اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1179: WAKTU TERBAIK UNTUK MEMBERIKAN NAMA KEPADA BAYI YANG BARU DILAHIRKAN

Gambar waktu untuk memeberi nama kepada anak

 

SOALAN

Alhamdulillah, saya baru sahaja dikurniakan cahaya mata. Saya ingin bertanya S.S. Datuk Mufti, bilakah waktu yang sesuai untuk saya menamakan anak saya yang baru lahir ini? Saya ada terdengar, elok dinamakan pada hari yang hendak dilaksanakan aqiqah, ada juga yang mengatakan selepas seminggu. Mohon penjelasan.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Tahniah kami ucapkan kepada saudara yang baru sahaja menimang cahaya mata. Semoga anak tersebut membesar dengan sempurna dan menjadi seorang yang dapat memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Mengenai waktu yang sesuai untuk memberikan nama kepada anak, para ulama’ bersepakat bahawa harus diberikan nama kepada bayi yang baru lahir pada bila-bila masa sahaja selepas bayi tersebut dilahirkan. Tiada waktu tertentu yang dilarang untuk memberikan nama kepada bayi yang telah dilahirkan. Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/294), al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (8/435), Hasyiyah ibn ‘Abidin (5/213), Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil (3/256), Kasyaf al-Qina’ (3/25), Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maulud (hlm.71)

Namun begitu, para ulama’ berbeza pandangan mengenai waktu yang disunatkan untuk memberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan kepada tiga pendapat, iaitu:

Pendapat Pertama: Sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Ini adalah pendapat jumhur (majoriti) ulama’-ulama’ dalam mazhab asy-Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/294), Hasyiyah ibn ‘Abidin (5/213), al-Tamhid (4/320), Hasyiyah ar-Raudh al-Murbi’ Syarh Zad al-Mustaqni’ (4/245-246).

Mereka berhujah dengan beberapa hadith Nabi SAW, antaranya:

أنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم أَمَر بِتَسمِيةِ المَولودِ يومَ سابِعِه

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya”

Riwayat al-Tirmizi (2832)

 

قالت عائشة رضي الله عنها: عقَّ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عن حسَن وحُسين يومَ السَّابعِ وسمَّاهما

Maksudnya: ‘Aisyah RA telah berkata: “Nabi SAW telah melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husain pada hari ketujuh daripada hari kelahiran mereka dan memberi nama kepada mereka berdua"

Riwayat ibn Hibban (5311)

 

Telah berkata Imam Ibn Qudamah Rahimahullah:Jumhur (majoriti) ulama berpendapat bahawa waktu yang terbaik untuk menamakan anak adalah pada hari yang ketujuh, manakala hadith Anas bin Malik RA (وُلِدَ لي اللَّيْلَةَ غُلَامٌ، فَسَمَّيْتُهُ باسْمِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ) pula menunjukkan bahawa harus memberikan nama pada hari kelahiran bayi, dan bukannya sunat untuk memberikan nama pada hari kelahiran bayi tersenut” Rujuk al-Mughni (9/356).

 

Pendapat Kedua: Sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari kelahiran anak tersebut. Ini adalah pendapat sebahagian ulama’-ulama’ dalam mazhab asy-Syafi’e dan Hanbali. Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/294), Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj at-Tullab (2/190), Kasyaf al-Qina’ (3/25).

Mereka berhujahkan dengan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadith SAW. Di antaranya ialah:

وَإِنِّي سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ

Maksudnya: “Dan Aku (Allah) telah menamakannya Maryam”

Surah Ali Imran: 36

 

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir Rahimahullah telah berkata: “Ayat ini menjadi dalil bahawa diharuskan untuk memberi nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari kelahiran bayi tersebut seperti mana yang terzahir daripada konteks ayat ini” Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (2/33).

 

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه, قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى الله عليه وسلم: وُلِدَ لي اللَّيْلَةَ غُلَامٌ، فَسَمَّيْتُهُ باسْمِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ 

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW telah bersabda: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku, Ibrahim”

Riwayat Muslim (2315)

 

قال أبو موسى الأشعري رضي الله عنه: وُلِدَ لي غُلَامٌ فأتَيْتُ به النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ فَسَمَّاهُ إبْرَاهِيمَ وَحَنَّكَهُ بتَمْرَةٍ

Maksudnya: Abu Musa al-Ash’ari RA telah berkata: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki, maka aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda SAW menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji kurma”

Riwayat al-Bukhari (5467) dan Muslim (2145)

 

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah berkata: “Pada hadith ini terdapat padanya petunjuk bahawa tahnik dilakukan selepas diberikan nama kepada bayi tersebut, maka hendaklah dipercepatkan pemberian nama kepada bayi yang baru lahir dan tidak perlu menunggu sehingga hari yang ketujuh. Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (9/588-589).

Terdapat kisah bayi-bayi lain seperti al-Munzir bin Abu Usaid, Abdullah bin Abu Tolhah, dan Abdullah bin az-Zubair yang telah dibawakan kepada Nabi SAW dan diberikan nama pada hari kelahiran mereka.

 

Pendapat Ketiga: Sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya jika anak tersebut hendak dilaksanakan aqiqah untuknya pada hari ketujuh. Jika tidak, disunatkan anak tersebut diberikan nama sebelum hari yang ketujuh. Ini adalah pendapat sebahagian daripada ulama-ulama’ yang bermazhab asy-Syafi’e, Maliki dan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Bukhari Rahimullah. Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil (5/362), Hasyiyah Qalyubi dan ‘Umairah (4/256).

Mereka berhujah bahawa hadith-hadith yang menyebut berkenaan dengan pemberian nama pada hari yang ketujuh, ia memberi makna bahawa tidak boleh melewatkannya lebih daripada hari yang ketujuh dari hari kelahiran bayi tersebut. Ini kerana jika dinamakan sebelum hari yang ketujuh, ia masih dinamakan hari yang ketujuh (مسمى يوم السابع), maka ia menepati makna hadith. Adapun selepas hari ketujuh, ia tidak lagi dinamakan sebagai hari ketujuh.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah berkata: “Jika tidak berhasrat untuk melaksanakan aqiqah ke atas bayi yang dilahirkan pada hari ketujuh kelahirannya, maka tidak boleh melewatkan pemberian nama kepadanya sehingga hari ketujuh sepertimana dalam kisah Ibrahim bin Abu Musa, Abdullah bin Abu Tolhah, Ibrahim anak kepada Nabi SAW dan Abdullah bin az-Zubair. Tidak ada riwayat yang mengatakan bahawa aqiqah telah dilaksanakan untuk mereka pada hari ketujuh kelahiran mereka. Oleh sebab itu, mereka diberikan nama sebelum hari yang ketujuh” Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (9/588)

 

Kesimpulan

Secara umumnya, harus untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada bila-bila masa sahaja selepas kelahirannya. Tiada waktu tertentu yang dilarang untuk memberikan nama kepada bayi yang telah dilahirkan.

Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya pemberian nama pada hakikatnya adalah untuk mengenali sesuatu yang dinamakan ke atasnya. Ini kerana jika terdapat seseorang yang tidak diketahui namanya, maka tiada siapa yang dapat mengenalinya. Maka, harus untuk memberikan nama pada hari kelahirannya, atau diberikan nama pada hari ketiga daripada hari kelahirannya, atau diberikan nama pada hari aqiqahnya, atau sebelum daripada itu mahupun selepasnya. Perkara ini terdapat keluasan padanya” Rujuk Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maulud (hlm.111)

Berkenaan dengan waktu yang terbaik untuk memberikan nama kepada bayi, kami cenderung untuk memilih pendapat bahawa bayi yang baru dilahirkan adalah sebaiknya diberikan nama pada hari kelahirannya. Hari ketujuh pula boleh dijadikan hari pengisytiharan nama bayi tersebut kepada sanak-saudara dan orang lain, dan ia sangat bersesuaian jika pada hari tersebut juga diadakan majlis aqiqah untuk bayi tersebut.

Kami menyeru agar dapat dihidupkan sunnah-sunnah Nabi SAW yang berkaitan dengan bayi yang baru dilahirkan. Bermula dengan adab menyambut kelahiran bayi, memberi nama, mentahnik, membuang kotoran (mencukur rambut), bersedekah sehinggalah mengadakan aqiqah. Semua sunnah ini sangatlah dituntut untuk diamalkan dan dihidupkan dalam masyarakat.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.