اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1454: HUKUM GURU MENGAMBIL HADIAH DARIPADA MURID

ak1454

Soalan

Assalamualaikum admin. Saya ada pertanyaan kepada tuan mufti. Tular sehari dua ni mengenai guru haram menerima hadiah daripada pelajar. betul ke tuan? Sudah byk tahun saya menerima hadiah dari pelajar saya semasa hari guru dan akhir tahun. Mohon tuan mufti dapat memberikan penerangan

Jawapan

Waalaikumsalam. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Hadiah

Istilah hadiah mengikut pandangan Syafi’eyyah adalah suatu pemberian barang yang dimilikinya tanpa memerlukan penukaran barang yang lain dengan tujuan memuliakannya. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/252)

Selain itu, hibah, sedekah dan wakaf juga termasuk di dalam kategori yang sama makna dengan hadiah. Ini seperti yang disebut Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:

والهبة والعطية والهدية والصدقة معانيها متقاربة وكلها تمليك في الحياة بغير عوض

Maksudnya: dan Hibah, A’tiah, Hadiah dan Sedekah berdekatan dari segi makna. Dan setiap daripadanya adalah pemberian hak milik pada waktu hidup tanpa penukaran balik. (Lihat: al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370)

Pensyariatan Hadiah

Para fuqaha’ bersepakat bahawa pensyariatan hadiah adalah disunatkan pada asalnya, melainkan sekiranya kepentingan yang mendatang. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/255)

Begitu juga dengan Nabi SAW pernah menerima hadiah daripada al-Muqauqis dan juga al-Najasi. Dan pemberian hadiah itu sebaiknya diutamanakan kepada jiran dan juga saudara-mara yang terdekat bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim.

Firman Allah SWT:

وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ

Maksudnya: dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin 

(Surah al-Baqarah, 177)

Begitu juga Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah al-Khurasani, Sabda Nabi SAW

وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: Bertukar-tukarlah hadiah nescaya kamu akan saling berkasih-sayang.”

Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ secara mursal (2/908)

Syarat dan Pembahagian Hadiah

Hadiah merupakan salah satu cabang daripada hibah, oleh itu syarat serta hukumnya juga merangkumi syarat dan hukum hibah iaitu:

  • Pemberi dan penerima hadiah
  • Barang yang diberi
  • Lafaz (al-Sighah)

(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah juga ada menyatakan bahawa pembahagian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

  • Halal di antara keduanya iaitu pemberi dan penerima hadiah bertujuan untuk bersilaturrahim.
  • Haram di antara keduanya seperti pemberian bertujuan melakukan kezaliman.
  • Diharamkan kepada penerima hadiah sahaja sekiranya pemberian hadiah itu bertujuan untuk menggelakkan kezalimannya ke atas diri kita.
  • Selain itu, pemberian hadiah disebabkan rasa takut disebabkan kemudharatan adalah halal bagi pemberi dan haram bagi penerima.

(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/258)

Rasuah

Istilah Rasuah di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan: “Sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan” (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/220)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya menyatakan: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah/suap. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.” (Lihat: al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, 626)

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah

Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)

Untuk keterangan lebih lanjut sila rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk:

  • BAYAN LINNAS SIRI KE-193: BEKERJA SEBAGAI IBADAH: MENINGKATKAN SIKAP INTEGRITI
  • AL-KAFI #1237: RASUAH SUDAH MENJADI BUDAYA RAKYAT MALAYSIA?
  • AL-KAFI #711: APAKAH HUKUM MENJADI PERANTARA DALAM PERBUATAN RASUAH?

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan pendangan para fuqaha’ dapat disimpulkan disini, pemberian dan penerimaan hadiah itu mestilah bertujuan untuk kebaikan dan mengeratkan silaturrahim. Dan ini adalah yang disunatkan seperti mana yang dilakukan pada hari guru bagi menghormati dan memuliakan para guru.

Namun, sekiranya pemberian hadiah itu mengandungi unsur-unsur yang dilarang syara’, seperti paksaan dan rasuah bertujuan untuk mendapat manfaat yang tertentu maka ia diharamkan.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya mengamalkan syariahnya dengan sebaik mungkin. Amin.