اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1164: HUKUM TUKAR GANTI HARTA WAKAF

harta wakaf tukar.JPG

Soalan

Assalamualaikum wbt SS Dato’ Seri Mufti. Saya dan ramai kawan-kawan telah berwakaf kepada pusat pendidikan Islam. Dengan duit wakaf itu pihak berkenaan telah membina asrama untuk pelajar. Apabila timbul masalah kewangan pusat tersebut telah menjual asrama itu dan dijadikan kedai dan duit berkenaan digunakan untuk pengurusan. Bolehkah harta wakaf dijual begitu dan bagaimana status wakaf kami itu?

 

Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah SWT dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah SWT.

Pengenalan

Makna Wakaf (الوقف) dari segi bahasa ialah “الحبس” iaitu menahan. Dari segi istilah, ulama berbeza pendapat tentangnya. Pengertian dari segi ulama Syafieyah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram). (Lihat al-Mausua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 44/108)

 

Pensyariatan Waqaf

Jumhur ulama menyatakan wakaf merupakan perkara yang disunatkan. Ini seperti hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma. Sesungguhnya Umar RA pernah memiliki sebidang tanah Khaibar. Lalu beliau menemui Nabi SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah, aku telah menerima sebidang tanah di Khaibar, dan aku tidak pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang perlu aku lakukan dengannya?” Baginda SAW bersabda:

إِنْ شِئْتَ حَبَّسْتَ أَصْلَهَا، وَتَصَدَّقْتَ بِهَا ‏‏.‏ فَتَصَدَّقَ عُمَرُ أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ أَصْلُهَا وَلاَ يُوهَبُ وَلاَ يُورَثُ

Maksudnya: “Sekiranya engkau mahu, kamu wakaflah ia dan sedekahkan hasilnya.” Kemudian Umar menyedekahkannya, tidak dijual pohonnya dan hasilnya, tidak diwariskan dan tidak dihibahkan.

Riwayat al-Bukhari (2772)

Istibdal (Tukar Ganti) Waqaf

Pada asalnya hukum Istibdal ini tidak diharuskan seperti umum dalil yang didatangkan oleh Ibnu Umar. Melainkan sebahagian pendapat yang membenarkan Istibdal atas tujuan memberi manfaat kepada harta wakaf dan juga di bawah kawal selia pihak qadi dan pihak yang berautoriti.

Dr. Wahbah al-Zuhaili mentakrifkan Istibdal adalah “Jual beli atau tukar ganti harta wakaf dengan harta yang lain atau dengan nilai mata wang. Serta penukaran ain harta wakaf dengan ain harta yang lain. Dalam perjalanan masa kini terdapat Istibdal dengan menjual beli harta wakaf menggunakan mata wang.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/7624)

 

Pendapat Berkenaan Istibdal

Menurut pandangan Mazhab Syafie tidak harus Istibdal masjid yang rosak ke tempat yang lain. Dan harta wakaf ini merupakan hak milik Allah SWT tidak boleh ditukar ganti, ini merupakan pendapat yang asoh dalam mazhab ini. Adapun pendapat berlawanan dengan asoh mengharuskan jual beli sekiranya harta itu tidak dapat memberi manfaat dan menjualnya merupakan perkara yang lebih utama. Dan jual beli itu mestilah dengan bertujuan untuk membangunkannya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 44/200-201)

Mengikut pandangan mazhab Hanafi dibolehkan istibdal sekiranya harta wakaf itu tidak memberi manfaat dan ditukar dengan barang yang lain. Qadi Abi Yusuf menyatakan “Sekiranya ia berpotensi mendatangkan manfaat yang lebih dibolehkan untuk istibdal dan tidak diharuskan sekiranya tidak mendatangkan keuntungan. Selain itu al-Turtusi menyatakan “Sekiranya terdapat syarat oleh pewakaf untuk tidak menukarkannya maka qadi atau pihak yang berautoriti berhak untuk menentukannya. Ini kerana mereka dapat melihat maslahat umum yang lebih jelas. (Lihat al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 5/241)

Imam al-Mardawi berkata di dalam kitabnya, sekiranya barang wakaf itu tidak dapat memberi manfaat maka diharuskan untuk istibdal dengan barang yang sama nilai. Begitu juga dengan masjid, diharuskan untuk menukar ganti dengan tujuan pembinaannya semula dan maslahah umum (Lihat al-Insaf fi Makrifah al-Rajih min al-Khilaf, 7/101)

Dr. Syauqi Allam pernah mengeluarkan fatwa bahawa dibolehkan istibdal harta wakaf sekiranya memberi manfaat yang lebih bertujuan maslahat umum. Pihak yang berhak untuk memutuskannya adalah qadi dan pihak yang berautoriti. (Lihat Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Fatwa no. 4354)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan: “Wakaf Gantian (wakaf ibdal) ialah bermaksud menukar harta wakaf dengan harta yang lain melalui jualan atau belian atau sebagainya dengan tujuan mengekalkan harta wakaf adalah diharuskan mengikut taqlid pendapat Imam Abu Hanifah”. (Lihat Kompilasi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan MKI 2016, hlm. 55)

Begitu juga Fatwa Wilayah Persekutuan memutuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-35: “Berdasarkan kepada maslahah ‘ammah dan keadaan yang sangat memerlukan (berhajat/darurat) bagi mengekalkan dan memanfaatkan harta wakaf umat Islam, maka Mesyuarat mengharuskan wakaf istibdal.”

 

Kesimpulan

Berkenaan dengan persoalan di atas pada asalnya harta wakaf tidak boleh ditukar ganti namun dibenarkan sekiranya bertujuan untuk mengekalkannya dan memberi manfaat kepada kepentingan umum. Perkara ini seharusnya dirujuk kepada pihak yang berautoriti dalam pengurusan harta wakaf.

Kami lebih cenderung dalam isu seperti di atas supaya harta wakaf dipertahankan tetapi untuk menyelesaikan masalah dengan mencari alternatif yang lain tanpa dijual harta wakaf tersebut.

Berkenaan kelebihan orang yang memberi wakaf hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

 إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila matinya seseorang itu, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.

Riwayat al-Nasa’ie (3651)

Semoga dengan penjelasan ini memberi kita kefahaman dalam memahami agama Islam dengan lebih baik. Amin.

Wallahualam.