Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh jelaskan bagaimana kisah api yang tidak membakar tubuh Nabi Allah Ibrahim AS?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Al-Hafiz Ibnu Kathir menceritakan: “Penduduk negeri Harran adalah kaum musyrikin penyembah bintang dan berhala. Seluruh penduduknya adalah orang-orang kafir kecuali Ibrahim AS, isterinya, dan anak saudaranya, iaitu Nabi Lut AS. Ibrahim AS terpilih menjadi hamba Allah SWT yang menghapuskan kesyirikan tersebut dan menghilangkan kebatilan-kebatilan yang sesat. Allah SWT telah anugerahkan kepadanya kegigihan sejak masa kecilnya. Beliau diangkat menjadi Rasul, dan Allah SWT memilihnya sebagai kekasih Allah pada masa berikutnya. Awal dakwah tauhid yang dibawa oleh Nabi Allah Ibrahim AS ialah dituju kepada ayahnya, kerana dia seorang penyembah berhala dan yang paling berhak untuk diberi nasihat. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/326).
Nabi Ibrahim telah dijatuhkan hukuman oleh Raja Namrud, dimana dia akan dibakar hidup-hidup dalam api yang besar. Kisah Nabi Ibrahim dibakar ini merupakan salah satu kisah yang penting di dalam al-Quran di mana ia dikisahkan dengan pembakaran itu dilakukan di hadapan khalayak ramai dan persiapan bagi upacara pembakaran tersebut disaksikan oleh seluruh rakyat.
Raja Namrud lalu memerintahkan supaya tiap-tiap orang membawa seberkas kayu api. Semua penduduk bergotong-royong mengambil bahagian membawa kayu bakar sebanyak yang dapat sebagai bakti kepada tuhan-tuhan mereka yang telah dihancurkan oleh Nabi Ibrahim.
Setelah kayu api dilonggokkan dengan banyaknya sehingga menjadi sebuah bukit, maka Baginda pun dibawa ke tempat itu, “Engkau akan dibakar, wahai Ibrahim. Kalau engkau benar-benar mempunyai Tuhan lain dari tuhan-tuhan kami, mohonlah kepadaNya. Kami ingin melihat setakat mana kebenaranmu,” ujar pengikut-pengikut Raja Namrud kepada Nabi Ibrahim.
Nabi Ibrahim tetap tenang, kerana dadanya telah dipenuhi dengan iman. Baginda rela menghadapi segala apa juga pun kerana menegakkan agama Allah SWT. Kisah ketabahan Nabi Ibrahim AS diabadikan dalam al-Quran melalui firman-Nya. Meskipun kaumnya dengan begitu bersemangat untuk membakar dirinya, namun Nabi Ibrahim AS tetap tabah dan menyerahkan segala perkara kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT:
قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ ﴿٩٥﴾ وَاللَّـهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ ﴿٩٦﴾ قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ ﴿٩٧﴾ فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَسْفَلِينَ
Maksudnya: (Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? "Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!" (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu". Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya).
Surah al-Saffat (95-98)
Al-Suddi berkata: “Mereka menahannya dalam sebuah rumah. Mereka mengumpulkan kayu bakar, bahkan hingga seorang wanita yang sedang sakit bernazar dengan berkata, “Sungguh jika Allah SWT telah memberikan bagiku kesembuhan, maka aku akan mengumpulkan kayu bakar untuk membakar Ibrahim.” Setelah kayu bakar terkumpul menjulang tinggi, mereka mulai membakar setiap hujung tepian dari tompokan itu, sehingga apabila ada seekor burung yang terbang di atasnya nescaya ia akan hangus terbakar. Mereka mendatangi Nabi Ibrahim AS kemudian mengusungnya sampai di puncak tumpukan tinggi kayu bakar tersebut”. Riwayat lain menyebutkan, ia diletakkan dalam hujung manjaniq.
Nabi Ibrahim AS mengangkat kepalanya menghadap langit, maka langit, bumi, gunung-gunung dan para malaikat berkata: “Wahai, Rabb! Sesungguhnya Ibrahim akan dibakar kerana (memperjuangkan hak-Mu)”
Nabi Ibrahim berkata, “Ya, Allah, Engkau Maha Esa di atas langit, dan aku sendiri di bumi ini. Tiada seorang pun yang menyembah-Mu di atas muka bumi ini selainku. Cukuplah bagiku Engkau sebaik-baik Penolong.” (Lihat Fath al-Bari, 6/483)
Mereka lantas melemparkan Nabi Ibrahim AS ke dalam tumpukan kayu bakar yang tinggi, kemudian diserukanlah (oleh Allah SWT dengan firman-Nya):
يَٰنَارُ كُونِي بَرۡدٗا وَسَلَٰمًا عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ
Maksudnya: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!"
Surah al-Anbiya’ (69)
Ibnu Abbas dan Abu al-Aliyah, keduanya berkata: “Jika Allah SWT tidak mengatakan (وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ) ‘serta selamat sejahtera kepada Ibrahim,’ nescaya api itu akan membinasakan Ibrahim AS dengan dinginnya.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 9/43)
Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azim menjelaskan bahawa semua binatang-binatang yang melata di muka bumi ini cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim AS kecuali cicak, sebagaimana hadith riwayat Ibn Hatim, daripada A'isyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Ibrahim tatkala dicampakkan kedalam api, semua binatang yang melata di muka bumi ini cuba memadamkan api, kecuali cicak, kerana sesungguhnya ia (cicak) meniupkan api ke atas Nabi Ibrahim..." (Lihat juga Tafsir al-Munir, Wahbah al-Zuhaili, 9/93)
Orang ramai yang berkumpul di sekitar kawasan itu masing-masing merasakan betapa dahsyatnya api itu, api besar yang belum pernah disaksikan oleh mereka sebelumnya. Masing-masing merasa yakin sudah pasti Ibrahim akan hangus menjadi abu.
Ibn Kathir menukilkan bahwa Ka’ab al-Ahbar menyebut: Ketika itu, seluruh penduduk bumi tidak mampu mengambil manfaat daripada api, sedangkan tubuh Ibrahim AS tidak terbakar selain tali (yang mengikat dirinya). Al-Dahhak berkata: Diriwayatkan bahwa Jibril AS mengusap keringat dari wajah Ibrahim AS dan tidak ada yang disentuh oleh api kecuali keringatnya. (Lihat Qasas al-Anbiya’, 183)
Akhirnya apabila api telah terpadam sehingga kayu menjadi abu, maka orang ramai takjub apabila mendapati Nabi Ibrahim AS selamat dengan tidak terkesan oleh api besar tersebut.
Marilah sama-sama kita menginsafi diri yang dho’if ini untuk sentiasa mentaati perintah Allah SWT sebagaimana kisah Nabi Allah Ibrahim AS yang sentiasa mentauhidkan Allah tanpa menyekutukan-Nya. Amin.