اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1154: DUA ORANG ISTERI NABI SAW YANG BERNAMA ZAINAB

DUA ORG ZAINAB.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, saya ada dengar bahawa isteri Nabi SAW ada yang bernama Zainab. Dan benarkah isteri yang Nabi SAW yang bernama Zainab adalah dua orang? Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam pengamatan kami melalui kitab-kitab Sirah bahawa isteri Rasulullah SAW yang bernama Zainab adalah dua orang.

 

Pertama: Zainab bint Khuzaimah R.Anha

Beliau berasal daripada Bani Hilal ibn Amir ibn Sya’sya’ah. Beliau digelar Ummu al-Masakin (ibunda orang-orang yang miskin) kerana kasih sayang dan kemurahan hatinya terhadap mereka. Sebelum itu, beliau adalah isteri Abdullah ibn Jahsy yang mati syahid pada Perang Uhud. Kemudian Rasulullah SAW menikahinya pada tahun keempat Hijrah. Namun beliau meninggal dunia dua atau tiga bulan setelah pernikahan ini pada akhir bulan Rabiul Awwal tahun keempat Hijrah dan disolatkan oleh Nabi SAW dan dikebumikan di Baqi’. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 690)

Ibnu Kathir berkata, “Zainab dikenali dengan sebutan Ummul Masakin kerana beliau banyak bersedekah dan berbuat baik kepada orang-orang miskin.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/203)

Beliau meninggal dunia pada usia yang masih sangat muda. Sebahagian rujukan menyebut bahawa umur beliau ketika itu sekitar 30 tahun.

Al-Balazuri berkata: Rasulullah SAW berkahwin dengannya pada bulan Ramadhan tahun ketiga hijrah. Beliau bersama Rasulullah SAW selama lapan bulan dan meninggal dunia pada akhir bulan Rabi' al-Akhir tahun keempat hijrah. Rasulullah SAW solat jenazah ke atasnya dan mengebumikannya di Baqi'. (Lihat Jumal min Ansab al-Asyraf oleh Ahmad bin Yahya al-Balazuri, 1/429)

 

Kedua: Zainab binti Jahsy R.Anha

Beliau berasal daripada Bani Asad ibn Khuzaimah. Beliau anak perempuan daripada ibu saudara Rasulullah SAW sendiri. Sebelum itu, beliau adalah isteri Zaid bin Harithah yang dianggap sebagai anak kandung Baginda. Maka Zaid menceraikannya, lalu Allah SWT menurunkan ayat yang berdialog dengan Rasulullah SAW:

فَلَمَّا قَضَىٰ زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا

Maksudnya: Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya.

Surah al-Ahzab (37)

Rasulullah SAW menikahi Zainab binti Jahsy pada bulan Zulkaedah tahun keenam Hijrah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 691)

Ummul Mukminin Zainab bint Jahsy R.Anha wafat pada zaman pemerintahan Saidina Umar ibn al-Khattab, iaitu pada tahun ke-20 Hijrah. Ada juga yang menyatakan tahun ke-21 H. Beliau wafat ketika usianya 53 tahun. (Lihat Sifatu al-Safwah, 1/326)

Semoga Allah limpahkan kepada kita perasaan kasih sayang dan cinta kepada Rasul SAW dan keluarga Baginda SAW serta sahabatnya. Amin.