اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1085: TERIMA HUTANG LEBIH DARIPADA YANG DIPINJAMKAN

1085 TERIMA HUTANG.JPG

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Mohon pencerahan berkenaan dengan hutang dan menerima hutang. Apa hukumnya menerima jumlah hutang yg lebih daripada kadar yang dipinjamkan? Contohnya saya bagi pinjam RM 3000, kemudian dia bayar kepada saya RM 3000 + RM 300. Apakah hukum menerima wang RM 300 tersebut? Mohon penjelasan. Terima kasih.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Hutang bermaksud hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/82, Mughni al-Muhtaj, 2/117 dan al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, hlm. 45)

Amalan melebihkan jumlah bayaran hutang ketika membayar hutang adalah suatu amalan mulia dan ditunjukkan sendiri oleh Baginda Nabi SAW. Ini dapat dilihat daripada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Ibn Abdullah R.Anhuma:

كَانَ لِي عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم دَيْنٌ فَقَضَانِي وَزَادَنِي

Maksudnya: “Baginda SAW berhutang kepadaku, lala Baginda membayarnya dan melebihkan bayaran kepadaku.”

Riwayat Bukhari (443) dan Muslim (715)

Imam al-Nawawi menyebut adalah disunatkan kepada penghutang untuk melebihkan nilai bayaran hutang semasa melangsaikan hutang tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/228)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Rafie’ R.A, Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّ مِنْ خِيَارِ النَّاسِ أَحْسَنَهُمْ قَضَاءً

Maksudnya: “Manusia yang terbaik ialah manusia yang terbaik membayar hutangnya.”

Riwayat al-Bukhari (2392) Muslim (1600) dan Abu Daud (3345)

Menjawab kepada isu ini, bayaran hutang melebihi nilai yang dihutang adalah amalan sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. Perkara ini dilihat sebagai hibah atau hadiah kepada pemiutang di atas kebaikan yang dihulurkan kepada penghutang. Justeru, jumlah nilai lebihan tersebut adalah ditentukan sendiri oleh penghutang di atas kemampuannya, namun perbuatan tersebut tidaklah menjadi perkara wajib kepadanya.

 

KESIMPULAN

Tuntasnya, perbuatan melebihkan jumlah bayaran hutang ketika membayar hutang adalah suatu perbuatan sunnah serta digalakkan kerana ianya ditunjukkan sendiri oleh Nabi SAW ketika mana Baginda menjelaskan hutang. Perkara tersebut bukanlah sesuatu yang wajib dilakukan, namun dilakukan di atas dasar membalas kebaikan yang dilakukan oleh pemiutang. Justeru, sekiranya penghutang membayar hutang melebihi nilai yang dipinjam, maka perkara tersebut dibolehkan dan dikira sebagai hadiah kepada pemiutang dan bukanlah termasuk dalam riba al-fadl.

Suka kami tekankan bahawa dalam hidup bermasyarakat, pinjam meminjam amat biasa berlaku termasuk juga berhutang antara satu sama lain. Ini kerana, mencari sebuah kesempurnaan dalam hidup dan melengkapi kesemua keperluan adalah amat jarang dimiliki oleh seseorang. Justeru, bantuan daripada rakan taulan akan membawa kepada kasih sayang dan saling menghormati atas pengorbanan seseorang kepada saudaranya. Semoga dengan pelaksanaan yang betul dan penuh keikhlasan ini menatijahkan kerahmatan antara satu sama lain. Benarlah firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Maidah (2)

Semoga apa yang disampaikan ini memberi membuka minda dan kefahaman kepada kita semua dalam mengamalkan syariat Islam dengan cara yang terbaik. Amin.