اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1255: WAKTU SEBENAR SOLAT SUNAT ISYRAQ (EDISI KEMASKINI)

1255

SOALAN:

Assalamualaikum Dato SS Mufti. Bilakah waktu sebenar Solat Sunat Isyraq?

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya apabila telah selesai melaksanakan solat Subuh berjemaah supaya duduk berzikir kepada Allah SWT sehinggalah matahari naik, kemudian mengerjakan solat sunat dua rakaat. Rasulullah SAW menyatakan pahala yang besar bagi sesiapa yang melaksanakan ibadah tersebut, Baginda SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِى جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

Maksudnya: Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.

Hadis riwayat al-Tirmidzi dan al-Tabrani RA : 586

Ibnu ‘Abbas menamakan solat Dhuha yang dilakukan pada awal waktu tersebut sebagai solat Isyraq. Ia dinamakan dengan nama tersebut kerana ia didirikan selepas waktu syuruk iaitu waktu matahari sedang terbit. Namun begitu, walaupun solat Isyraq adalah solat yang dilakukan pada waktu solat Dhuha, terdapat beberapa perbezaan di antara solat Isyraq dan solat Dhuha. (Rujuk Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’: 58-59)

  Perbezaan tersebut adalah seperti berikut:

  • Waktu solat Isyraq ialah solat Dhuha yang dilaksanakan pada awal waktunya. Ini kerana waktu solat sunat Dhuha bermula dari terbitnya matahari sehinggalah sebelum matahari tegak di atas kepala. Justeru itu, Solat Isyraq bermula setelah matahari naik pada kadar segalah iaitu lebih kurang 1.5 meter atau kira-kira 12-15 minit selepas matahari terbit (Rujuk Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’: 58).
  • Disamping itu,  sebaiknya untuk mendapatkan fadhilat Solat Isyraq yang disebutkan di dalam hadith ialah dengan seseorang itu berjemaah pada waktu Subuh di masjid dan hendaklah dia kekal duduk berzikir di sana, kemudian barulah dia mendirikan solat tersebut. Manakala, fadhilat solat Dhuha boleh didapati dengan dilakukan dalam waktunya.
  • Waktu solat Dhuha pula bermula daripada terbitnya matahari (selepas waktu syuruk) sehingga sebelum tergelincir matahari (Rujuk Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’: 60). Manakala, waktu terbaik untuk solat Dhuha ialah ketika pasir menjadi panas disebabkan matahari sudah mulai terpancar terik. Solat Dhuha yang dilakukan pada waktu ini disebut sebagai solat Awwabin. Ini berdasarkan hadis

صَلَاةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمِضُ الفِصَالُ

Maksudnya: Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).

Hadith riwayat Muslim : 1238

  • Solat Dhuha boleh dilakukan dengan dua rakaat paling sedikit, kemudian seterusnya empat, enam, lapan sehingga 12 rakaat paling banyak. Manakala Solat Isyraq hanya dilakukan sebanyak dua rakaat sahaja.
  • Solat Sunat Isyraq tidak boleh diqadha jika sekiranya terlepas waktunya. Jika ia dikerjakan selepas dari waktu Solat Isyraq itu, maka ia dikira sebagai Solat Dhuha dan bukan Solat Isyraq.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa Solat Isyraq ialah Solat Dhuha yang dilakukan pada awal waktunya. Waktu Solat Isyraq ini bermula daripada kadar matahari naik segalah iaitu bersamaan dengan kira-kira 15 minit dari bermulanya waktu syuruk.

Di samping itu juga, kami menggalakkan supaya para jemaah setelah selesai melaksanakan solat Subuh secara berjemaah di masjid supaya duduk beriktikaf sebentar di masjid atau surau dengan mengisinya dengan berzikir kepada Allah SWT. Kemudian, diikuti pula dengan solat sunat 2 rakaat pada waktu isyraq. Namun, bagi sesiapa yang bekerja dan mempunyai urusan yang memerlukan dia keluar daripada masjid, maka tidak mengapa untuk melaksanakan solat Isyraq di mana-mana sekalipun. Moga-moga dengan kita melakukannya, kita mendapat fadhilat dan ganjaran pahala daripada Allah SWT tersebut.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang sahih terhadap agama serta memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk melaksanakan amal ibadat dengan ikhlas kepadanya. Amin.

WaAllahu a’lam.