اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1702 : HUKUM IQAMAT TIDAK IKUT WAKTU PADA JAM ELEKTRONIK DI MASJID

af1702 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya bertugas sebagai muazzin di sebuah masjid. Di masjid kami ada memasang panel jam elektronik yang menunjukkan masa untuk azan dan iqamat. Kami tetapkan iqamat dilaungkan 10 minit selepas masuk waktu. Kebiasaannya kami akan iqamat mengikut waktu iqamat yang terpapar pada panel elektronik tersebut. Namun, baru-baru ini kami menerima seorang imam baharu dan beliau kerap meminta muazzin melaungkan iqamat sebelum waktu yang ditetapkan pada panel. Kesannya, terdapat aduan daripada pihak makmum yang terlepas fadhilat takbiratulihram bersama imam dan tidak sempat menunaikan solat sunat qabliah akibat tindakan kami ini kerana makmum mengikut waktu jam elektronik. Adakah kami sebagai pihak pengurusan masjid bersalah jika kami melaungkan iqamat sebelum waktu yang terpapar pada panel elektronik tersebut kerana hakikatnya iqamat itu adalah hak imam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Soalan ini mempunyai dua isu yang perlu diselesaikan. Pertamanya ialah siapakah pihak yang berhak untuk menentukan azan dan iqamat.

Daripada Jabir bin Samurah RA berkata:

كَانَ مُؤَذِّنُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُمْهِلُ فَلاَ يُقِيمُ، حَتَّى إِذَا رَأَى رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ خَرَجَ أَقَامَ الصَّلاَةَ حِينَ يَرَاهُ

Maksudnya: “Tukang azan Rasulullahtidak segera mengumandangkan iqamah, sehinggalah ketika dia melihat Rasulullahkeluar, dia pun mengumandangkannya."

Riwayat al-Tirmidzi (no. 202). Beliau berkata hadis ini hasan.

Berkata Saiyidina Ali bin Abi TaliB RA:

الْمُؤَذِّنُ أَمْلَكُ بِالْأَذَانِ، وَالْإِمَامُ أَمْلَكُ بِالْإِقَامَةِ

Maksudnya: “Tukang azan itu lebih berhak terhadap azan, sedangkan imam lebih berhak terhadap iqamah.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (no.2279)

Berkenaan hal ini, berkata Imam Syamsuddin al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (1/419):

“Ini kerana azan ialah pemberitahuan waktu solat yang terikat dengan penelitian orang yang bertanggungjawab iaitu tukang azan, manakala iqamah pula bertujuan untuk mendirikan solat yang tidak dapat didirikan melainkan setelah diberikan isyarat oleh imam. Namun begitu jika dikumandangkan iqamat tanpa kebenaran imam, sah iqamat itu.”

Menurut Syeikh Ali Syabramallisi, apabila iqamat itu sudah sah sekalipun dikumandangkan tanpa izin imam, tukang iqamat itu tidak berdosa dan tidak perlu diulang..

Isu kedua ialah apakah mengumandangkan iqamat lebih awal daripada waktu yang ditetapkan pada jam elektroinik itu merupakan suatu kesalahan?

Sebenarnya perkara sebegini tidak patut berlaku kerana jam panel elektronik tersebut boleh ditukar ketetapan waktunya. Menjadi tanggungjawab pihak jawatankuasa masjid untuk memastikan maklumat yang dipaparkan kepada makmum adalah tepat khususnya dalam perkara yang menjadi perkara asas penubuhan masjid iaitu solat berjemaah. Sepatutnya pihak masjid bertanggungjawab memudahkan urusan orang awam sebagai makmum dapat beribadah dengan tenang dan selesa. Bahkan kewujudan jam panel itu sendiri bertujuan untuk memberitahu makmum waktu mendirikan solat supaya mereka boleh bersedia untuknya sebelum itu. Jika matlamat ini gagal, sebaiknya diturunkan sahaja jam panel tersebut kerana boleh menimbulkan kekeliruan. Kami pernah membahaskan sebelum berkenaan adab seorang Islam ialah menjauhkan diri daripada tohmahan. Antara:

Kesimpulannya, seperti mana kata-kata Saiyidina Umar al-Khattab:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Selain itu, menjarakkan masa antara azan dan iqamat supaya orang ramai boleh melaksanakan ibadah sunat sebelum solat adalah disunatkan. Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini:

وَيُسَنُّ أَنْ يَفْصِلَ الْمُؤَذِّنُ وَالْإِمَامُ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ بِقَدْرِ اجْتِمَاعِ النَّاسِ فِي مَكَانِ الصَّلَاةِ وَبِقَدْرِ أَدَاءِ السُّنَّةِ الَّتِي قَبْلَ الْفَرِيضَةِ،

“Dan disunatkan agar tukang azan menjarakkan masa antara azan dan iqamat dengan kadar yang membolehkan orang ramai berkumpul di tempat solat dan dengan kadar mereka dapat melaksanakan ibadah sunnah sebelum solat fardu.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/325); Al-Kafi #802: Hukum Menunaikan Solat Tanpa Iqamat; Al-Kafi #380 : Bilal Terus Iqamat Selepas Azan

Seandainya ditanya apakah hukum pihak masjid melaungkan iqamat sebelum waktu yang dipaparkan pada jam elektronik, berdasarkan kenyataan dan fakta di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa hukumnya ialah makruh kerana tindakan tersebut ialah kegagalan menunaikan janji untuk berbuat baik tanpa sebab yang munasabah. Pengecualian diberikan jika terdapat hajat keperluan seperti ada kerja yang perlu ditunaikan dengan segera maka tidak dimakruhkan. Ini kerana imam berhak menentukan waktu iqamah sedangkan tukang azan berhak menentukan waktu azan, dan hajat itu menghilangkan hukum makruh.

Sekali lagi kami tegaskan, sewajarnya imam terikat dengan waktu yang telah ditetapkan atas dasar maslahat supaya tidak menimbulkan suasana tidak baik dan kesan buruk yang lain. Sebaiknya ada perbincangan antara imam dan pengurusan masjid untuk kebaikan jemaah yang datang bersolat. Dalam masa yang sama ada waktu solat yang sunat dicepatkan dan sunat dilewatkan. Rujuk artikel-artikel berikut untuk penjelasan:

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada orang yang bertanya.