اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #995 : BOLEHKAH WANITA SEDANG ISTIHADHAH BERIKTIKAF?

 

 Screen Shot 2018 12 26 at 9.05.03 AM

SOALAN:

 

Saya ingin bertanya kepada Dato Mufti, ketika saya sedang melalui waktu istihadhah, adakah saya dibenar masuk masjid dan beriktikaf?

 

JAWAPAN:


Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Dalam menjawab persoalan ini, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha katanya, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW dan bertanya:

 

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya“Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang di datangi darah istihadhah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak perlu, kerana darah itu ialah darah penyakit, bukannya darah haidh. Ketika kedatangan haidh tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”

Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)

 

Berdasarkan hadis di atas, terdapat beberapa perkara yang perlu difahami. Yang pertama, istihadah adalah darah yang keluar pada bukan waktu keluar haidh dan nifas. Sama ada darah keluar kurang daripada 24 jam, atau selepas 15 hari haidh. Lihat Hasyiah al-Baijuri (1/212).

Yang kedua, hukum berkaitan istihadah adalah berbeza dengan hukum ketika haidh dan nifas. Orang yang didatangi istihadah tidak terhalang untuk melakukan solat, puasa dan semua ibadah yang memerlukan suci daripada hadas. Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا

Maksudnya: orang yang sedang istihadah seperti (mengambil hukum) orang yang suci dalam (hukum) solat, puasa, iktikaf, membaca al-quran dan lain-lain. Lihat al-Majmu’ (2/372).

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami berpendapat tidak menjadi permasalahan untuk orang yang sedang istihadah untuk beriktikaf di dalam masjid. Namun begitu, hendaklah memastikan tidak berlaku kebocoran atau menyebabkan darah menitik hingga mengotorkan dewan solat.

Selain itu, rujuk juga persoalan-persoalan berkisar tentang istihadah yang telah kami jawab dalam beberapa artikel kami yang kami terbitkan sebelum ini:

  • Irsyad Al-Fatwa Siri Ke -226: Keluar Darah Dari Faraj Kerana Pembedahan Buang Fibroid[1]
  • Al-Kafi #685: Darah Istihadah Mengikut Tamyiz Atau Adat?[2]

 

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala suruhan-Nya. Amin.

[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2401-irsyad-al-fatwa-siri-ke-226-keluar-darah-dari-faraj-kerana-pembedahan-buang-fibroid?highlight=WyJpc3RpaGFkYWgiXQ==

[2] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2207-al-kafi-685-darah-istihadah-mengikut-tamyiz-atau-adat?highlight=WyJpc3RpaGFkYWgiXQ==