اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1330 : HUKUM PIHAK MASJID MENGADAKAN MAJLIS ILMU SETIAP HARI

AK 1330

 

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya ada terbaca suatu kenyataan dari Ibnu Mas’ud yang menyebut secara maknanya bahawa beliau tidak berhajat untuk menyampaikan tazkirah atau peringatan secara setiap hari kerana takut akan menyebabkan orang ramai berasa bosan.

Persoalan saya, bagaimanakah dengan suasana masyarakat kita pada hari ini yang mana setiap hari boleh dikatakan terdapatnya kuliah-kuliah di masjid ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluargan baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Merujuk kepada kata-kata yang dinisbahkan kepada Ibn Mas’ud dalam soalan di atas, berikut kami kongsikan kenyataan penuh beliau dalam isu ini. Daripada Abu Wa’il beliau berkata:

كَانَ عَبْدُ اللَّهِ يُذَكِّرُ النَّاسَ فِي كُلِّ خَمِيسٍ، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ لَوَدِدْتُ أَنَّكَ ذَكَّرْتَنَا كُلَّ يَوْمٍ‏.‏ قَالَ أَمَا إِنَّهُ يَمْنَعُنِي مِنْ ذَلِكَ أَنِّي أَكْرَهُ أَنْ أُمِلَّكُمْ، وَإِنِّي أَتَخَوَّلُكُمْ بِالْمَوْعِظَةِ كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَتَخَوَّلُنَا بِهَا، مَخَافَةَ السَّآمَةِ عَلَيْنَا

Maksudnya: ‘’Adalah Abdullah (Ibn Mas’ud) memberikan peringatan (tazkirah) kepada orang ramai pada setiap hari khamis’’. Lalu seorang lelaki berkata kepada beliau: ‘’Wahai Abu Abd al-Rahman, aku suka sekiranya kau dapat memberikan peringatan kepada kami setiap hari’’. Maka Ibn Mas’ud pun menjawab: ‘’Sesungguhnya tidaklah yang menghalang aku dari melakukan perkara tersebut melainkan aku tidak suka untuk menyebabkan kamu berasa bosan. Sesungguhnya aku memilih masa yang sesuai kepada kamu (untuk memberikan peringatan) sebagai mana Rasulullah S.A.W dahulunya memilih masa untuk memberikan peringatan kepada kami, kerana takut kami berasa bosan’’.

Riwayat Al-Bukhari (70)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah dalam mensyarahkan hadis ini beliau berkata:

وَيُسْتَفَادُ مِنَ الْحَدِيثِ اسْتِحْبَابُ تَرْكِ الْمُدَاوَمَةِ فِي الْجِدِّ فِي الْعَمَلِ الصَّالِحِ خَشْيَةَ الْمَلَالِ وَإِنْ كَانَتِ الْمُوَاظَبَةُ مَطْلُوبَةً لَكِنَّهَا عَلَى قِسْمَيْنِ إِمَّا كُلَّ يَوْمٍ مَعَ عَدَمِ التَّكَلُّفِ وَإِمَّا يَوْمًا بَعْدَ يَوْمٍ فَيَكُونُ يَوْمُ التَّرْكِ لِأَجْلِ الرَّاحَةِ لِيُقْبِلَ عَلَى الثَّانِي بِنَشَاطٍ

Maksudnya: Dan diambil faedah dari hadis ini akan tuntutan (galakan) untuk meninggalkan berterusan dalam bersungguh mengerjakan amalan soleh kerana takutkan kebosanan. Ini sekalipun berterusan (dalam mengerjakan amalan) itu dituntut akan tetapi ia dilakukan mengikut dua bahagian:

  • Sama ada ia dilakukan dalam setiap hari tanpa takalluf (bersusah payah).
  • Atau secara selang sehari. Maka hari meninggalkan amalan adalah untuk berehat bagi menghadapi hari berikutnya dengan penuh semangat dan kekuatan (bagi melakukan sesuatu amalan).

Kemudian Imam Ibn Hajar menyambung dengan katanya:

وَيَخْتَلِفُ بِاخْتِلَافِ الْأَحْوَالِ وَالْأَشْخَاصِ وَالضَّابِطُ الْحَاجَةُ مَعَ مُرَاعَاةِ وُجُودِ النَّشَاطِ

Maksudnya: Dan hal ini berbeza mengikut perbezaan keadaan dan juga individu dan dhabitnya adalah apabila ada hajat keperluan, berserta dengan meraikan kewujudan kekuatan (dalam melakukan amalan).

Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (1/163)

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyimpulkan perbahasan berkaitan isu ini menerusi beberapa perkara yang berikut:

  • Secara umumnya pihak masjid boleh mengadakan majlis ilmu secara harian. Ini kerana perkara tersebut adalah harus hukumnya dan ia juga merupakan antara amanah dan tanggungjawab pihak pengurusan masjid.
  • Kami menambah, adalah lebih baik sekiranya majlis-majlis ilmu yang dilangsungkan secara harian merupakan majlis ilmu yang berbeza silibus dan bidangnya. Demikian juga penyampai kuliah adalah individu yang berbeza. Sebagai contoh, sekiranya hari ini silibus pengajian di masjid adalah isu fekah, maka keesokannya pula adalah pengajian tafsir, lusa pula adalah hadis, dan begitulah seterusnya. Ini bagi mengelakkan rasa bosan para jemaah dengan topik perbahasan silibus yang sama sekiranya ia dilakukan pada setiap hari.
  • Majlis-majlis ilmu sebegini kebiasaannya tidak bersifat mengikat atau memaksa. Justeru, sekiranya ada dalam kalangan jemaah yang tidak berminat untuk turut serta maka boleh sahaja untuk mereka tidak mengikutinya.
  • Sekiranya masjid itu mempunyai dewan kuliahnya tersendiri, maka bolehlah ia digunakan dan dipenuhi oleh mereka yang berkehendakkan kepada ilmu dan berkelapangan. Lalu ruangan dewan solat utama tidak terganggu sekiranya ada jemaah yang memilih untuk tidak menyertai majlis ilmu tersebut.
  • Selain itu juga, boleh bagi pihak masjid memilih untuk mengosongkan hari-hari tertentu dari majlis kuliah, namun ia diisi dengan aktiviti lain seperti tadarus al-Quran, atau majlis-majlis zikir.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat dalam beragama kepada kita semua. Ameen.