Soalan :
Salam ustaz. Satu persoalan yang sentiasa bermain di minda saya. Jika seseorang masuk ke dalam masjid kemudian ada majlis ilmu atau kuliah. Yang mana patut didahulukan. Solat sunat tahiyatul masjid atau duduk mendengar kuliah?. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.
Jawapan :
Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Solat sunat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat yang dilakukan ketika mana masuk ke dalam masjid.Ia adalah solat yang sentiasa dilazimi oleh Nabi SAW. Daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ
Maksudnya :” Jika salah seorang daripada kalian masuk ke dalam masjid maka solatlah sebanyak dua rakaat sebelum dia duduk.”
Riwayat Al-Bukhari (444) & Muslim (1687)
Imam Al-San’ani di dalam penjelasannya terhadap hadis ini, beliau menyebut bahawa hadis ini merupakan satu larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Rujuk Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram Min Adillah Al-Ahkam, 2/62)
Imam Al-Nawawi menyebut bahawa para ulama sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/52)
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika seseorang masuk ke dalam masjid dan dalam pada masa yang ada majlis ilmu sedang berlangsung maka sunat baginya untuk melakukan solat sunat tahiyatul masjid terlebih dahulu sebelum mendegar majlis ilmu yang sedang diadakan. Ini dikiaskan dengan keadaan seseorang yang masuk ke dalam masjid ketika imam sedang berkhutbah. Ianya berdasarkan hadis daripada Abu Jabir Bin Abdullah. Beliau berkata :
جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِىُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَرَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَخْطُبُ فَجَلَسَ فَقَالَ لَهُ يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا - ثُمَّ قَالَ - إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا
Maksudnya : “Sulaik Al-Ghatafani datang pada hari Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Lalu Sulaik terus duduk. Maka Rasulullah SAW bersabda : Wahai Sulaik bangunlah dan solatlah dua rakaat serta segerakan solat tersebut. Kemudian Baginda bersabda lagi : Jika salah seorang dari kalian datang (ke masjid) pada hari Jumaat dalam keadaan imam sedang berkhutbah maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.”
Riwayat Muslim (2061)
Imam Al-Nawawi berkata bahawa jika seseorang masuk ke dalam masjid dan Imam sedang berkhutbah maka dia tidak boleh duduk melainkan setelah solat dua rakaat yang dilakukan secara ringkas. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/53)
Jika khutbah Jumaat yang menjadi syarat sah solat Jumaat pun Nabi perintahkan untuk dilakukan solat tahiyatul masjid sebelum mendengar khutbah apatahlagi majlis ilmu yang mana ia bukan syarat sah bagi mana-mana solat. Lagilah disunatkan untuk melakukan solat tahiyatul masjid.
Kesimpulannya, sunat bagi seseorang untuk melakukan solat tahiyatul masjid terlebih dahulu sebelum duduk mendengar majlis ilmu. Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.