Soalan:
Assalamualaikum wbt,
Keluarga kami baru kematian ayah. Kini ibu saya sedang menjalani iddahnya di rumah. Timbul isu apabila ibu saya menyatakan hasrat untuk menyedekahkan alat-alat rawatan ayah saya ke pihak hospital. Adakah boleh bagi ibu saya untuk keluar daripada rumah untuk bersedekah sedangkan dia wajib menjalani iddah di rumahnya? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Waalaikumussalam wrm. wbt.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.
Kewajiban untuk beriddah selama empat bulan sepuluh hari bagi wanita yang kematian suaminya adalah sabit dalam Hukum Syarak. Firman Allah ﷻ:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: "Dan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari."
(Surah al-Baqarah: 234)
Namun, tiada masalah bagi seorang balu yang sedang menjalani iddah untuk keluar rumah bagi menunaikan hajatnya. Antaranya hajat yang mengharuskan rukhsah tersebut, ialah bersedekah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saiyiduna Jabir bin Abdullah RA:
طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan dengan talak 3. Dia tetap keluar untuk menguruskan kebun tamarnya kemudian bertembung dengan seorang lelaki yang menegahnya. Selepas itu, ibu saudaraku mengadu kepada Nabi SAW lantas Nabi bersabda: “Keluarlah dan uruskanlah kebun tamarmu. Mudah-mudahan kamu dapat bersedekah daripadanya atau melakukan kebaikan”.
Riwayat Muslim (1483).
Kata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (10/108): “Hadis ini adalah dalil membolehkan wanita beriddah bain untuk keluar bagi suatu hajat keperluan. Pendapat mazhab Malik, al-Tsauri, al-Laits, al-Syafie, Ahmad dan lain-lain ulama bahawa dibenarkan wanita beriddah ba’in itu keluar pada hari siang bagi suatu hajat. Mereka juga mengharuskan juga keluar bagi wanita yang kematian suami dan dalam hal ini dipersetujui juga oleh Abu Hanifah sekalipun dalam kes talak bain beliau berkata tidak boleh keluar, sama ada malam atau pun siang. Hadis ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan. Wallahua’lam.”
Rukhsah dan keharusan ini terikat dengan satu syarat; hendaklah wanita yang beriddah tadi hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam ke rumah tempat iddahnya. Fakta ini ada disebutkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli apabila mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi: [Dengan syarat hendaklah wanita itu pulang ke dan bermalam di rumahnya] sepertimana yang riwayat daripada al-Syafie dan al-Baihaqi – semoga Allah Ta’ala merahmati mereka berdua: Sesungguhnya ramai orang lelaki telah syahid sewaktu Perang Uhud. Lalu golongan wanita (balu-balu itu) berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami berasa takut berada di rumah-rumah kami lalu kami bermalam di rumah salah seorang daripada kalangan kami.” Lalu baginda ﷺ mengizinkan mereka untuk berbual di rumah salah seorang daripada mereka, tetapi apabila waktu tidur, setiap seorang daripada mereka hendalah balik ke rumah masing-masing.”
Rujuk Nihayah al-Muhtaj (7/156)
Justeru, untuk menjawab soalan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa dibenarkan bagi ibu yang kematian suami dan sedang menjalani iddah untuk keluar daripadanya rumahnya bagi tujuan menyedekahkan ala-alat rawatan kepada pihak hospital. Rukhsah ini diharuskan dengan syarat hendaklah urusan berkenaan dilakukan pada waktu siang sahaja dan hendaklah ibu berkenaan pulang ke rumah iddahnya pada waktu malam.
Semoga Allah ﷻ memberikan ketabahan dan kekuatan kepada keluarga yang bertanya serta mengurniakan ganjaran pahala bagi sedekah yang dilakukan. Amin.