اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1271: IMAM TERTINGGAL SATU AYAT AL-FATIHAH

imam lupa dthh.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Sekiranya imam terlupa atau tertinggal satu ayat dari Surah al-Fatihah semasa menunaikan solat Isyak, adakah solat yang dilakukan sah? Apakah yang perlu dilakukan oleh imam tersebut dan para jemaah yang hadir pada malam tersebut? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, di dalam mazhab Imam al-Syafie, membaca surah al-Fatihah di dalam solat merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat dan ia wajib dibaca di dalam setiap rakaat sama ada solat sunat ataupun fardhu. Sekiranya seseorang itu tidak membaca surah al-Fatihah di dalam mana-mana rakaat maka solatnya itu tidak sah. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ. يَقُولُهَا ثَلاَثًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang/rosak.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.

Riwayat Muslim (907)

Imam Nawawi berkata: Membaca al-Fatihah adalah wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288)

Imam al-Baijuri dalam kitabnya telah menyenaraikan sebelas syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah al-Fatihah di dalam sembahyang, antaranya:

  • Membaca dengan tertib (tersusun mengikut susunan ayat-ayatnya).
  • Membaca setiap ayatnya termasuk Basmalahnya, kerana ianya adalah sebahagian daripada surah al-Fatihah. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/290)

Imam Nawawi juga menyebut: Berkenaan orang yang meninggalkan membaca surah al-Fatihah kerana lupa sehingga salam atau rukuk, terdapat dua pendapat yang masyhur; Yang paling kuat berdasarkan kesepakatan ulama’ dalam mazhab kami dan ia merupakan qaul jadid (pendapat terbaru Imam Syafi’e) ialah tidak gugur baginya kewajiban membaca surah al-Fatihah. Jika dia ingat sesaat sahaja setelah salam, maka dia hendaklah kembali solat dan melanjutkan solatnya dengan menambah satu rakaat lagi, lalu sujud sahwi. Jika waktunya sudah berselang lama, maka dia hendaklah mengulangi solat daripada awal. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288)

Ringkasnya, terdapat tiga keadaan jika seseorang itu terlupa membaca al-Fatihah:

  • Jika dia terlupa membaca al-Fatihah dan teringat bahawa dia tidak membaca al-Fatihah dan pada ketika itu dia rukuk maka dia perlu bangun dan membaca semula surah al-Fatihah.
  • Jika dia teringat setelah dia bangun untuk rakaat seterusnya, maka bacaan al-Fatihah pada ketika itu, menjadi ganti untuk rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah. Sebelum salam, dia perlu bangun dan menambah rakaat serta sujud sahwi.
  • Jika dia teringat selepas memberi salam dalam waktu yang tidak terlalu lama, maka dia perlu bangun untuk menambah rakaat sebagai ganti rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah dan disusuli dengan sujud sahwi. Adapun jika berlalu waktu yang terlalu lama kemudian dia teringat bahawa ada satu rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah, maka dalam keadaan ini dia perlu solat semula. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/288)

Bagi imam yang terlupa membaca al-Fatihah, solatnya tidaklah batal dan dia perlu menambah rakaat sebelum salam. Ini kerana rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah dianggap tidak bernilai. Oleh itu sebelum salam, dia perlu bangun dan tambah rakaat sebagai ganti kepada rakaat yang mana dia terlupa untuk al-Fatihah di dalamnya. Adapun, jika dia tidak bangun menambah rakaat sesudah salam dan berlalu dalam tempoh masa yang lama, maka solat yang dilakukannya sebelum itu tidak sah dan perlu mengulang semula solatnya.

Bagi makmum pula, mereka mempunyai dua pilihan jika imam terlupa membaca al-Fatihah :

  • Terus mengikut imam dengan harapan dan anggapan bahawa imam akan menganti semula rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah. Jika Imam tidak mengganti rakaat pada akhir solat iaitu sebelum salam, makmum boleh berniat mufaraqah dan mengganti sendiri rakaat tersebut.
  • Makmum terus berniat mufaraqah dan meneruskan solatnya secara sendiri. [1]

 

Kesimpulan

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat banyak nas fuqaha'. Secara umumnya seperti berikut, antaranya:

Al-Imam al-Mardawi berkata: Hendaklah makmum menegur imam. Sama ada Fatihah yang terlupa atau bacaan yang lain yang tidak wajib. Adapun selain daripada Fatihah, maka tidak wajib menegurnya tanpa khilaf yang aku ketahui. Sedangkan Fatihah yang terlupa, maka pendapat yang sahih dalam mazhab dan juga jumhur al-Ashab mewajibkan untuk menegurnya. Ada qaul yang berpendapat tidak wajib dan ia merupakan zahir kalam musannif. (Lihat al-Insaf, 2/100) Huraian yang sama terdapat Hasyiyah al-Raudh (2/106).

Sebagai kesimpulan, kami katakan seperti berikut:

  • Jika lupa dalam solat dan masih dalam solat, dan berada selepas rukuk, maka hendaklah ditambah satu rakaat sebagai ganti dan makmum mengikutnya.
  • Jika lupa di luar solat, tetapi waktu masih pendek dari masa solat yang telah ditunaikan, maka hendaklah ditambah satu rakaat yang dilupai serta diikuti oleh makmum dan sujud sahwi berdasarkan hadis Zu al-Yadain. (Lihat Sahih Bukhari, no. 714 dan Sahih Muslim, no. 573)
  • Jika lupa tersebut tetapi makmum mengetahuinya sedangkan tidak diendahkan oleh imam selepas diperingatkan, maka tidak harus makmum mengikutnya dan boleh bermufaraqah. (Lihat nukilan al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, pendapat Imam al-Zarkasyi, 1/196)
  • Jika sekiranya waktu sudah berlalu, maka wajiblah imam dan makmum i’adah (mengulangi) solat semula atau qadha solat semula kerana solat tidak memenuhi rukun iaitu bacaan Fatihah yang sempurna. Justeru, kami syorkan solatlah sebagai qadha' jika tempoh masa sudah lama dan keadaan terlupa bukanlah satu kesalahan.

Semoga Allah mengampuni dosa kita dan menjadikan kita sentiasa peka serta memberi kecaknaan dan prihatin dalam ibadat solat untuk meraih kesempurnaan solat. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat juga arikel yang telah kami terbitkan dalam siri Al-Kafi #789 : Imam Terlupa Membaca Al-Fatihah