Soalan
Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu soalan berkenaan harta pusaka. Bagaimanakah caranya untuk kita menentukan seseorang itu berhak dan layak mewarisi harta pusaka? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala kurniaan dan rahmat buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W.
Dalam surah al-Nisa’ bermula ayat ketujuh, ayat kesebelas dan juga ayat kedua-belas, dan juga ayat-ayat yang lain, Allah S.W.T banyak menceritakan dan menyatakan berkenaan bahagian-bahagian perwarisan bagi setiap orang yang berhak dan layak. Maka, dari ayat-ayat ini juga, dapat kita perhatikan akan sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu mewarisi harta pusaka.
Imam al-Rahabi menyatakan dalam matannya:
أسباب ميراث الورى ثلاثه ... كل يفيد ربه الوراثه
وهي نكاح وولاء ونسب ... مابعدهن للمواريث سبب
Maksudnya:
Sebab mewarisi pusaka manusia ada tiga,
Semua yang ada sebab ini akan mewarisi pusaka,
Iaitu pernikahan, wala’ dan keturunan,
Tiada yang lain selain tiga sebab ini.
[Lihat: Matan al-Rahabiah; hlm.3]
Dr Muhammad al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya bahawa sebab perwarisan ada empat perkara, yakni beliau menambah sebab yang keempat iaitu Islam dan juga baitulmal. Maka, ini menyimpulkan bahawa terdapat empat sebab perwarisan iaitu:
Pertama: Hubungan Keturunan
Hubungan keturunan yang dimaksudkan di sini adalah hubungan atau pertalian yang sebenar melalui darah dan juga kandungan rahim atau pertalian yang menghubungkan antara waris dan juga pewaris. Maka mereka ini adalah merangkumi usul dan furu’ bagi si mati, furu’ bagi kedua ibu bapanya, serta furu’ bagi datuk neneknya. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/350].
Usul bermaksud mereka yang berada di kedudukan atas si mati (asal kepada si mati) manakala furu’ ialah mereka yang berada di kedudukan bawah si mati (cabang bagi si mati).
Usul bagi si mati adalah seperti ibu, ayah, datuk dan nenek sehinggalah ke atas. Manakala furu’ baginya pula adalah anak dan cucu sehingga ke bawah sama ada lelaki atau perempuan, besar ataupun kecil. Tidak dilupakan juga furu’ bagi ibu bapa si mati iaitu adik beradik si mati sama ada kandung (seibu sebapa), seibu, atau sebapa. Serta furu’ bagi datuk nenek si mati yakni pakcik dan makcik bagi si mati. Furu’ bagi ibu bapa si mati dan furu’ bagi datuk nenek si mati juga dipanggil sebagai hawasyi iaitu waris sisi bagi si mati.
Hubungan keturunan berbeza dengan hubungan pernikahan dari sudut ia susah untuk dipisahkan berbanding pernikahan yang boleh terpisah dan juga terputus
Kedua: Pernikahan
Merupakan akad pernikahan yang sah di sisi syarak antara lelaki dan juga wanita, merangkumi juga makna suami dan seorang isteri atau lebih, sekalipun mereka tidak sempat bersetubuh atau berkhalwat. Ini berdasarkan kepada ayat kedua belas, surah al-Nisa’.
Kedua-dua pasangan suami isteri berhak mewarisi pusaka pasangannya. Mereka juga berhak mewarisi pusaka ketika iddah talaq raj’ie. Lihat juga artikel kami yang bertajuk AL-KAFI: HUKUM PUSAKA BAGI WANITA YANG DICERAIKAN di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Walau bagaimanapun, suami atau isteri tidak boleh mewarisi pusaka pasangannya jika pernikahan mereka tidak sah. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/76].
Pengarang kitab al-Mu`tamad (4/350) berkata: “Disyaratkan wujud hubungan pernikahan yang hakiki yakni perempuan itu berada dalam perkahwinan apabila suami itu mati, atau secara hukum seperti perempuan itu ditalak raj’ie kemudian mati suaminya itu semasa dia masih dalam tempoh iddah.”
Ketiga: Wala’ (Pembebasan Hamba)
Menurut istilah bahasa Arab, wala’ bermaksud hubungan kekeluargaan. Maksud wala’ di sini ialah pembebasan hamba. Ia adalah keistimewaan yang diperoleh oleh bekas pemilik hamba daripada hamba yang dibebaskan. Bekas pemilik hamba akan mewarisi pusaka sama ada bekas hambanya lelaki mahupun perempuan. Bekas pemilik hamba ini dianggap sebagai asabah kerana diri sendiri (al-Asabah bi al-Nafs). Rasulullah SAW bersabda:
الوَلاَءَ لَحْمَةُ كَلُحْمَةِ النَّسَبِ
Maksudnya: “Wala’ adalah darah daging seumpama darah daging seketurunan.”
Riwayat Ahmad (1/191,194)
Walau bagaimanapun, bekas hamba tidak berhak mewarisi harta bekas tuannya.[1] [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 5/76].
Keempat: Islam dan Baitulmal
Apabila seorang di kalangan Muslim mati dan tidak mempunyai sesiapa yang mewarisinya berdasarkan sebab-sebab pewarisan di atas, harta peninggalan hendaklah diserahkan kepada Baitul Mal.
Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:
مَنْ تَرَكَ كَلاًّ فَإِلَيَّ، وَمَنْ تَرَكَ مَالاً فَلِوَرَثَتِهِ وَأَنَا وَارِثُ مَنْ لاَ وَارِثَ لَهُ أَعْقِلُ عَنْهُ وَأَرِثُهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang mati meninggalkan keluarga, akulah yang akan mewakilinya. Sesiapa yang mati meninggalkan harta, ia adalah hak pewarisnya. Aku adalah pewaris bagi sesiapa yang tiada pewaris. Akulah yang akan membayarkan diyatnya dan aku mewarisi hartanya.”
Riwayat Abu Daud (2956)
Kesimpulannya, sekiranya seseorang itu mempunyai hubungan keturunan atau pernikahan dengan si mati atau seseorang itu merupakan bekas tuan hamba kepada si mati (hamba), maka dia layak dan berhak untuk mendapat harta pusaka si mati sama ada secara furudh, ta’sib (baki) dan juga dzawi al-arham berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan melalui al-Quran dan juga al-Sunnah.
- Ashāb al-furūd- Ahli waris yang paling utama didahulukan dalam pembahagian dan penerimaan harta. Golongan ini merupakan ahli waris yang telah ditetapkan bahagian atau saham mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Contohnya, suami, isteri dan anak perempuan.
- al-‘Asabah - Ahli waris yang menerima keseluruhan harta pusaka jika tiada ashāb al-furūd atau menerima baki pusaka sekiranya mempunyai lebihan selepas diagihkan kepada ashāb al-furūd. Contohnya, anak lelaki.
- Dhawi al-arḥam – Ahli waris selain ashāb al-furūd dan al-‘asabah yang tidak ditentukan hak pewarisan harta pusaka dalam al-Quran, sunnah atau ijmak. Contohnya, cucu lelaki dari jalur anak perempuan si mati.
[Lihat: al-Mawarith fi al-Shariah al-Islamiyyah, hlm. 37]
Adapun bagi mereka yang tiada waris, maka harta peninggalannya itu akan diserahkan kepada baitulmal untuk digunakan buat maslahah umum.
Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya. Moga Allah S.W.T memberikan keringanan dan keikhlasan dalam diri kita untuk beribadah kepadaNya, menetapkan hati dan juga keimanan kita serta memberkati segala amal perbuatan kita.
Wallahua’lam.
[1] Berkemungkinan hikmah menjadikan wala’ ini termasuk sebab pewarisan kerana waris mengganti si mati seperti yang telah diputuskan oleh syara’. Penggantian ini diiktibar pada masa hayatnya berlangsungan kerana hidupnya dan wujudnya kasih sayang dengan sebab kekerabatan. Begitulah juga golongan yang memberi kemerdekaan kepada hambanya seolah-olah hampir sama dengan waris. [Lihat Ahkam al-Tarikat wa al-Mawarith oleh Abu Zahrah hal. 103].