اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1078 : MAKSUD DUBUR (PENGHUJUNG) SOLAT, ADAKAH SELEPAS TASYAHHUD AKHIR ATAU SELEPAS SALAM ?

ALKAFI1078

Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti, saya ada dengar bahawa doa itu mustajab pada penghujung solat. Apakah yang dimaksudkan dengan penghujung solat tersebut ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama sekali, tidak dinafikan bahawa antara waktu yang kita digalakkan untuk berdoa padanya bagi mendapatkan kemustajaban adalah pada penghujung solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili R.A bahawa Rasulullah S.A.W ditanyakan:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ قَالَ جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya: Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari ? Lalu kata Rasulullah S.A.W: Di pertengahan malam dan pada penghujung solat fardhu.

Riwayat Al-Tirmizi (3499)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah S.A.W memberikan petunjuk bahawa antara waktu yang mustajab padanya untuk berdoa ada dua, iaitu pada pertengahan malam dan juga pada penghujung solat fardhu.

Syeikh Al-Mubarakfuri berkata: ‘’Iaitu doa yang lebih tepat menuju ke langit atau paling hampir kepada kemustajaban’’. Lihat Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri

Maksud Dubur (Penghujung)

Berikut kami kongsikan beberapa takrifan bagi perkataan dubur yang disebutkan oleh para ulama bahasa arab. Antaranya:

Imam Ibn Manzhur menyebut: Dubur bermaksud lawan kepada perkataan qubul. Dubur bagi setiap sesuatu adalah sesudahnya (yang mengikutinya) dan juga penghujungnya. Kata jamak (banyak) baginya adalah adbaar.

Beliau juga menukilkan kata-kata Al-Jauhari yang menyebut: Dubur adalah perkataan berlawanan bagi qubul. Dan dubur (penghujung) bagi bulan adalah penghujung bulan. Manakala dubur bagi rumah adalah penghujung dan juga bahagian sudut (bucu) rumah.

Manakala Ibn Sidah berkata: Dan adbaar sujud bermaksud penghujung-penghujung solat. Manakala Ibn Burzaj berkata: Dabir al-Amr (penghujung bagi sesuatu) adalah bahagian akhirnya. Rujuk Lisan Al-‘Arab, Ibn Manzhur (5/210).

Riwayat Yang Menganjurkan Untuk Berdoa Di Penghujung Solat

Berikut kami senaraikan beberapa riwayat yang menyebutkan anjuran berdoa di penghujung solat. Antaranya, Imam Al-Tirmizi di dalam kitabnya Al-Jami’ meletakkan sebuah bab yang bertajuk ‘’Bab Membaca Ta’awwudz Pada Dubur (Penghujung) Solat’’. Beliau kemudiannya meriwayatkan hadis al-bab daripada Muslim bin Abi Bakrah beliau berkata:

كَانَ أَبِي يَقُولُ فِي دُبُرِ الصَّلاَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ وَعَذَابِ الْقَبْرِ فَكُنْتُ أَقُولُهُنَّ فَقَالَ أَبِي أَىْ بُنَىَّ عَمَّنْ أَخَذْتَ هَذَا قُلْتُ عَنْكَ قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقُولُهُنَّ فِي دُبُرِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: Bapaku membaca pada penghujung solat: ‘’Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kekufuran, kefakiran, dan juga azab kubur’’. Maka aku pun membaca kesemuanya itu (di penghujung solatku). Maka ayahku bertanya kepadaku: ‘’Wahai anakku, dari siapakah kamu mengambil ini (bacaan doa) ?’’. Aku menjawab: ‘’Dari mu’’. Maka ayahku berkata: ‘’Sesungguhnya Rasulullah S.A.W membacanya di penghujung solat’’.

Riwayat Al-Nasaie (1347)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لاَ تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ تَقُولُ اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: Aku berpesan kepada mu wahai Muaz, janganlah kau meninggalkan pada penghujung setiap solat dari kau membaca: ‘’Ya Allah bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan elok dalam beribadah kepada-Mu’’.

Riwayat Abu Dawud (1552)

Pendapat Fuqaha Berkenaan Makna Dubur (Penghujung) Solat

Para ulama berbeza pendapat terhadap maksud perkataan dubur (penghujung) solat tersebut. Secara umumnya, ada dua pendapat dalam isu ini:

Pertama: Selepas Tasyahhud Sebelum Salam

Imam Ibn Al-Qayyim berkata: ‘’Dubur (penghujung) solat itu mempunyai ihtimal (kemungkinan) sama ada sebelum salam atau selepas salam. Guru kami (Ibn Taimiyyah) merajihkan bahawa maksudnya adalah sebelum salam. Lalu aku pun merujuk isu ini kepadanya dan beliau berkata: ‘’Dubur bagi setiap sesuatu adalah sebahagian darinya, seperti dubur haiwan’’. Rujuk Zad Al-Ma’ad, Ibn Al-Qayyim (1/294).

Mereka menyebut isu ini apabila mengulas berkenaan hadis:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ قَالَ جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya: Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari ? Lalu kata Rasulullah S.A.W: Di pertengahan malam dan pada penghujung solat fardhu.

Riwayat Al-Tirmizi (3499)

Justeru apabila kita mengatakan bahawa penghujung bagi setiap sesuatu adalah sebahagian darinya, maka dapat difahami bahawa dubur bagi solat merupakan sebahagian dari solat dan maksudnya di sini adalah selepas tasyahhud akhir dan sebelum ucapan salam.

Kedua: Selepas Salam

Sebahagian ulama berpendapat bahawa maksud penghujung solat itu adalah selepas sahaja dari menunaikan solat. Ini antaranya berhujahkan firman Allah S.W.T:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ

Maksudnya: Maka apabila kamu selesai melaksanakan solat, berzikirlah kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk, dan juga berbaring.

Surah Al-Nisa’ (103)

Imam Al-Qurthubi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: ‘’Apabila kamu selesai dari solat maka berzikirlah kepada Allah dengan jantung hati dan juga lidah’’. Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (5/319).

Riwayat di atas ini menunjukkan anjuran zikrullah secara umum selepas menunaikan solat. Kemudian datanglah beberapa riwayat hadis yang menjelaskan tentang zikir-zikir yang dimaksudkan. Antaranya menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Al-Mughirah bin Syu’bah R.A beliau berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W membaca pada penghujung solat apabila baginda selesai memberi salam:

‏لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهْوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ، اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Maksudnya: ‘’La Ilaaha IllaLlah, Dia lah yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Buat-Nya seluruh kepujian dan Dia Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Wahai Allah, tidak ada yang dapat menghalang terhadap suatu yang telah Kau berikan, tidak ada yang dapat memberi apabila Kau telah menghalangnya. Dan kekayaan pemilik kekayaan tidak dapat memberi manfaat kepadanya berbanding diri-Mu’’.

Riwayat Al-Bukhari (6330)

Imam Al-Bukhari di dalam kitabnya Sahih Al-Bukhari meletakkan hadis ini di dalam bab : ‘’Berdoa selepas solat’’.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa kita hendaklah menghimpunkan kedua pendapat ini dan meletakkannya secara harmoni. Ini kerana, kedua-duanya mempunyai hujahan yang kukuh dan sahih. Justeru, kami menyatakan bahawa riwayat-riwayat yang menyebut tentang zikir-zikir dan disertakan isyarat bahawa ia dibaca sesudah solat, maka maksud penghujung solat di situ adalah selepas solat. Manakala riwayat-riwayat yang menyebutkan bacaan doa penghujung solat tanpa mengikatnya dengan bacaan selepas solat, maka penghujung solat di situ adalah selepas tasyahhud akhir dan sebelum salam.

Akhir kalam, kami menyatakan bahawa dari sudut pengamalan, seseorang itu boleh untuk membaca doa dan zikir pada dua tempat tersebut, sama ada pada sebelum salam dan boleh juga membacanya sesudah selesai solat. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.