اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1214: KEPENTINGAN HAFALAN DALAM MENUNTUT ILMU

hafalan.JPG

Soalan:

Bolehkah SS Mufti berikan nasihat kepada sekalian penuntut ilmu, tentang cara dan tips untuk menguatkan hafalan dan ingatan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sifat pelupa merupakan antara sifat tabi’e seorang manusia. Seorang penyair pernah bermadah:

وما سُمي الإنسان إلا لنسيه                 ولا القلب إلا أنه يتقلب

Tidaklah dinamakan insan melainkan kerana sifat pelupanya (nisyan);

Dan tidaklah dinamakan hati (qalb) melainkan kerana ia berbolak-balik.

Imam Syafi’e juga pernah mengadu kepada guru beliau, Waki’ akan lemahnya hafalan beliau, dan ia dirakamkan dalam syair beliau:

شكوت إلى وكيع سوء حفظي           فأرشدني إلى ترك المعاصي

وقــال إن علم الله نــورٌ                     ونور الله لا يعطى لعاصي

Aku mengadu kepada Waki’ akan lemahnya ingatanku;

Maka dia menyuruhku agar meninggalkan maksiat;

Beliau juga berkata sesungguhnya ilmu Allah itu cahaya;

Dan cahaya Allah tidak akan dikurniakan kepada seorang pelaku maksiat.

Maka difahami daripada nasihat Waki’ ini bahawa sesungguhnya maksiat itu melemahkan ingatan dan merupakan penghalang daripada meresapnya ilmu ke dalam dada manusia.

Allah SWT juga memberikan pesan agar manusia berzikir nama-Nya apabila mereka terlupa melalui firman-Nya:

وَاذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ

Maksudnya: Dan ingatilah Tuhanmu tatkala kamu terlupa.

Surah al-Kahfi (24)

Menghafal Ilmu

Para ulama amat mementingkan hafazan ilmu, selain daripada memahami dan menghafalnya. Muhammad bin Yasir pernah bermadah:

إذا لم تكن حافظا واعيا - فجمعك للكتب لا ينفع

Maksudnya: Jika kamu tidak mempunyai sifat menjaga dan menghafal ilmu, maka kitab-kitab yang yang kumpul tidak akan memberi manfaat walau sedikitpun. (Rujuk Al-Jami’ fi Bayan al-Ilm wa Fadhlihi oleh Imam Ibn Abd al-Barr, 1/139)

Yunus bin Habib pernah mendengar seorang yang berkata:

وبئس مستودع العلم قراطيس

Maksudnya: Seburuk-buruk orang yang meninggalkan ilmu, ialah yang meninggalkannya pada lembaran-lembaran kertas (yakni tidak dihafal).

Kerana itulah ada ulama yang menyatakan bahawa ilmu itu adalah apa yang dihafaz, dan hafazan tidak dapat dicapai melainkan dengan usaha keras, banyaknya ulangkaji dan perbincangan yang intensif. Perbincangan dan muzakarah merupakan nyawa bagi ilmu, dan tanpa ulangkaji, tiadalah hafalan. Benarlah kata-kata seorang hukama’:    


وَلَيْسَ عِلْمًا مَا وَعَى الْقِمَطْرُ مَا الْعِلْمُ إِلا مَا وَعَاهُ الصَّدْرُ

Maksudnya: Ilmu itu bukanlah apa yang terbuku di dalam kitab, namun ilmu itu adalah apa yang terpelihara di dada dan ingatan. (Rujuk Al-Hassu ‘ala Tolab al-‘Ilm wa al-Ijtihad fi Jam’ihi, hal. 1/67)

Diriwayatkan pula bahawa Abd al-Razzaq berkata: Setiap ilmu yang tidak dibawa oleh pemiliknya ke dalam tandas (dengan erti kata tidka dihafal dan diingati), maka ia tidak dikira sebagai ilmu. (Rujuk al-Dalil ila al-Mutun al-‘Ilmiyyah oleh Abd al-Aziz ibn Qasim, 1/53)

 

Kesimpulan

Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata:

الْعِلْمُ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَى فَخُذُوا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ أَحْسَنَهُ

Maksudnya: Ilmu itu amat banyak daripada yang termampu untuk dihitung, maka ambillah setiap sesuatu itu yang terbaik.

Kemampuan akal manusia adalah terbatas, dan kapasiti memori manusia juga mempunyai hadnya. Sifat pelupa merupakan satu kelemahan yang amat sinonim dalam diri manusia. Firman Allah SWT:

وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا

Maksudnya: Dan sesungguhnya manusia itu diciptakan dengan fitrah sifat pelupa.

Surah al-Nisaa’ (28)

Maka dengan demikian, para pelajar hendaklah bijak dalam menapis dan menyaring segala maklumat yang diperoleh, dan memilih ilmu-ilmu yang benar-benar bermanfaat sahaja untuk dihafal, seterusnya disampaikan kepada orang ramai.

Kami mengambil kesempatan disini untuk menasihatkan kepada pelajar agar membudayakan hafazan dan mempelajari teknik hafalan yang berkesan serta mudah untuk dipraktikkan.

Wallahu a’lam.