اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1777: HUKUM MENYIMPAN LEBIHAN TULANG ATAU TANDUK HAIWAN SEMBELIHAN SEBAGAI PERHIASAN

AF1777.PNG

Soalan:

Assalamualaikum W.b.t, saya ingin bertanya. Apakah hukum menyimpan lebihan tulang atau tanduk haiwan sembelihan untuk dijadikan perhiasan?

Ringkasan Jawapan:

Secara ringkasnya, hukum anggota haiwan seperti tulang dan tanduk daripada haiwan yang disembelih mengikut sembelihan syarak adalah halal dan suci untuk dimakan dan dibolehkan untuk mengambil manfaat daripadanya dengan syarat haiwan tersebut tergolong di dalam haiwan yang halal dimakan. Manakala, bagi haiwan yang haram dimakan di sisi syarak selain daripada anjing dan babi hukumnya adalah najis dan makruh menjadikan najis itu sebagai perhiasan.

Huraian jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Islam menuntut umatnya untuk mengerjakan ibadat sembelih ke atas haiwan sembelihan antaranya ialah dengan tujuan bagi menghalalkan daging dan anggota binatang tersebut untuk dimakan dan menjadikannya sebagai manfaat dan lain-lain. Hal ini sepertimana dalam firman Allah S.W.T:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ وَٱلْمُنْخَنِقَةُ وَٱلْمَوْقُوذَةُ وَٱلْمُتَرَدِّيَةُ وَٱلنَّطِيحَةُ وَمَآ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ

Maksudnya:Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak di sembelih, dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan bintang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)”. (1)

(Surah Al-Maidah: 3)

Menurut Al Maraghi tentang lafaz pengecualian di dalam ayat tersebut: (2)

إلا ما أدركتموه وفيه بقية حياة ويضطرب اضطراب المذبوح فذكيتموه وأمتموه إماتة شرعية لأجل أكله- وهو استثناء من جميع ما تقدم ذكره من المحرمات

Maksudnya: “Melainkan apa yang kamu temui dan pada haiwan tersebut masih lagi bernyawa dan bergerak-gerak seperti mana keadaan haiwan disembelih lalu kalian menyembelihnya dan mematikannya sepertimana diajarkan syarak bagi tujuan makan ianya terkecuali daripada kesemua yang haram (dimakan) seperti mana yang telah disebutkan”.

(lihat: Tafsir Al Maraghi: 6/50)

Mafhum daripada penerangan di atas ialah haram memakan bangkai haiwan, daging khinzir, haiwan yang darahnya mengalir dan keadaan-keadaan yang seumpama dengannya melainkan ianya sempat di sembelih sebelum haiwan tersebut hilang nyawanya

Berbalik kepada masalah berikut, majoriti ulama feqah menyatakan bahawa mana-mana haiwan yang halal dimakan dagingnya di sisi syarak dan telah melalui proses sembelihan mengikut syarak adalah halal dan suci anggotanya. Ianya adalah berdasarkan firman Allah S.W.T: (3)

وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَا أَثَاثًا وَمَتَاعًا إِلَىٰ حِينٍ

Maksudnya: Dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.”

(Surah an-Nahl: 80)

Berdasarkan ayat diatas, bulu-bulu dan kulit binatang ternak dijadikan sebagai barang perkakas dan perhiasan. Sheikh khatib al Shirbini menjelaskan lagi mafhum ayat tersebut di dalam karya beliau: (4)

وَهُوَ مَحْمُولٌ عَلَى مَا إذَا أُخِذَ بَعْدَ التَّذْكِيَةِ

Maksudnya: "Ia digunakan (kulit binatang) setelah diambil selepas daripada sembelihan"

(Lihat Mughni al-Muhtaj: 1/235)

Adapun tulang atau tanduk bagi haiwan yang halal dimakan dan diambil ketika haiwan itu hidup, maka hukumnya adalah tidak suci kerana ia dianggap sebagai bangkai. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Waqid al Laithi: (5)

مَا قُطِعَ مِنَ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَهِيَ مَيْتَةٌ

Maksudnya:Apa yang dipotong daripada haiwan dan ianya hidup maka ia adalah bangkai

(Riwayat Abu Daud: 2858)

Selain itu, ulama’ Mazhab Syafie telah memberi pandangan bahawa juzuk (anggota) haiwan yang terpisah daripada badannya semasa hidup adalah najis. Menurut Imam Khatib al Syirbini: (6)

أما المنفصل منه بعد موته فحكمه حكم ميتته بلا شك (إلا شعر) أو صوف أو ريش أو وبر (المأكول فطاهر) بالإجماع،

Maksudnya: “Adapun anggota yang terpisah dari haiwan yang selepas matinya maka hukumnya adalah hukum bangkainya tanpa syak melainkan rambut dan segala bulu haiwan yang dimakan maka suci hukumnya dengan ijmak”.

(Lihat Mughni Al-Muhtaj: 1/235)

Adapun haiwan yang disembelih itu adalah haiwan yang haram dimakan di sisi syara’, selain daripada anjing dan babi maka hukum menjadikan tulang haiwan tersebut sebagai perhiasan adalah makruh kerana ia dianggap sebagai bangkai dan najis. Hal ini berdasarkan kenyataan Imam Nawawi tentang penggunaan tulang gajah: (7)

قال أصحابنا: ويكره استعماله في الأشياء اليابسة لمباشرة النجاسة ولا يحرم لأنه لا يتنجس به ولو اتخذ مشطا من عظم الفيل فاستعمله في رأسه أو لحيته فإن كانت رطوبة من أحد الجانبين تنجس شعره وإلا فلا: ولكنه يكره ولا يحرم

Maksudnya:Telah berkata ulama’ kami (ulama-ulama mazhab syafie): Makruh menggunakannya (gading gajah) pada sesuatu yang kering kerana bersentuhan dengan najis dan tidaklah haram kerana sesuatu yang kering itu tidak akan ternajis dengan sebabnya. Kalau seorang membuat sikat rambut dengan tulang gajah dan menggunakan pada kepalanya atau janggutnya maka jika basah salah satu dari keduanya nescaya ternajislah rambutnya dan jika tidak basah salah satunya maka tidaklah ternajis akan tetapi hukumnya adalah makruh dan tidaklah haram”.

(lihat al Majmu’ Syarh al Muhazzab: 1/243)

Kesimpulannya:

Berdasarkan dalil-dalil dan hujah-hujah di atas:

  • Tulang atau tanduk haiwan yang telah disembelih adalah suci dan halal untuk dijadikan perhiasan sekiranya haiwan tersebut adalah haiwan yang halal dimakan dagingnya disisi syarak.
  • Bagi haiwan yang diambil tanduknya ketika hidup adalah tidak suci dan najis hukumya kerana ia dikategorikan sebagai bangkai.
  • Haiwan yang haram dimakan selain daripada anjing dan babi hukumnya adalah makruh untuk mengambil dan menyimpan tulangnya sebagai perhiasan.

Nota hujung:

  • Surah al Maidah: 3
  • Ahmad Bin Mustapha al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi, Syarikat Maktabah wa Maba’ah al-Babi al-Hilbi.
  • Surah an-Nahl; 80
  • Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad al-Khotib as-Syirbini as-Syafie, Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah.
  • Abu Dawud Sulaiman Bin al-Asy’as Bin Ishak Bin Basyir Bin Syidad Bin ‘Amru al-Azadi al-Sijistani, Sunan Abu Dawud, Tahqiq: Muhammad Muhyyiddin Abd Hamid. Al-Maktabah al-‘Asriyyah, j3, h111
  • Mughni al Muhtaj: j1 h235
  • Abu Zakaria Muhyyiddin Yahya Bin Sharaf an-Nawawi, al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Dar al-Fikr.