Soalan
Assalamualaikum SS Mufti. Boleh Dato Seri terangkan berkenaan surat Nabi SAW kepada Najasyi, Raja Habsyah sebab saya ada dengar surat tersebut telah menjadi perbahasan oleh seorang penyelidik terkenal, iaitu Dr Humaidullah Baris. Semoga kami dapat gambaran yang jelas berkenaan dengan warkah Rasulullah SAW ini. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam menjawab persoalan ini, kami cenderung untuk menukilkan kenyataan penuh seorang tokoh pendakwah masa kini, Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri melalui bukunya yang masyhur, al-Rahiq al-Makhtum. Antara lain beliau menyebut:
Nama sebenar Najasyi adalah Ashamah ibn Abjar. Nabi Muhammad SAW menulis perutusan kepadanya, bersama dengan Amru ibn Umayyah al-Dhamry pada akhir tahun keenam Hijrah atau pada bulan Muharram tahun ke-7 Hijrah.
Al-Tabari menyatakan penilaian terhadap naskhah perutusan tersebut menunjukkan bahawa utusan itu bukan ditulis oleh Nabi Muhammad SAW setelah Perjanjian Hudaibiyyah. Sebaliknya utusan itu adalah utusan yang dibawa oleh Ja’far ketika dia dan pengikutnya berhijrah ke Habsyah. Di akhir perutusan itu ada menyebut:
وَقَدْ بَعَثْتُ إِلَيْكُمُ ابْنَ عَمِّي جَعْفَرًا، وَمَعَهُ نَفَرٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ، فَإِذَا جَاءُوكَ فَاقْرِهِمْ
Maksudnya: Telah aku utus kepada kamu anak bapa saudaraku, Ja’far dan bersama rombongan beberapa orang Islam. Jika dia telah datang, terimalah mereka dan tinggalkanlah sikap bermegah-megah.
Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ibn Ishaq tentang naskhah perutusan yang ditulis oleh Nabi Muhammad SAW kepada Najasyi adalah seperti berikut:
"بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، هَذَا كِتَابٌ مِنْ مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ إِلَى النَّجَاشِيِّ الأَصْحَمِ عَظِيمِ الحَبَشَةِ، سَلَامٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الهُدَى، وَآمَنَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَشَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَمْ يَتَّخِذْ صَاحِبَةً وَلَا وَلَدًا، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، وَأَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ اللَّهِ، فَإِنِّي أَنَا رَسُولُ اللَّهِ فَأَسْلِمْ تَسْلَمْ، {قُلْ يَاأَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ} فَإِنْ أَبَيْتَ فَعَلَيْكَ إِثْمُ النَّصَارَى مِنْ قَوْمِكَ"
Maksudnya: Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Ini adalah perutusan Nabi Muhammad kepada Najasyi Ashamah, pemimpin Habsyah. Kesejahteraan bagi sesiapa sahaja yang mengikuti petunjuk serta beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, Yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah SWT, yang tiada sekutu bagi-Nya, yang tidak mempunyai teman pendamping, tidak mempunyai anak dan bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Aku menyeru engkau dengan seruan Islam bahawa aku adalah rasul-Nya. Maka masuk Islamlah engkau, nescaya engkau akan selamat.
“(Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam)” Jika engkau menolak, maka akan kau tanggung dosa seluruh orang Nasrani daripada kaummu. (Lihat al-Mustadrak oleh al-Hakim, no. 4303 dan Dalail al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 2/308)
Seorang penyelidik terkenal, iaitu Dr. Humaidullah Baris pernah memaparkan sebuah naskhah yang hampir sama dengan yang dipaparkan oleh Ibn al-Qayyim dengan perbezaan pada satu perkataan sahaja. Penyelidik ini telah mengkaji naskhah tersebut dengan menggunakan kemudahan yang telah memungkinkan penemuan-penemuan penting di era moden. Ini dibuktikan dalam bentuk tulisan seperti berikut:
بِسْمِ اللّهِ الرّحْمَنِ الرّحِيمِ مِنْ مُحَمّدٍ رَسُولِ اللّهِ إلَى النّجَاشِيّ مَلِكِ الْحَبَشَةِ أَسْلِمْ أَنْتَ فَإِنّي أَحْمَدُ إلَيْكَ اللّهَ الّذِي لَا إلَهَ إلّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدّوسُ السّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ وَأَشْهَدُ أَنّ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رُوحُ اللّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إلَى مَرْيَمَ الْبَتُولِ الطّيّبَةِ الْحَصِينَةِ فَحَمَلَتْ بِعِيسَى فَخَلَقَهُ اللّهُ مِنْ رُوحِهِ وَنَفَخَهُ كَمَا خَلَقَ آدَمَ بِيَدِهِ وَإِنّي أَدْعُوكَ إلَى اللّهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَالْمُوَالَاةِ عَلَى طَاعَتِهِ وَأَنْ تَتْبَعَنِي وَتُؤْمِنَ بِاَلّذِي جَاءَنِي فَإِنّي رَسُولُ اللّهِ وَإِنّي أَدْعُوكَ وَجُنُودَكَ إلَى اللّهِ عَزّ وَجَلّ وَقَدْ بَلّغْتُ وَنَصَحْت فَاقْبَلُوا نَصِيحَتِي وَالسّلَامُ عَلَى مَنْ اتّبَعَ الْهُدَى
Maksudnya: Dengan nama Allah SWT, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Daripada Muhammad Rasul Allah SWT kepada Najasyi pemimpin Habsyah. Salam sejahtera bagi sesiapa juga yang mengikuti petunjuk. Amma ba’du. Aku memuji Allah SWT di hadapanmu, yang tiada Tuhan selain Dia. Dialah Penguasa yang Maha Suci, Pemberi kesejahteraan, Pemberi perlindungan dan Pemberi ujian. Aku bersaksi bahawa Isa ibn Maryam berasal daripada tiupan dan ketentuan-Nya, yang dia lontarkan kepada Maryam yang perawan, bersih, lagi menjaga kehormatan. Sehingga Maryam mengandungkan Isa yang berasal daripada tiupan dan hembusan Allah SWT. Sama kuasanya seperti ketika Allah SWT menciptakan Adam dengan tangan-Nya.
Sesungguhnya aku menyerumu kepada Allah SWT semata, yang tiada sekutu bagi-Nya, untuk sentiasa taat kepada-Nya dan agar engkau mengikutiku, mengimani apa yang kubawa kerana aku adalah Rasul Allah SWT. Sesungguhnya aku menyerumu dan bala tenteramu untuk beriman kepada Allah SWT Azza wa Jalla. Telah ku sampaikan dan ku nasihatkan, maka terimalah nasihatku ini. Salam kesejahteraan bagi siapa yang mengikuti petunjuk.[1]
Penyelidik turut menegaskan bahawa ini adalah perutusan yang ditulis oleh Nabi Muhammad SAW kepada Najasyi setelah Perjanjian Hudaibiyyah. Kesahihan perutusan ini adalah tidak syak lagi, selepas menganalisis hujah-hujah yang sedia ada. Namun, dakwaan bahawa perutusan ini telah ditulis selepas Hudaibiyyah, nampaknya tidak ada hujah asas.
Apa yang dipaparkan oleh al-Baihaqi daripada Ibn Ishaq mirip dengan perutusan yang ditulis oleh Nabi Muhammad SAW kepada beberapa raja dan pemerintah Nasrani setelah Hudaibiyyah apabila dalamnya terdapat ayat al-Quran Surah Ali Imran, ayat 64. Beberapa cirinya yang lain juga mirip dengan perutusan-perutusan tersebut. Di dalamnya juga disebutkan nama Ashamah secara jelas.
Sedangkan menurut pandangan saya, naskhah yang dipaparkan oleh Dr. Humaidullah adalah yang paling kuat iaitu itu adalah perutusan yang ditulis oleh Nabi Muhammad SAW kepada pengganti Ashamah, setelah Ashamah meninggal dunia. Oleh sebab itu, perutusan ini tidak disebutkan nama Ashamah secara jelas.
Saya tidak mempunyai hujah-hujah yang berkaitan dengan urutan-urutan ini selain beberapa firasat yang mendalam tentang naskhah perutusan tersebut. Apa yang aneh daripada Dr. Humaidullah adalah naskhah perutusan yang ditulis oleh Nabi Muhammad SAW kepada pengganti Ashamah setelah Ashamah meninggal dunia, padahal nama Ashamah disebutkan secara jelas dalam naskhah tersebut. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.[2]
Ketika Amru ibn Umayyah al-Dhamry menyampaikan perutusan Nabi Muhammad SAW kepada Najasyi, Najasyi terus mengambil perutusan itu dan membacanya. Dia turun dari istananya, kemudian memeluk Islam melalui Ja’far bin Abi Talib. Najasyi menulis perutusan balas kepada Nabi Muhammad SAW pada saat itu juga. Perutusan tersebut ditulis seperti berikut:
" بِسْمِ اللّهِ الرّحْمَنِ الرّحِيمِ إلَى مُحَمّدٍ رَسُولِ اللّهِ مِنْ النّجَاشِيّ أَصْحَمَةَ سَلَامٌ عَلَيْك يَا نَبِيّ اللّهِ مِنْ اللّهِ وَرَحْمَةُ اللّهِ وَبَرَكَاتُهُ اللّهُ الّذِي لَا إلَهَ إلّا هُوَ أَمّا بَعْدُ فَقَدْ بَلَغَنِي كِتَابُك يَا رَسُولَ اللّهِ فِيمَا ذَكَرْتَ مِنْ أَمْرِ عِيسَى فَوَرَبّ السّمَاءِ وَالْأَرْضِ إنّ عِيسَى لَا يَزِيدُ عَلَى مَا ذَكَرْتَ ثُفْرُوقًا إنّهُ كَمَا ذَكَرْت وَقَدْ عَرَفْنَا مَا بُعِثْت بِهِ إلَيْنَا وَقَدْ قَرّبْنَا ابْنَ عَمّك وَأَصْحَابَهُ فَأَشْهَدُ أَنّك رَسُولُ اللّهِ صَادِقًا مُصَدّقًا وَقَدْ بَايَعْتُك وَبَايَعْتُ ابْنَ عَمّك وَأَسْلَمْتُ عَلَى يَدَيْهِ لِلّهِ رَبّ الْعَالَمِينَ "
Maksudnya: Dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Kepada Muhammad Rasul Allah SWT, daripada Najasyi Ashamah. Kesejahteraan daripada Allah SWT layak bagimu wahai Nabi Allah SWT serta rahmat dan berkah-Nya menyertaimu. Demi Allah SWT yang tiada Tuhan selain Dia. Amma ba’du. Telah sampai kepadaku perutusanmu wahai rasul Allah SWT, tentang apa yang kau sebutkan mengenai persoalan Isa. Maka demi Rabb Penguasa langit dan bumi, sesungguhnya Isa memang tidak lebih daripada apa yang engkau sebutkan dan dia memang seperti yang engkau katakan. Kami juga telah tahu isi perutusan yang engkau kirimkan kepada kami. Kami telah mempertahankan anak bapa saudaramu dan sahabat-sahabatmu. Maka aku bersaksi bahawa engkau adalah rasul Allah SWT dengan kesaksian yang benar lagi membenarkan. Aku telah bersumpah setia kepadamu dan bersumpah setia kepada anak bapa saudaramu. Aku telah memeluk Islam di hadapannya, menyerahkan diri kepada Allah SWT, Tuhan Penguasa semesta alam. (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/600)
Nabi Muhammad SAW meminta Najasyi agar dia mengirim kembali Ja’far dan pengikutnya yang berhijrah ke Habsyah dengan menumpang dua kapal, bersama Amru ibn Umayyah al-Dhamry. Mereka bertemu Nabi Muhammad SAW yang pada masa itu sedang berada di Khaibar. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/359) Najasyi Ashamah meninggal dunia pada bulan Rejab tahun ke-7 Hijrah, setelah Perang Tabuk. Nabi Muhammad SAW bersedih pada hari kematiannya dan melaksanakan solat jenazah ghaib untuknya. Setelah dia meninggal dan seorang raja lain menggantikannya, Nabi Muhammad SAW menulis perutusan lain lagi kepada penggantinya itu, tanpa diketahui apakah penggantinya itu juga memeluk Islam atau tidak.[3] (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hln. 519)
Nota Hujung:
[1] Lihat dalam karyanya yang berjudul Rasul Akram Kay Siyasiy Zandaka, dalam Bahasa Urdu (hlm. 108-109, 122-125). Dalam Zad al-Ma’ad (3/60) dengan lafaz “Ku sampaikan salam padamu” sebagai ganti “Salam kesejahteraan bagi siapa yang mengikuti petunjuk.”
[2] Lihat perbahasan-perbahasan ini dalam buku karangan Dr. Humaidullah yang bertajuk Rasul Akram Kay Siyasiy Zandaky dalam bahasa Urdu, hlm. 108-114 dan 121-131.
[3] Mungkin diambil daripada riwayat Imam Muslim daripada Anas, 2/99.