اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #985: SIAPA YANG BINA KA’BAH?

kaabah.JPG

 

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Dalam al-Quran, disebut bangunan yang mula-mula dibina adalah Ka’bah. Adakah Nabi Adam atau Nabi Ibrahim yang bina?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

(Surah Ali Imran: 96)

Imam Badr al-Din al-‘Aini dalam kitabnya Umdah al-Qari berkata: Para ulama’ telah khilaf siapa yang pertama membina Ka’bah:

  • Ada pendapat menyebut, malaikatlah yang pertama membinanya untuk mereka tawaf kerana takut kepada Allah ketika mana mereka berkata, mafhumnya: “Adakah Kamu mahu menciptakan Adam sebagai khalifah yang merosakkan di muka bumi dan menumpahkan darah?”
  • Ada pendapat mengatakan Nabi Adam AS. Inilah yang disebut oleh Ibn Ishaq.
  • Ada juga pendapat yang menyatakan Nabi Shi’th AS yang mula membinanya. (Lihat Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 16/288)

Menurut riwayat Abu al-Walid al-Azraqi dalam kitabnya Akhbar Makkah, Ka’ab al-Ahbar telah berkata bahawa Kaabah ialah buih yang terapung di atas air selama empat puluh tahun sebelum Allah SWT menjadikan langit dan bumi dan daripadanya dihamparkan kejadian bumi.

Mujahid berkata: “Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan tapak rumah ini (Kaabah) 2000 tahun sebelum dijadikan bumi dan asas (tapak) binaannya berada di lapisan bumi yang ketujuh.

Pembinaan Kaabah telah melalui beberapa peringkat. Riwayat berkenaan pembinaan ini sebahagiannya telah sabit dengan dalil yang terang dan jelas dan sebahagiannya pula hanya berdasarkan catatan ahli sejarah.

Berikut ialah sejarah pembinaan Kaabah secara ringkas:

Pertama: Binaan Malaikat

Al-Azraqi meriwayatkan kepada Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Husain, beliau berkata bahawa Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi.” Kemudian para malaikat bertanya: “Adakah Tuhan kami hendak menjadikan di bumi orang yang akan melakukan kerosakan?”

Setelah itu mereka berasa bersalah dan takut dimurkai oleh Allah SWT, lalu mereka bertawaf di sekililing Arasy untuk memohon ampun kepada-Nya. Kemudian Allah menjadikan di bawah Arasy sebuah rumah iaitu Bait al-Ma’mur lalu berfirman kepada malaikat agar bertawaf di rumah itu dan bukan lagi di Arasy. Kemudian Dia mengutuskan para malaikat supaya membina baitullah di bumi supaya makhluk di bumi dapat melakukan tawaf sebagaimana makhluk di langit bertawaf di Bait al-Ma’mur.

Kedua: Binaan Nabi Adam AS

Al-Azraqi meriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Semasa Adam AS diturunkan dari syurga dan sampai ke bumi, baginda telah berkata: “Wahai Tuhan, mengapa aku tidak mendengar lagi suara malaikat?” Allah SWT berfirman: “Semuanya kerana kesalahan engkau wahai Adam.” Kemudian Allah SWT memerintahkan supaya baginda membina Kaabah dan bertawaf mengelilinginya sebagaimana malaikat mengelilingi Arasy. Adam berjalan menuju ke tapak pembinaan Kaabah.

Bumi telah dikecilkan oleh Allah dan tempoh perjalanannya menjadi pendek. Setiap tempat dipijak oleh Adam akan dijadikan oleh Allah SWT sebagai kawasan yang subur dan berpenghuni. Apabila sampai di Makkah, malaikat Jibril AS memukul dengan sayapnya di tapak pembinaan Kaabah dan malaikat membawa batu kepadanya untuk dibina Kaabah. Bahan binaannya terdiri daripada batu yang diambil daripada lima gunung iaitu gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Juudi dan Hira’. Sementara konkritnya pula dibuat daripada batu pejal hitam.

Kata Ibn Abbas: “Adam ialah manusia pertama yang mengasaskan al-Bait (Kaabah). Baginda menunaikan solat serta bertawaf di situ.”

Imam al-Syafi’i meriwayatkan daripada Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi katanya: “Sewaktu Adam AS menunaikan fardu haji, baginda telah berjumpa dengan malaikat. Mereka berkata kepadanya “Sempurnakan haji engkau wahai Adam. Kami telah melakukan haji sebelum daripada engkau semenjak 2000 tahun yang lalu.”

Ketiga: Binaan Shith bin Adam

Binaan ketiga oleh Shith ialah selepas hilangnya kesan binaan Adam AS. Al-Azraqi telah meriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih bahawa beliau berkata, apabila diangkatkan khemah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Adam AS daripada perhiasan syurga untuk diletakkan di tapak Baitullah di Makkah selepas wafatnya Adam AS, anak-anaknya pun membina di tempat itu sebuah rumah daripada tanah dan batu. Mereka dan generasi-generasi seterusnya sentiasa memakmurkan rumah itu sehinggalah ia musnah dalam banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh AS. Apabila tiba zaman Nabi Ibrahim AS, Allah SWT telah memerintahkan baginda supaya membina semula rumah itu.

Walaubagaimanapun, tidak terdapat sebarang dalil yang sahih tentang tiga peringkat binaan ini. Kata Syeikh Husain Ba Salamah , telah datang beberapa riwayat daripada sahabat dan tabiin tentang binaan Kaabah oleh malaikat, Adam dan Shith. Semuanya menyebut tentang peristiwa yang berlaku tanpa menyatakan sumber riwayat tersebut sama ada ia daripada Nabi SAW atau Bani Israil (ahli kitab).

Oleh itu, ramai ulama tafsir berpegang dengannya serta mencatatkan dalam kitab tafsir mereka kecuali al-Hafiz Ibn Kathir. Beliau telah mengkritiknya dan menyatakan bahawa riwayat tersebut sumbernya daripada Bani Israil (al-Israiliyyat).

Keempat: Binaan Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS

Binaan Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Ismail AS telah diceritakan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan terdapat banyak riwayat yang sahih dalam kitab-kitab hadis mengenainya. Antaranya ialah:

Firman Allah SWT:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

(Surah al-Baqarah: 127)

Firman Allah SWT lagi:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

(Surah al-Haj: 26)

Pembinaan Kaabah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS adalah berdasarkan perintah daripada Allah SWT, iaitu selepas beberapa kali Nabi Ibrahim AS datang menziarahi isteri dan anaknya Ismail AS di Makkah. Pada kedatangan kali yang ketiga, baginda telah diperintahkan agar membina Kaabah. Ketika itu Ismail AS telah berumur dua puluh tahun dan ibunya telah meninggal dunia.

Sewaktu Nabi Ibrahim AS tiba, anaknya Ismail AS sedang duduk di bawah pokok berdekatan dengan telaga zamzam sambil mengasah anak panah. Nabi Ibrahim AS memberi salam dan duduk bersamanya. Baginda berkata kepada Ismail: “Wahai Ismail! Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkanku supaya membina Kaabah.” Ismail mewnjawab: “Taatlah perintah Allah itu.” Lalu bapanya berkata lagi: “Allah juga memerintahkan agar engkau membantuku dalam pembinaan ini.” Ismail berkata: “Di manakah tempatnya?” Nabi Ibrahim AS menunjukkan tempat yang telah ditunjukkan kepadanya oleh malaikat yang mengiringinya. Selepas itu, mereka mula menggali tapak asas binaan serta berdoa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

(Surah al-Baqarah: 127)

Justeru, dalam bahasa yang mudah, Nabi Ibrahim AS hanya mengulangi pembinaan pada tapak yang sudah sedia ada. Itulah yang disepakati oleh para ulama’ tanpa menafikan telah berlaku binaan Ka’bah sebelum daripada itu.

Semoga Allah kurniakan kepada kita dapat menziarahi Ka’bah sama ada dapat menunaikan haji atau umrah. Kami mengakhiri kalam ini dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْ بَيْتَكَ هَذَا تَشْرِيفًا وَتَعْظِيمًا وَتَكْرِيمًا ، وَبِرًّا وَمَهَابَةً ، وَزِدْ مَنْ شَرَّفَهُ وَعَظَّمَهُ مِمَّنْ حَجَّهُ وَاعْتَمَرَهُ تَعْظِيمًا وَتَشْرِيفًا وَبِرًّا وَمَهَابَةً

Maksudnya: Ya Allah, tambahkanlah rumah-Mu ini dengan kemuliaan, keagungan, ketinggian, kebajikan dan kehebatan. Dan tambahkanlah siapa yang memuliakan dan mengagungkannya daripada kalangan yang melaksanakan haji atau umrah dengan kemuliaan, keagungan, kebajikan dan juga kehebatan.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Du’a (782)