اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1603: HUKUM MEMBACA BASMALAH KETIKA MELAKUKAN PERKARA YANG DIMAKRUHKAN

ak1603 

Soalan

Assalamualaikum Ss Dato Mufti, saya ada satu kemushkilan. Sahabat saya selalu baca bismillah apabila melakukan sesuatu termasuk ketika buat perkara yang tidak mendatangkan faedah. Jadi soalaan saya, apakah hukum membaca bismillah ketika melakukan perkara yang sia-sia seperti bermain alat muzik, game dan lain-lain. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Takrif Basmalah

Basmalah dari sudut Bahasa dan istilah adalah kalimah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) ia juga disebut sebagai “basmal” “basmalah”. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/83).

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut, sesetengah daripada ulama menyatakan sesungguhnya kalimah basmalah dimasukkan bagi setiap perbuatan yang disyariatkan... Dari segi makna kalimah basmalah di mulakan untuk mengharap taufiq dan keberkatan daripada Allah SWT. Allah SWT mengajar hamba-Nya untuk beribadah kepada-Nya dengan menyebut nama Allah SWT ketika hendak melakukan bacaan al-Quran dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/ 91-98)

Selain itu, Baginda Nabi SAW memerintahkan umatnya supaya dalam melakukan setiap perkara hendaklah dimulai dengan membaca Basmalah. Ini seperti Sabda Nabi SAW:

كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيم فهو أقْطَعُ

Maksudnya: Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji Allah, maka amalan tersebut akan terputus.

Riwayat Ibnu Majah (1894)

Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya, perkara yang penting di dalam hadis di atas maksud terputus di dalam hadis di atas adalah kurangnnya keberkatan dalam melakukan sesuatu perbuatan. Para ulama menyatakan disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT.

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/73)

Hukum Membaca Basmalah

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, maka kami datangkan pendapat para fuqaha berkenaan dengan hukum membaca basmalah di dalam setiap amalan termasuk dalam melakukan perkara yang diharuskan dan dimakruhkan atau perkara yang tidak disyariatkan.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan para fuqaha’ bersepakat bahawa disyariatkan menyebut lafaz basmalah bagi setiap amalan yang dilakukannya walaupun dengan menutup pintu rumah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/92).

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA. Sabda Nabi SAW:

وَأَغْلِقْ بَابَكَ، وَاذْكُرِ اسْمَ اللَّه

Maksudnya: Tutuplah pintu rumah kamu (pada waktu malam) dan sebutlah nama Allah

Riwayat al-Bukhari (3280)

Syeikh Abu Bakar al-Dimyati menyebut di dalam kitabnya, bahawa lafaz basmalah dituntut untuk membacanya pada setiap perkara yang berlandaskan syariat, ini termasuk dilarang melakukannya dalam perkara yang diharamkan, dimakruhkan atau perkara remeh-temeh (tiada nilai di sisi syarak). (Lihat I’anah al-Tolibin, 1/9)

Begitu juga yang dijelaskan oleh Imam al-Suyuti di dalam hasyiahnya, dinukilkan pandangan Izz al-Din ibnu abd al-Salam menyatakan, amal perpuatan seseorang hamba itu terbahagi kepada tiga iaitu, apa yang disunatkan, tidak disunatkan dan dimakruhkan menyebut basmalah. Imam Suyuti menyatakan lagi, dalam perkara yang diharamkan, maka haram memulakan dengan lafaz basmalah, kerana tujuan membaca basmalah adalah kerana mengambil keberkatan dalam melakukan sesuatu perkara. Dan perkara yang haram merupakan perkara yang tiada keberkatan daripadanya. Begitu juga dengan perkara yang dimakruhkan, maka makruh membaca basmalah ketika melakukannya. (Lihat Hasyiah al-Suyuti ala Sunan al-Nasai, 1/61)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan nas ulama yang diberikan, dapat kami simpulkan bahawa makruh hukum menyebut nama Allah SWT atau lafaz basmalah ketika melakukan sesuatu perkara yang lagha atau perkara yang sia-sia seperti bermain alat muzik dan lain-lain.

Ini kerana lafaz basmalah itu sendiri merupakan lafaz yang memberi keberkatan dalam melakukan sesuatu perkara yang disyariatkan. Justeru, kami berpendapat meninggalkannya adalah lebih baik.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.