اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1302 BOLEHKAH ISTERI YANG BER’IDDAH MENGADAKAN KENDURI KAHWIN ANAKNYA

ak1302

Soalan

Assalamualaikum. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Saya ada satu persoalan. Seorang isteri yang baru kematian suami ingin mengadakan kenduri kahwin anaknya yang telah ditetapkan sewaktu suaminya masih hidup. Adakah boleh seorang isteri yang masih di dalam iddah wafat meneruskan kenduri kahwin anaknya tersebut. Mohon pencerahan daripada ustaz. Sekian, terima kasihJawapan

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Takrif ‘Iddah

Menurut bahasa, ‘iddah bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji: 3/61)

Hikmah Pensyariatan ‘Iddah

Hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:

  • Menunjuk kesetiaan kepada suami yang telah meninggal. Oleh itu Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya, setia dan melayaninya. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
  • Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji: 3/61)

Justeru para ulama’ dan imam-imam mazhab yang empat telah membuat kesimpulan berkaitan dengan hukum-hakam ihdad (berkabung) antara lain kata mereka:

  • bahawa sesungguhnya ihdad (berkabung) wajib ke atas kematian suami untuk menzahirkan rasa dukacita dan menunaikan janjinya. Begitu juga kerana terputusnya nikmat perkahwinan dan bukan semata-mata nikmat dunia tetapi melangkaui akhirat. Ini kerana, nikah menjadi sebab kejayaan mereka di dunia dan akhirat.
  • Begitu juga pensyariatan ihdad (berkabung) kerana mencegah niat lelaki untuk bersama dengannya kerana kalau dia berhias-hias sudah pasti membawa ke arah itu dan ini tidak dibenarkan sama sekali (Lihat: Hasyiah Sa’di Jalbi ‘ala Syarh Fath al-Qadir, 3/291)

Tempoh ‘Iddah kematian Suami

Iddah kerana kematian ialah `iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:

  • Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka `iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada `iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.
  • Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Ini seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka `iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji: 3/63)

Kewajipan yang perlu dilakukan dalam tempoh ‘Iddah kematian

Perempuan yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:

  • Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah RAnha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari

Riwayat: al-Bukhari (5339)

  • Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Ini seperti membeli keperluan makanan, bekerja sekiranya tidak membenarkannya untuk tinggal di rumahnya secara berterusan sepanjang tempoh ‘iddahnya dan isteri terpaksa menghilangkan kesunyian dengan berbual-bual bersama jiran. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji: 3/71-73)

Dan diharuskan keluar rumah kerana keperluan seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: “Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”

Riwayat: Muslim (1483)

Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Hadis ini adalah dalil membolehkan wanita beriddah bain untuk keluar bagi suatu hajat keperluan. Pendapat mazhab Malik, al-Tsauri, al-Laits, al-Syafie, Ahmad dan lain-lain ulama bahawa dibenarkan wanita beriddah ba’in itu keluar pada hari siang bagi suatu hajat. Mereka juga mengharuskan juga keluar bagi wanita yang kematian suami dan dalam hal ini dipersetujui juga oleh Abu Hanifah sekalipun dalam kes talak bain beliau berkata tidak boleh keluar, sama ada malam atau pun siang. Hadis ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan. Wallahua’lam”. (Lihat: Syarah Sahih Muslim 10/108)

Imam Ramli di dalam kitabnya menyatakan, keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita ber’iddah hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam di rumah tempat ‘iddahnya. (Lihat: Nihayah al-Muhtaj, 7/156)

Selain itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ada mengeluarkan garis panduan bagi wanita yang ber’iddah iaitu:

  • Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
  • Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
  • Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawatdan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
  • Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
  • Wajib berkabung sepanjang tempoh `iddah. Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:
  1. Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;
  2. Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;
  • Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan
  1. Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat

(Lihat: Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami, oleh JAKIM).

Kesimpulannya

Berbalik kepada persoalan dan dalil yang diberikan, Sebaiknya ditangguhkan majlis itu sehingga selesai waktu iddahnya. Namun sekiranya tidak boleh ditangguhkan, dibenarkan untuk mengadakan majlis perkahwinan. Justeru, kewajipan menjaga batasan yang ditetapkan syarak mestilah diikuti. Di antaranya:

  • Tidak keluar rumah tanpa tujuan dan hajat yang memerlukan serta menjaga syariat.
  • Menjaga batasan dan adab ketika berkabung. Ini seperti tidak berhias-hias, tidak memakai wangi-wangian dan menghindarkan diri daripada perkara yang membawa fitnah.
  • Segala keperluan dan hajat diselesaikan pada waktu siang dan bermalam di rumahnya.
  • Sebaiknya segala urusan majlis itu diselesaikan oleh anak-anaknya atau wakilnya pada waktu ‘iddah.

Semoga Allah SWT memberi ketabahan dan kekuatan kepada kita semua serta dapat beramal dengan sebaik mungkin.

Selain itu boleh rujuk artikel:

AL-KAFI #977: BOLEHKAH WANITA DALAM ‘IDDAH IRINGI JENAZAH SUAMI KE MASJID

AL-KAFI #1047: WANITA BERIDDAH KELUAR RUMAH UNTUK BERSEDEKAH

BAYAN LINNAS SIRI KE-61: CALON WANITA BERKEMPEN UNTUK PILIHANRAYA DALAM KEADAAN ‘IDDAH

Wallahualam.