اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1408 : ADAKAH JIKA LAMBAT MENUNAIKAN SOLAT SUNAT TAUBAT, TAUBAT KITA TIDAK AKAN DITERIMA

AF 1408 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah. Saya ada satu kemusykilan. Pernah ada seorang ustaz di tempat saya berikan ceramah. Beliau menyebut yang kita ini tidak boleh melambatkan solat taubat. Jika kita lambat solat taubat maka taubat kita tidak akan diterima. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Setiap manusia berbuat salah. Tiada yang terlepas dari kesalahan dan dosa. Namun yang terbaik adalah meminta ampun dan bertaubat setiap kali melakukan kesalahan dan dosa. Di dalam sebuah hadis daripada Anas Bin Malik.Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda :

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya :” Setiap anak adam ada (melakukan) kesalahan-kesalahan dan sebaik-baik orang yang salah adalah mereka yang banyak bertaubat.”

Riwayat Al-Tirmizi (2423)

Sheikh Muhammad Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyebut bahawa yang dimaksudkan oleh hadis tersebut adalah sebaik-baik manusia yang banyak melakukan dosa adalah mereka yang kembali kepada Allah dengan melakukan amal ketaatan dan meninggalkan maksiat yang pernah dilakukan. (Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi Bi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, 7/202).

Bahkan lebih daripada itu, Allah sentiasa membuka membuka pintu taubat bagi hamba-hamba-Nya yang telah melakukan dosa dan maksiat. Allah sentiasa menyifatkan diri-Nya sebagai Yang Maha Pengampun. Perkara ini dapat diketahui menerusi penelitian terhadap kebanyakan ayat Al-Quran. Dalam satu ayat, Allah akan menyifatkan diri-Nya sebagai Al-Ghaffar dan dalam ayat lain, Dia akan menyifatkan diri-Nya sebagai Al-Ghafur. Kedua-duanya jika diterjemahkan membawa maksud Yang Maha Pengampun.

Di antaranya firman Allah SWT :

نَبِّئْ عِبَادِىٓ أَنِّىٓ أَنَا ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Maksudnya : “ Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).”

(Surah Al-Hijr : 49)

Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman :

وَإِنِّى لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا ثُمَّ ٱهْتَدَىٰ

Maksudnya : “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.”

(Surah Toha : 82)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa seolah-olah Allah berbicara dengan berfirman Aku adalah pemilik dan penerima taubat bagi sesiapa yang bertaubat, mencabut dosanya iaitu tidak lagi meninggalkan terus dosa tersebut,ikhlas di dalam beramal,menunaikan kewajipan yang telah Aku perintahkan dan meniggalkan maksiat serta beristiqamah sehinggalah dia mati. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 16/136)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, selagi mana masih bernafas dan masih hidup, maka pintu taubat sentiasa terbuka. Walaupun seseorang melakukan dosa dan kesalahan berulang-ulang kali kemudian dia bertaubat kepada Allah, Allah tetap menerima taubatnya selagi mana dia memenuhi syarat-syarat taubat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW pernah bersabda :

إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَبْتُ ، فَاغْفِرْ لِي ، فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ ، فَاغْفِرْهُ ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَابَ ذَنْبًا ، قَالَ : قَالَ رَبِّ ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ : فَاغْفِرْهُ لِي ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا ، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ

Maksudnya : “Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.”

Riwayat Al-Bukhari (7507)

Agak tidak tepat jika seseorang mengatakan bahawa jika lambat melakukan solat maka taubatnya tidak diterima. Ini kerana pintu taubat sentiasa terbuka sebelum tibanya kematian. Taubat akan diterima jika ianya memenuhi syarat-syaratnya. Secara ringkasnya syarat-syarat tersebut ialah :

  • Meninggalkan dosa dengan sukarela.
  • Bertaubat dari dosa yang telah dilakukan.
  • Pilihan untuk meninggalkan dosa terbit daripada membesarkan Allah SWT.

Jika nyawanya sudah ditarik, maka tidak ada lagi peluang untuk bertaubat. Hal ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT :

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلْمُجْرِمُونَ نَاكِسُوا۟ رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَآ أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَٱرْجِعْنَا نَعْمَلْ صَـٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Maksudnya : “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".

(Surah Al-Sajadah : 12)

Jelas di dalam ayat ini bahawa orang-orang yang banyak melakukan dosa merayu agar dikembalikan ke dunia untuk bertaubat dan melakukan amal soleh. Akan tetapi, rayuan dan permintaan mereka ditolak oleh Allah kerana pada ketika itu kesemuanya sudah terlambat.

Ya, Allah sememangnya memerintahkan para hamba-Nya agar bersegera bertaubat dan melakukan amal kebaikan jika ada melakukan kesalahan. Allah SWT berfirman :

وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya : “ Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Ali Imran : 133)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menafsirkan ayat ini dengan tafsiran agar bersegera melakukan amal kebaikan yang mana ia merupakan cara dan wasilah untuk mendapatkan keampunan Allah dan mendapatkan peluang untuk masuk ke dalam syurga. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 4/68).

Kesimpulannya, tidak tepat mengatakan bahawa jika lambat solat taubat maka taubat tidak akan diterima. Namun, jangan ditangguhkan taubat kerana bila-bila masa sahaja kita akan mati. Berkenaan tatacara solat sunat taubat dan bilakah waktunya, kami telah mengupasnya di dalam ruangan Al-Kafi Li Al-Fatawi siri ke 651.[1]

Semoga kita sentiasa memohon keampunan daripada Allah. Wallahu’alam.

[1] Rujuk pautan https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/725-al-kafi-651-tatacara-solat-sunat-taubat