Soalan
Adakah perlu sujud sahwi sekiranya ketika sedang iktidal, seseorang itu tidak menyebut lafaz seperti ( سمع الله لمن حمده ), sebaliknya menyebut ( الله أكبر )?
Jawapan Ringkas
Sujud sahwi tidak perlu dilakukan bagi mereka yang tertukar lafaz tasmi’ ketika iktidal iaitu lafaz (سمع الله لمن حمده) kepada lafaz takbir ( الله أكبر ) sewaktu iktidal sama ada secara sengaja mahupun tidak. Hal ini kerana lafaz tersebut tergolong dalam kategori sunat Haiat iaitu perbuatan sunat yang sekiranya ditinggalkan secara sengaja ataupun tidak, tidak disunatkan sujud sahwi.
Bahkan sekiranya mereka tetap melakukannya dalam keadaan tahu mengenai hukum perbuatan sujud sahwi tersebut tidak sunat, maka solatnya boleh terbatal kerana menambah rukun dan pergerakan solat secara sengaja.
Huraian Jawapan
Di sisi mazhab Syafie, semua lafaz takbir termasuklah lafaz tasmi’ ketika iktidal iaitu (سمع الله لمن حمده) merupakan sebahagian daripada perkara yang sunat dilakukan ketika solat. Perbuatan tersebut tergolong dalam kategori sunat Haiat melainkan lafaz takbiratul ihram. Sunat Haiat seperti sedia maklum merupakan amalan sunat dalam solat yang mana sekiranya ditinggalkan secara sengaja ataupun tidak, tidak disunatkan sujud sahwi.
(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/310-311)
Imam al-Nawawi Rhm. juga menyatakan perkara ini dalam karyanya,
وَأَمَّا غَيْرُ الْأَبْعَاضِ مِنْ السُّنَنِ كَالتَّعَوُّذِ وَدُعَاءِ الِافْتِتَاحِ وَرَفْعِ الْيَدَيْنِ وَالتَّكْبِيرَاتِ وَالتَّسْبِيحَاتِ وَالدَّعَوَاتِ وَالْجَهْرِ وَالْإِسْرَارِ وَالتَّوَرُّكِ وَالِافْتِرَاشِ وَالسُّورَةِ بَعْدَ الْفَاتِحَةَ وَوَضْعِ الْيَدَيْنِ عَلَى الرُّكْبَتَيْنِ وَتَكْبِيرَاتِ الْعِيدِ الزَّائِدَةِ وَسَائِرِ الْهَيْئَاتِ الْمَسْنُونَاتِ غَيْرِ الْأَبْعَاضِ فَلَا يَسْجُدُ لَهَا سَوَاءٌ تَرَكَهَا عَمْدًا أَوْ سَهْوًا لِأَنَّهُ لَمْ يُنْقَلُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السجود لشئ مِنْهَا وَالسُّجُودُ زِيَادَةٌ فِي الصَّلَاةِ فَلَا يَجُوزُ إلَّا بِتَوْقِيفٍ
Maksudnya: “Adapun perbuatan selain daripada sunat-sunat Ab’adh seperti ta’awwuz (lafaz a’uzubillah), doa iftitah, mengangkat kedua-dua belah tangan (ketika takbir), lafaz takbir, lafaz tasbih (ketika rukuk dan sujud), doa-doa, bacaan secara kuat dan perlahan, duduk tawarruk (ketika tahiyyat akhir) dan iftirasy (ketika tahiyyat awal), bacaan surah selepas al-Fatihah, meletakkan tangan di lutut (ketika rukuk), takbir tambahan dalam solat raya, serta sunat-sunat Haiat yang lain. Oleh itu, tidak perlu sujud (sahwi) sekiranya ditinggalkan sama ada secara sengaja mahupun kerana terlalai. Alasannya, tidak ada nas bahawa Rasulullah SAW melakukan sujud dalam hal-hal yang disebutkan di atas. Melihat kepada perbuatan sujud (sahwi) merupakan sebahagian daripada solat, maka tidak sah dilakukan melainkan terdapat nas (yang menunjukkan sedemikian)”.
(Rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/125)
Bahkan terdapat riwayat daripada golongan salaf yang menguatkan pandangan di atas sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah,
حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ عَيَّاشٍ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ: إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُولَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقَالَ اللَّهُ أَكْبَرُ فَلَا سَهْوَ عَلَيْهِ
Maknanya: “Abu Bakar bin ‘Ayyash menceritakan kepada kami, daripada al-a’mash, daripada Ibrahim, dia berkata: Apabila seseorang yang ingin berkata (سمع الله لمن حمده) tetapi dia menyebut (الله أكبر), maka tiada lalai (sujud sahwi) padanya”.
(Rujuk: Mushannaf Ibn Abi Syaibah, 1/420)
Berdasarkan penerangan di atas, sujud sahwi tidak perlu dilakukan bagi mereka yang tertukar lafaz tasmi’ kepada lafaz takbir sewaktu iktidal sama ada secara sengaja mahupun tidak. Bahkan mereka yang tetap melakukannya dalam keadaan tahu mengenai hukumnya, solatnya boleh terbatal kerana menambah rukun dan pergerakan solat secara sengaja.
Wallahu a’lam.