SOALAN
Saya ingin bertanya kepada mufti, suami saya mula mengambil dadah. Dia seorang yang mempunyai kewangan stabil, perwatakan masih baik seperti biasa, namun saya bimbang keadaannya akan berubah. Bolehkah saya menuntut fasakh?
JAWAPAN
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Perkahwinan adalah suatu perkara yang disyariatkan oleh Islam sebagai memenuhi fitrah manusia untuk berpasangan sekaligus mempamerkan kekuasaan Allah SWT yang menyatukan dua insan dan akan lahir pula daripada mereka zuriat-zuriat. Hal ini sebagaimana yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran :
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah al-Rum: 21)
Perkahwinan tidaklah dihalalkan begitu sahaja, tetapi didatangkan bersamanya hukum-hakam bagi menjamin kelestarian perkahwinan di samping menjaga hak suami isteri dengan seadilnya.
Persoalan berkaitan dengan fasakh ini kami telah jawab di dalam artikel kami yang bertajuk: Al-Kafi #1130: Bolehkah Fasakh Kerana Suami Hidap Hiv ?[1]. Di dalam artikel ini kami nyatakan pengenalan kepada fasakh seperti berikut:
Fasakh adalah jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat aib-aib yang telah ditentukan syarak, dan ia memberi kesan kepada tujuan pernikahan itu. Antaranya ialah aib-aib yang menyebabkan terhalang untukistimta’ atau “berseronok” di antara suami dan isteri.
Secara asasnya, para fuqaha’ telah menyenaraikan beberapa aib-aib yang dibolehkan untuk membawa kepada tuntutanfasakh. Antaranya:
وَعُيُوبُ النِّكَاحِ سَبْعَةٌ وَهِيَ الجُنُونُ وَالجُذَامُ وَالبَرَصُ وَالرَّتْقُ وَالقَرْنُ وَالعُنَّةُ وَالجُبُّ
Maksudnya: Aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, iaitu gila, kusta, sopak, faraj tersumbat dengan daging, faraj terhalang dengan tulang, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong, Lihat al-Mu’tamad (4/96).
Namun begitu, fasakh hanyalah boleh dituntut sekiranya semua aib yang disebutkan di atas, diketahui selepas perkahwinan. Lihat al-taqrirat al- Sadidah fi al-Masail al-Mufidah (42).
Dr. Muhammad al-Zuhaily menyebut bahawa tuntutan fasakh ini adalah untuk keaiban yang wujud menyebabkan terkeluar daripada kebiasaan manusia sehingga akan memberikan kesan kepada hubungan suami isteri. Keaiban ini terbahagi kepada dua, iaitu yang menghalang persetubuhan dan yang tidak menghalang persetubuhan seperti gila dan sopak. Ia dianggap sebagai keaiban meskipun tidak menghalang persetubuhan tetapi sekiranya menjijikkan atau memberi kesan sehingga menghalang untuk bersama dengan isteri, maka menjadi hak isteri untuk memilih sama ada untuk kekal atau membubarkan perkahwinan.
Seterusnya, dalam meneliti isu ini juga hendaklah kita memahami persoalan berkaitan dengan dadah. Ibn Manzur menyebut bahawa dadah itu sendiri berasal daripada beberapa makna, antaranya al-Khadar yang membawa makna al-futur dan al-kasl iaitu lemah dan malas kerana terkesan dengan dadah. Lihat kamus Lisan al-‘Arab (4/230). Imam ibn Hajar al-Haitami menakrifkan dadah sebagai sesuatu yang memberi kesan dengan menghilangkan akal seketika tanpa menyakitkan. Lihat al-Zawajir (1/213).
Penagihan dadah telah dianggap sebagai suatu penyakit yang perlu dirawat. Ini sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam negeri dan Kementerian Kesihatan[2]. Apabila suami ditimpa penyakit terutamanya penyakit yang akan turut memberi kesan kepada isteri, seperti yang disebutkan oleh Dr Muhammad al-Zuhaily, maka penagihan dadah ini sesuai diangkat seiring dengan aib-aib yang boleh membawa kepada tuntutan fasakh.
Penagihan dadah tentunya akan memberi kesan mudarat yang cukup besar kepada individu itu sendiri dan keluarga. Maka, syarak tidak akan sesekali membiarkan sesiapa pun dari terhumban dalam kemudaratan seperti sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Yahya al-Mazini, bahawa Baginda SAW bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak boleh memudaratkan diri dan memudaratkan orang lain.
Riwayat Malik (1435) Ibn Majah (2341)
Selain itu, mereka yang terlibat dengan penagihan dadah ini ternyata telah melanggar syariat Islam yang mengharamkannya penyalahgunaanya. Ibn Hajar al-Haitami menyatakan
وحكى القرافي وهو من أئمة المالكية، وابن تيمية الإجماع على تحريم الحشيش
Maksudnya: Dan disebutkan oleh al-Qarafi yang merupakan ulama’ besar mazhab Maliki, dan Ibn Taimiyyah bahawa (telah menjadi) ijma’ untuk pengharaman ganja. Lihat al-Zawajir (1/213).
Islam meraikan perasaan wanita terhadap suaminya dengan membenarkan wanita untuk menuntut pembubaran perkahwinan apabila wanita itu tidak lagi menyukai suaminya dan bimbang perasaan benci itu akan menyebabkannya dia derhaka kepada suaminya. Ini seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA:
جَاءَتِ امْرَأَةُ ثَابِتِ بْنِ قَيْسِ بْنِ شَمَّاسٍ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَنْقِمُ عَلَى ثَابِتٍ فِي دِينٍ وَلاَ خُلُقٍ، إِلاَّ أَنِّي أَخَافُ الْكُفْرَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " فَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ ". فَقَالَتْ نَعَمْ. فَرَدَّتْ عَلَيْهِ، وَأَمَرَهُ فَفَارَقَهَا
Maksudnya: Isteri Thabit bin Qais telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit daripada sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam (mengelak daripada derhaka kepada suami). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya (maharnya)? Jawabnya: “Ya”. Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia”
Riwayat al-Bukhari (5276)
Imam Ibn Hajar dalam mensyarahkan hadith ini menyatakan, sebab isteri Thabit memohon pembubaran perkahwinan adalah kerana rupa parasnya yang hodoh lagi jelik. Lalu dia merasa bimbang akan menjadi derhaka kepada suaminya disebabkan tidak meredhai rupa paras suaminya. Lihat Fath al-Bari (9/311).
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami menyatakan bahawa wanita berhak menuntut pembubaran perkahwinan apabila suami merupakan penagih dadah. Namun begitu, hak menuntut pembubaran ini adalah salah satu pilihan yang dibolehkan. Sekiranya pihak isteri berteguh untuk meneruskan perkahwinan, maka tidaklah menjadi suatu kesalahan dan hendaklah suami tersebut mendapatkan rawatan pemulihan untuk berhenti daripada penagihan dadah.
Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan taufiq dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin
[1] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3155-al-kafi-1130-bolehkah-fasakh-kerana-suami-hidap-hiv?highlight=WyJmYXNha2giXQ==
[2] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/577601/penagihan-dadah-ditakrif-pesakit