اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1000: HUKUM SOLAT DI SEBELAH TANDAS

Screen Shot 2018 12 26 at 11.33.13 AM

Soalan

 

Ketika solat jumaat, saya akan solat di ruang bersebelahan tandas, adakah dibolehkan?

 

Jawapan

 

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Sebelum menunaikan solat, Islam meletakkan bab tentang bersuci terlebih dahulu. Ini dapat dilihat apabila Islam memerintahkan umatnya agar bersuci dalam tiga perkara utama iaitu, memastikan kesucian diri, pakaian dan tempat untuk solat.

 

Larangan Solat di Tandas

Ibadah solat adalah salah satu daripada rukun Islam dan merupakan ibadah yang paling banyak dilakukan dalam kehidupan manusia. Oleh itu, sebagai memudahkan penganutnya menjalankan perintah Allah SWT, Islam membenarkan umatnya untuk menunaikan solat dimana-mana sahaja bagi menyempurnakan perintah tersebut. Hal ini dijelaskan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id Al-Khudri RA :

 

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ

Maksudnya: Bumi seluruhnya adalah masjid (tempat untuk sujud) melainkan perkuburan dan tandas.

Riwayat al-Tirmizi (317)

Selain itu, disebutkan juga bahawa salah satu dari tempat yang termasuk di dalam tempat-tempat yang dilarang untuk menunaikan solat adalah tandas, ini disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ ‏"‏ ‏

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang solat di tujuh tempat: tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Ka’bah.

Riwayat al-Tirmizi (346)

 

Berdasarkan hadis di atas, para ulama’ membahaskan tentang larangan tandas untuk dijadikan tempat bersolat. Imam al-Nawawi menyebutkan antara sebab dilarang solat di tandas adalah kerana tandas tempat mensucikan najis. Namun begitu, disebutkan sekiranya bersolat di tempat yang diyakini suci, maka sah solat. Sebab yang kedua, tandas dilarang dijadikan tempat untuk menunaikan solat adalah kerana, ia merupakan tempat tinggal syaitan. Imam al-Nawawi menegaskan:

 

وَالْأَصَحُّ أَنَّ سَبَبَ النَّهْيِ كَوْنُهُ مَأْوَى الشَّيَاطِينِ فَتُكْرَهُ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ وَتَصِحُّ الصَّلَاةُ

Maksudnya: Yang paling sahih bahawa sebab larangan (solat di tandas) kerana ia adalah tempat tinggal syaitan, maka (hukum solatnya) makruh tanzih (yang tidak membawa kepada dosa) namun solatnya adalah sah. Lihat al-Majmu’ (3/166).

 

Selain itu, hal yang lain yang perlu dititikberatkan dalam permasalahan ini, ialah tentang kekhusyukan solat. Sekiranya, solat bersebelahan tandas ini akan menyebabkan hilang khusyuk kerana bau yang keluar dari tandas, atau tempat solat itu adalah laluan orang ramai maka adalah lebih baik untuk solat di tempat lain. Hal ini disebutkan oleh Imam Ramli bahawa antara sebab lain dimakruhkan solat di tandas kerana ia menjadi tempat laluan manusia hingga mengganggu khusyuk di dalam solat. Sekiranya tidak menjadi laluan manusia, maka tidak dimakruhkan. Rujuk Fatwa al-Ramli (67).

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami berpendapat solat di luar tandas tidaklah termasuk di dalam larangan yang disebutkan di dalam nas kerana bukanlah termasuk di dalam kawasan tandas.

Namun begitu, sekiranya ruang solat yang disediakan sudah penuh dan menyebabkan terpaksa solat berdekatan dengan tandas maka perlulah memastikan kebersihan tempat untuk mendirikan solat. Ini kerana, memastikan kebersihan tempat solat adalah menjadi syarat sahnya solat itu. Sebaiknya juga, ditutup pintu tandas tersebut bagi membezakan had kawasan tandas dengan kawasan yang di luar.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala suruhan-Nya. Amin.