اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1219 : BOLEHKAH SOLAT QASAR TANPA JAMAK?

af1219 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu soalan. Apa hukum seseorang solat qasar tanpa jamak?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat qasar adalah satu rukhsah khusus bagi orang yang bermusafir. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT :

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ ۚ

Maksudnya :” Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.”

(Surah Al-Nisa’ : 101)

Begitu juga solat jamak merupakan salah satu rukhsah yang diberikan pada keadaan yang tertentu. Ini berdasarkan kenyataan Ibnu Umar. Beliau berkata :

إذا جدبه السير جمع بين المغرب والعشاء بعد ما يغيب الشفق

Maksudnya :” Rasulullah SAW apabila Baginda ingin bersegera dalam permusafiran, Baginda akan menjamakkan solat Maghrib dan Isyak selepas hilangnya mega.”

Riwayat Imam Ahmad (5163) di dalam Musnadnya

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, tidak ada masalah untuk mengqasarkan solat tanpa menjamakkannya. Ini kerana mengqasarkan solat ketika musafir pada hakikatnya merupakan satu sunat yang muakkad. Ini berdasarkan kepada banyaknya riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi SAW sering mengqasarkan solat ketika musafir. Di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik. Beliau menyebut:

خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْمَدِينَةِ إِلَى مَكَّةَ فَكَانَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ حَتَّى رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ

Maksudnya :” Kami keluar bersama Nabi SAW daripada Madinah menuju ke Mekah. Nabi SAW solat dua rakaat dua rakaat sehinggalah kami pulang ke Madinah.”

Riwayat Al-Bukhari (1081)

Di dalam riwayat yang lain , Ibnu Umar berkata :

صَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ لَا يَزِيدُ فِي السَّفَرِ عَلَى رَكْعَتَيْنِ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ كَذَلِكَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ

Maksudnya :”Aku menemani Rasulullah SAW ( di dalam permusafiran). Baginda tidak pernah menambah lebih daripada dua rakaat. Begitu juga Abu Bakar, Umar dan Uthman R.Anhum.”

Riwayat Al-Bukhari (1102)

Adapun menjamakkan solat, ia adalah perkara yang harus. Ini kerana terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi SAW kadang-kadang tidak menjamakkan solat ketika musafir. Di antaranya adalah apa yang disebutkan oleh Ibnu Abbas :

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا فِى غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ سَفَرٍ

Maksudnya : Rasulullah SAW menjamakkan di antara solat Zohor dengan asar dan Maghrib dengan Isyak bukan ketika peperangan bukan juga ketika musafir.”

Riwayat Muslim (1662)

Ini menujukkan kadang-kadang Rasulullah SAW tidak menjamakkan solat ketika Musafir. Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan Imam Al-Ghazali. Beliau berkata :

“Imam Al-Ghazali berkata di dalam Al-Basit. Begitu juga Al-Mutawalli pernah menyebutkan di dalam Al-Tatimmah bahawa paling baik meninggalkan solat jamak dan solat pada waktunya.Tidak ada khilaf bahawa meninggalkan solat jamak lebih afdal. Ini berbeza dengan solat qasar.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/378)

Kesimpulannya, tidak ada masalah jika seseorang ingin mengqasarkan solat tanpa menjamakkannya. Namun, jika dia kesempitan waktu ketika musafir, seeloknya dijamakkan solat agar memudahkannya dan tidak mendatangkan kesusahannya padanya.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.