اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1691: BACAAN SELEPAS MEMBACA AYAT YANG TERAKHIR DARIPADA SURAH AL-TIN

ak1691

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan, sewaktu saya sembahyang dengan imam di satu masjid, imam tersebut membaca surah al-tin kemudia apabila habis bacaan surah tersebut imam ada membaca sesuatu ketika itu. Persoalan saya apakah yang dibacakan oleh imam selepas membaca surah al-tin.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam adab membaca al-Quran disunatkan supaya berdatabbur dan menghayatinya dengan penuh khusyuk di samping cuba memahami ayat yang terkandung di dalam al-Quran. Ini sepertimana yang disarankan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

(Surah Muhammad, 24)

Imam al-Nawawi menyebut, dan dengan tadabbur dan khusyuk ketika membaca al-Quran akan melapangkan dada dan menerangkan hati. Begitu juga, ianya seperti yang disebut oleh Ibrahim al-Khawwas RA bahawa ubat bagi hati ada lima di antaranya adalah membaca al-Quran dengan tadabbur. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, 1/82-84)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, ianya merupakan jawab daripada ayat al-Quran dan hal ini merupakan perkara yang disunatkan ketika membaca ayat yang terakhir di dalam surah al-Tin iaitu Firman Allah SWT:

أَلَيْسَ اللَّـهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ

Maksudnya: Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?

(Surah al-Tin, 8)

Imam Nawawi menyebut disunat kan apabila membaca (أَلَيْسَ اللَّـهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ) maka sebutlah:

بلى! وأنا على ذلك من الشاهدين

Maksudnya: Benar! Dan sesungguhnya aku menyaksikan hal itu (Allah SWT seadil-adil Hakim).

(Lihat al-Azkar li al-Nawawi, 1/119)

Selain itu, di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ismail bin Umayyah RA menyatakan, aku mendengar daripada seorang lelaki badawi menyebut bahawa Abu Hurairah RA berkata:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ: وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ فَقَرَأَ: {أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ} [التين: 8] فَلْيَقُلْ: بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ

Maksudnya: Sesiapa yang membaca surah: wa al-Tin wa al-Zaitun kemudian membaca (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ) (al-Tin,8) maka hendaklah ia menyebut (بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ) Benar, dan aku menyaksikan hal itu.

Riwayat al-Tirmizi (3347)

Imam Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disunatkan bagi yang membaca al-Quran ketika solat atau di luar solat apabila sampai pada ayat Rahmah maka ia meminta kepada Allah SWT akan rahmatnya, atau sekiranya ia baca pada ayat Azab maka mintalah ia perlindungan daripada-Nya atau apabila sampai pada ayat Tasbih maka hendaklah ia bertasbih iaitu memuji-Nya atau ketika ia sampai kepada ayat yang terdapat padanya perumpamaan maka hendaklah ia memikirnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/390)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan perbahasan ulama yang diberikan dapat kami simpulkan bahawa, disunatkan apabila membaca pada akhir surah al-Tin iaitu ayat (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ) dengan menyebut (بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ) yang bermaksud “benar, dan aku menyaksikan hal itu”.

Begitu juga pada ayat yang lain, seperti yang disebutkan oleh Imam Khatib al-Syirbini seperti berikut:

  • Apabila sampai kepada ayat (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ) maka sebutlah (بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنْ الشَّاهِدِينَ).
  • Apabila sampai pada ayat (فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ) maka katakanlah (آمَنْتُ بِاَللَّهِ)
  • Begitu juga apabila membaca ayat (فَمَنْ يَأْتِيكُمْ بِمَاءٍ مَعِينٍ) maka sebutlah (اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ).

(Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/391)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.