap orang yang masuk ke dalam masjid sebelum dia duduk. Hal ini berdasarkan hadith:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّىَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, janganlah duduk sehingga dia bersolat sebanyak dua rakaat.”

Riwayat al-Bukari (433) dan Muslim (714)

Kemudian selepas itu, solatlah sunat Subuh. Ini kerana fadilat Solat sunat Subuh adalah besar sebagaimana hadis Aisyah R.Anha, katanya:

لَمْ يَكُنِ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَىْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَىِ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Nabi SAW sangat mengambil berat dan menjaga dua rakaat Solat Sunat Fajar, lebih daripada solat sunat yang           lain.”

                        Riwayat al-Bukhari (1116) dan Muslim (724)

  • Keduanya, jika masa sempit, maka bolehlah solat Tahiyyatul Masjid atau solat sunat Subuh kerana kedua-duanya akan memadai antara satu sama lain. Ini juga dikenali sebagai masalah indiraj.

 

Guru kami Syeikh Mustafa al-Khin berkata: Tahiyyatul Masjid terhasil dengan sendirinya apabila melakukan solat fardhu atau solat-solat sunat yang lain. Tujuannya ialah supaya seseorang itu tidak harus duduk di dalam masjid tanpa bersolat terlebih dahulu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/525)

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan agama Islam dan seterusnya dapat melaksanakannya. Amin.