اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1272: HUKUM MENGAMBIL WUDUK DENGAN MEMAKAI CINCIN

1272

SOALAN:

Assalamualaikum Dato’ SS Mufti. Saya ingin bertanya, bolehkah saya mengambil wuduk dengan memakai cincin? Jika boleh, boleh Dato’ Mufti terangkan caranya?

Terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT memerintahkan seseorang itu mengambil wuduk sebelum mengerjakan ibadah-ibadah yang tertentu seperti solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran dan sebagainya. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

(Surah al-Maidah: 6)

Terdapat kelebihan-kelebihan bagi orang yang melaksanakan wuduk dengan sempurna dan sebaik-baiknya. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Uthman Ibn ‘Affan RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

منْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الوضوءَ، خَرَجَت خَطَايَاهُ مِنْ جسَدِهِ حتَّى تَخْرُجَ مِنْ تحتِ أَظفارِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang mengambil wuduk dan menyempurnakan wuduknya dengan sebaik-baiknya, maka keluarkan dosa-dosa daripada jasadnya sehingga keluar juga daripada celahan kuku-kukunya.

Hadith riwayat Muslim: (1/216)

Pada asalnya, hukum memakai cincin bagi golongan lelaki ialah harus, kecuali cincin yang diperbuat daripada emas. Cincin yang diperbuat daripada emas diharamkan keatas lelaki berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.

Hadith riwayat Muslim (2089)

Manakala, bagi golongan perempuan pula, ijma’ para ulama menyatakan keharusan perempuan untuk memakai emas sebagai perhiasan buat dirinya dan ijma’ para ulama’ mengatakan haram bagi lelaki. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih al-Muslim lin Nawawi, 14:65)

Berkenaan hukum dan cara mengambil wuduk dengan memakai cincin, para ulama berbeza pandangan kepada dua pendapat:

  • Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa wajib untuk menggerak-gerakkan cincin ketika membasuh tangan untuk mengambil wuduk, jika sekiranya cincin tersebut ketat dan sempit ruangnya yang tidak dapat dipastikan bahawa air sampai ke dalamnya. Namun, jika sekiranya cincin itu longgar atau dapat dipastikan bahawa air sampai kepada kulit, maka tidak wajib untuk menggerak-gerakkan cincin tersebut, bahkan sunat sahaja untuk melakukannya.
  • Para ulama’ Malikiyyah pula berpandangan bahawa tidak wajib untuk mengubah kedudukan cincin pada jari seseorang yang berwuduk walaupun ia ketat, jika sekiranya cincin tersebut daripada apa yang dibenarkan oleh syarak. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11:30)

Walaubagaimanapun, berbeza keadaannya jika seseorang itu mengangkat hadath dengan bertayammum. Jumhur ulama’ daripada Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah bersepakat bahawa perlu untuk menanggalkan cincin ketika bertayammum bagi memastikan debu-debu tanah itu sampai kepada kulit orang yang bertayammum tersebut. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11:31)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sah wuduk bagi seseorang yang memakai cincin. Namun, jika sekiranya cincin yang dipakai itu agak ketat dan tidak dapat dipastikan bahawa air mengenai kulit di bawahnya, maka wajib untuk dia mengerak-gerakkan cincinnya tersebut dan memastikan air mengenai kulitnya.

Disamping itu, kami menggalakkan kepada seseorang yang memakai cincin yang longgar untuk menggerakkan juga cincin tersebut bagi memastikan air benar-benar sampai ke kulitnya. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang menyebut:

الْخُرُوجُ مِنْ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: Mengambil pendapat yang keluar daripada khilaf adalah disukai. (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair li al-Suyuti: 136)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan syariat Islam dan melakukan amal ketaatan menepati kehendak Allah SWT dan RasulNya. Amin.

WaAllahu a'lam.