Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Saya terdapat satu kekeliruan. Sebagai contohnya, jika sesebuah negara telah menetapkan peraturan yang pelajar dari luar negara hanya boleh bekerja part-time selama 28 jam seminggu dengan mempunyai 2 atau lebih pekerjaan. Tetapi kami telah bekerja part-time melebihi waktu tersebut. Adakah dibolehkan atau tidak. Ataupun terdapat hukum-hukum tertentu? Dan bagaimana dengan hasil duit tersebut. Terima kasih ustaz, mohon penjelasan.
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga,para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ sehingga Hari Kiamat.
Islam mewajibkan bahawa setiap orang yang berakal, baligh dan berkemampuan agar menafkahi diri sendiri untuk hidup. Ini berdalilkan sabda Rasulullah ﷺ, daripada Jabir bin Abdillah RA:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Engkau mulakan nafkah itu dengan dirimu kemudian isterimu.”
Riwayat Muslim (997)
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Hadis ini memilik pelbagai faedah, antaranya hendaklah dimulakan nafkah itu mengikut tertib yang disebut, dan juga bahawa sanya hak-hak dan kelebihan-kelebihan apabila bertembung maka didahulukan mana yang lebih awkad (lebih kuat) kemudian yang lebih bawah daripada segi kekuatannya.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (7/83)
Begitu juga pengarang al-Fiqh al-Manhaji (4/170) mengujarkan: “Kewajipan memberi nafaqah yang paling rendah adalah memberi nafaqah kepada dirinya sendiri. Jika berkemampuan, hendaklah didahului daripada nafaqah yang lain. Nafaqah ini meliputi semua keperluan asasi manusia, seperti tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman dan sebagainya. Nafaqah terhadap diri sendiri wajib daripada hartanya sendiri, selagi dia memiliki harta yang boleh digunakan sebagai nafaqah dirinya."
Dalam masa yang sama, Islam mewajibkan umat Islam untuk belajar ilmu demi maslahat dunia dan akhirat. Ilmu itu terbahagi kepada dua; ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh semua umat Islam daripada ilmu aqidah, ibadat, muamalat, dan akhlak. Manakala ilmu fardhu kifayah ialah ilmu yang tidak lengkap suatu komuniti tanpanya pada memastikan kelangsungan hal-hal dunia, seperti ilmu matematik, perubatan, pembinaan, perladangan, jahitan, dan politik. Ilmu ini jika tiada orang yang mahir tentangnya maka akan berlaku kepayahan yang melampau kepada masyarakat. Ke atas orang yang belajar ilmu fardhu kifayah, hukum belajar itu sudah menjadi fardhu ain kerana dia sudah mengambil tanggungjawab daripada ramai-ramai orang. Rujuk Ihya’ Ulum al-Din (1/13-16) oleh Imam al-Ghazali.
Dalam konteks kerja sewaktu belajar, sewajarnya pelajar tidak perlu bekerja dan hanya fokus kepada pelajaran sehingga selesai pelajarannya. Namun, jika terdapat keperluan hajat dan daruri, maka pelajar itu boleh bekerja bagi memenuhi keperluan diri. Keperluan daruri seperti nafkah untuk tempat tinggal, makanan dan minuman, pakaian dan kesihatan. Manakala keperluan hajat seperti telefon dan kenderaan. Buku-buku pelajaran juga termasuk dalam kategori hajat kerana tanpanya hidup sebagai pelajar amat sukar. Adapun jika seseorang pelajar itu bekerja hanya untuk mendapat kemewahan hidup, maka itu merupakan perkara yang tidak elok kerena kebiasaannya akan mengganggu pelajaran, khususnya jika sudah mendapat biasiswa atau pinjaman pelajaran.
Berkenaan dengan undang-undang yang mengehadkan pekerjaan kepada bilangan kerja dan jam tertentu, pastinya undang-undang berkenaan dibuat bagi memastikan pelajar dapat fokus dengan pelajaran, selari dengan keperluan bekerja menampung nafkah diri sendiri. Tidak boleh bagi pelajar berkenaan untuk sewenangnya melanggar syarat berkenaan kerana itu merupakan perjanjian yang mesti ditunaikan. Firman Allah ﷻ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”
(Surah al-Maidah: 1)
Kata Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili: “Janji adalah satu sifat yang terpuji. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan nifaq. Meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka, secara syarak, wajib untuk menepati janji. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, sebenarnya dia telah melakukan maksiat dan dosa.” (Rujuk al-Tafsir al-Munir, 15/73)
Kedua, ia juga merupakan syarat yang sah jika termaktub dalam perjanjian dan boleh pihak universiti mengenakan tindakan disiplin kepada mereka yang melanggar perjanjian. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: “Orang muslim itu berpegang pada syarat-syarat yang mereka tetapkan.”
Riwayat Abu Daud (3594)
Sheikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini, beliau berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 10/26)
Justeru, pelajar berkenaan tidak boleh bekerja lebih daripada kerja dan masa yang dibenarkan dan dia berdosa sekiranya kesibukan bekerja itu membuatkan dia gagal memenuhi tanggungjawab fardhu kifayahnya.
Namun begitu, larangan ini tidak terpakai kepada pelajar yang benar-benar susah sehingga memerlukan dia bekerja lebih masa. Jika dia gagal berbuat demikian, nafkah dirinya akan terabai seterusnya pelajarannya juga akan bermasalah. Perkara ini biasa berlaku kepada pelajar-pelajar miskin. Bahkan, inilah adat ulama-ulama besar pada zaman belajar mereka seperti Imam Ahmad bin Hanbal yang menjual tali-tali haiwan tunggangan dan tidak meminta-minta. Rujuk kitab Safahat Min Sabr al-Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abdul Ghuddah untuk mengetahui kisah-kisah mereka. Keadaan ini bersesuaian dengan kaedah:
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
Maksudnya: “Apabila bertembung dua mafsadah (keburukan), maka diraikan mafsadah yang lebih besar dengan melakukan mafsadah yang lebih ringan.”
Rujuk al-Asybah wa al-Nazair oleh Imam al-Suyuti (1/87)
Manakala daripada sudut haram atau halal pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan itu, maka hukumnya halal jika diperolehi daripada pekerjaan yang halal dan suci daripada perkara yang haram. Soal melanggar perjanjian dengan pihak universiti itu tidak menjejaskan kehalalan pendapatan berkenaan, walaupun mungkin berkurang keberkatannya. Ini diqiaskan dengan hukum berjual beli ketika azan Jumaat dan solat lelaki dengan baju sutera, yang kedua-duanya diharamkan. Rujuk juga Al-Kafi Li Al-Fatawi Ke-461: Apakah Sah Solat Seseorang Yang Bergelumang Dengan Perkara Haram?[1] Adapun mereka yang terpaksa bekerja lebih kerana memenuhi hajat dan keperluan asas diri, maka itu tidak berdosa dan sumber pendapatan itu adalah halal.
Kami menyatakan, betapa besarnya pahala mereka yang membantu para pelajar untuk menafkahi diri mereka semasa tempoh belajar dengan sedekah dan apa-apa bantuan, sehingga mereka boleh menumpukan pada pelajaran dengan baik. Kelak mereka akan kembali kepada masyarakat dan berbakti kepada mereka semula. Kami akhir dengan sabda Rasulullah ﷺ:
المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ، وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً، فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ القِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara bagi sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan merendahkannya. Barangsiapa melunaskan hajat saudaranya, niscaya Allah melunaskan hajatnya. Dan barangsiapa membebaskan kesulitan orang Muslim di dunia, nescaya Allah akan membebaskan kesulitannya di Hari Kiamat. Dan barangsiapa menutup aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutupi aibnya di Hari Kiamat kelak.”
Riwayat al-Bukhari (2442) dan Muslim (2580)
Nota hujung:
[1] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1840-al-kafi-li-al-fatawi-ke-461-apakah-sah-solat-seseorang-yang-bergelumang-dengan-perkara-haram