اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1627: ADAKAH BAPA BOLEH MENUNTUT SEMULA PEMBERIANNYA KEPADA ANAKNYA?

alkafi1627

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada soalan berkenaan hadiah. Apakah hukumnya bagi seorang ibu atau bapa meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada anaknya? Adakah ia dibolehkan atau haram hukumnya? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W:

«العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ»

Maksudnya: “Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya”.

Riwayat al-Bukhari (2621)

Pada dasarnya, perbuatan meminta semula pemberian atau hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram hukumnya. Kami ada membahaskan secara teliti berkenaannya dalam artikel kami yang bertajuk AL-KAFI: HUKUM MEMINTA SEMULA HADIAH.

Namun, terdapat juga pengecualian melalui sepotong hadith Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A dan Ibn Umar R.A:

لا يَحِلُّ للرجُلِ أنْ يُعطِيَ العَطِيَّةَ، فيَرجِعَ فيها، إلّا الوالدَ فيما يُعطِي ولَدَه، ومثَلُ الذي يُعطي العَطِيَّةَ، فيرجِعُ فيها، كمثَلِ الكلبِ أكَلَ حتى إذا شبِعَ قاء، ثم رجَع في قَيْئِه.

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang lelaki memberikan sesuatu pemberian, atau menganugerahkan sesuatu anugerah kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya dan misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan sehingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya itu.

Riwayat Abu Daud (3539), Tirmizi (2132)

Melalui hadith ini, dengan jelas menyatakan bahawa hukum meminta semula hadiah adalah diharamkan kecuali tuntutan semula oleh seorang bapa terhadap anaknya. Justeru itu, seorang bapa berhak untuk menuntut semula pemberiannya kepada anaknya begitu juga dalam hal hadiah, sedekah atau sebahagian daripadanya, walaupun tanpa keputusan mahkamah, sama ada sebelum aqad atau selepasnya, dan juga sama ada barangan pemberian itu telah diterima oleh anaknya atau tidak, sama ada kaya atau miskin, muda atau dewasa, berdasarkan hadith di atas. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/184].

Perkataan ayah di sini juga diqiaskan kepada (أصول) yang lain seperti ibu, datuk dan nenek, dari sebelah bapa mahupun ibu, walaupun dia juga berlainan agama, kerana hubungan setiap daripada mereka itu berdasarkan kelahiran.

Namun begitu, perbuatan meminta semula pemberian seorang ayah terhadap anaknya bukanlah mutlaq (umum) kepada semua jenis dan juga waktu, maka disertakan ia beberapa syarat yakni dawabith bagi seorang bapa untuk menuntut semula pemberiannya.

Pertama: Mestilah barangan atau pemberian yang ingin dituntut semula itu masih dalam pemilikan penerima (anak).

Maka, jika pemberian tersebut telah keluar dari milikannya dengan cara jual beli, atau wakaf dan sebagainya maka dilarang untuk menuntut semula pemberian tersebut.

Jika penerima telah menjual sebahagian atau mewakafkan sebahagian atau disekat sebahagian dari barangan pemberian tersebut, maka dibolehkan bagi si bapa untuk menuntut sebahagian yang baki. Seterusnya, jika anak itu hanya menyewakan atau menggadaikan atau menghadiahkan kepada seseorang tetapi masih belum diterima oleh orang tersebut, pada ketika itu tuntutan semula ini dibenarkan kerana barangan tersebut masih dalam kuasa dan hak milik anak, dan belum terlucut. Akan tetapi, jika barangan tersebut telah diterima oleh orang lain, maka telah gugur milikan anak tersebut seterusnya menyebabkan tidak dibolehkan tuntutan semula hadiah bagi si bapa.

Jika barangan yang diberikan tidak lagi berada di tangan anak, tetapi kemudiannya barangan ini berjaya dimiliki semula dengan cara yang lain, contohnya melalui pembelian atau hadiah atau pusaka, anak ini tidak perlu memulangkannya semula kepada bapanya. Ini kerana berlaku perubahan pada punca pemilikan dan membawa perubahan kepada hukum barangan tersebut. Seolah-olah barangan yang diperolehi semula itu bukan barangan yang asal dan dengan itu bapanya tidak berhak meminta semula.

Demikian juga jika berlaku pertambahan sama ada secara bercantum atau berasingan, pertambahan ini tidak menghalang untuk bapa meminta semula anugerahnya. Malah pemberi boleh meminta semula hadiah tersebut termasuk pertambahan yang bercantum dengannya seperti lemak haiwan atau ladang yang berbajak.

Bagi pertambahan berasingan pula, contohnya anak atau buah, jika pertambahan ini wujud ketika pemberian, ia boleh diminta semula. Jika pertambahan ini berlaku selepas pemberian, ia tidak diserahkan kepada pemberi, sebaliknya kekal sebagai hak penerima kerana ia berlaku ketika dalam pemilikannya.

Demikian juga jika pemberi menghadiahkan seekor haiwan yang tidak bunting atau pokok yang tidak berbuah. Kemudian haiwan ini bunting atau pokok tadi berbuah sebelum diminta semula, maka pada ketika itu anak dalam kandungan atau buah ini tidak diserahkan kepada pemberi. Walaupun ia masih belum berpisah ketika diminta semula, penerima hanya perlu memulangkan anugerah asalnya sahaja dan buah tadi menjadi milik penerima kerana ia boleh diasingkan dan berlaku ketika dalam pemilikan penerima.

Kedua: Mestilah pemberian tersebut masih dalam penguasaan penerima, yakni kerana jika penerima diisytihar muflis atau sekatan ke atasnya, maka dilarang untuk menuntut semula.

Ketiga: Mestilah tiada penghalang yang menghalang daripada tuntutan semula pemberian tersebut. Halangan-halangan ini adalah seperti bapa menjadi gila, atau telah murtad, atau ketika dalam ihram jika hadiah tersebut adalah hasil tangkapan, atau tuntutan yang terikat dengan syarat atau suruhan di masa hadapan. Ini kerana tuntutan semula tidak boleh diikat dengan syarat.

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 15/382-385, Mughni al-Muhtaj; 3/568-573, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/184-185, al-Fiqh al-Manhaji terj. Datuk Dr Zulkifli al-Bakri; 4/183-184]

Penutup

Kesimpulannya, hukum seorang bapa meminta semula hadiah pemberian dari anaknya adalah dibolehkan, namun disertai dengan beberapa syarat yang dinyatakan seperti di atas. Maka, jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, maka hukumnya adalah berbalik kepada asal iaitu haram. Namun, kami juga menasihati orang ramai khususnya para ibu bapa dalam hal menuntut semula pemberian daripada anak, sebaiknya dipastikan terlebih dahulu keperluan anak terhadap pemberian tersebut, jika dengan pemberian itu memudahkan urusannya dalam melangsungkan kehidupan seharian, maka seeloknya agar dibiarkan pemberian tersebut buat si anak. Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya. Semoga Allah S.W.T menetapkan keimanan kita, menguatkan keikhlasan dalam diri kita untuk beribadah kepadaNya seterusnya memberkati segala amal kebajikan kita.

Wallahua'lam.