اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1094: MEMBERI TAKZIAH KEPADA NON MUSLIM

takziah non muslim.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Bolehkah memberi takziah kepada non Muslim?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, para ulama' telah berselisih pandangan (khilaf) kepada beberapa pendapat. Ada yang menyatakan haram, dan ada yang berpendapat hukumnya makruh.

Pendapat yang kedua ini adalah pendapat satu riwayat daripada Abi Hanifah, satu qaul daripada Imam Syafie dan mazhab Imam Ahmad serta lainnya dengan syarat mereka bukan penentang kepada orang Islam, lebih-lebih lagi mereka yang diharap keislamannya atau membawa kepada dekat hati mereka kepada Islam. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Anas R.A, beliau berkata:

كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ". فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: "Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: "Masuklah Islam". Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata,: "Taatilah Abu al-Qasim SAW". Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1356)

Kami melihat ia juga termasuk dalam tanda melakukan kebaikan kepada non Muslim yang tidak bermusuhan dengan kita selaras dengan umum nas Ilahi:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Surah al-Mumtahanah (8-9)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 8/135)

Semoga jawapan ini memberi kelegaan kepada kita dalam berinteraksi dengan rakan-rakan kita non Muslim dan dapat menghayati Fiqh Ta’ayush seperti yang telah kami bincangkan dalam beberapa jawapan kami.