اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1708 : HUKUM MEMBACA AL-QURAN DALAM KEADAAN BERBARING

AK1708

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, apa hukum saya membaca Al-Quran dalam keadaan berbaring, kerana kebiasaannya saya lakukan sebelum hendak tidur. Mohon penjelasan.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Membaca Al-Quran turut termasuk dalam kategori perbuatan zikrullah. Kerana itu kita dapat melihat sebahagian mufassirin menafsirkan perkataan zikir yang terdapat di dalam Al-Quran sebagai pembacaan Al-Quran. Antaranya seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T :

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

Maksudnya : Dan sesiapa yang berpaling dari mengingati-Ku maka buat dirinya kehidupan yang sempit dan Kami akan bangkitkan dia pada hari kiamat kelak dalam keadaan buta.

Surah Ta Ha (124)

Imam Al-Qurthubi dalam tafsiran beliau ke atas kalimah وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي berkata :

أَيْ دِينِي، وَتِلَاوَةِ كِتَابِي، وَالْعَمَلِ بِمَا فِيهِ

Maksudnya : Iaitu (berpaling dari) agamaku, membaca kitab-Ku (Al-Quran), dan (berpaling) dari beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya.

Rujuk Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (11/258)

Maka jelas bahawa bacaan Al-Quran juga turut termasuk dalam kategori zikrullah. Justeru, berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami kongsikan firman Allah S.W.T yang berikut :

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya : (Golongan ulul albab) adalah mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, diatas lambung mereka (perbaringan), serta mereka berfikir tentang penciptaan langit-langit dan juga bumi, (lalu mereka berkata) wahai Tuhan kamu, tidaklah Kau menciptakan (kesemua) ini secara batil (sia-sia), maha suci kamu (dari perkara tersebut), maka peliharalah kami dari azab neraka.

Surah Aali ‘Imran (191)

Imam Al-Nawawi berhujah menggunakan ayat ini sebagai dalil bagi menyatakan pendapat yang mengharuskan pembacaan Al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring, ataupun di atas katil. Beliau berkata :

وَلَو قَرَأَ قَائِمًا أَو مُضْطَجِعًا أو فِي فِرَاشِهِ أو عَلَى غَيرِ ذَلِكَ مِنَ الأَحْوَالِ جَازَ وَلَهُ أَجْر

Maksudnya : Sekiranya seseorang itu membaca Al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring, di atas katilnya, atau keadaan-keadaan selainnya, maka ia diharuskan (dibolehkan) dan dia mendapat pahala.

Rujuk Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran, Al-Nawawi (Hlm. 80)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum membaca Al-Quran dalam keadaan berbaring atau di atas katil adalah harus. Hal ini menzahirkan bahawa Islam adalah agama yang bersifat memudahkan serta penuh keluasan.

Meskipun begitu, perlu juga dijelaskan bahawa keadaan yang paling sempurna dalam pembacaan Al-Quran adalah, seseorang itu berada dalam keadaan duduk dengan penuh khusyuk dan ketenangan, menundukkan kepalanya (menghadap ke arah mushaf), serta duduknya itu dengan penuh adab sama seperti duduknya dia di hadapan para gurunya. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.