اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1841: HUKUM BERKATA-KATA DENGAN KUAT KETIKA MENGIRINGI JENAZAH

ak1841

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Apa khabar? Semoga ustaz sihat sentiasa. Saya ada satu soalan yang ingin diajukan. Apakah hukum bercakap-cakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah? Adakah perkara tersebut dibenarkan. Bukankah kita dituntut untuk menginsafi dan ingat mati ketika iring jenazah? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Makruh hukumnya bercakap-cakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah. Lebih-lebih lagi bercakap tentang hal keduniaan. Waktu tersebut seharusnya digunakan untuk mengingati kematian,alam barzakh dan menginsafi baki umur yang kita miliki. Ini kerana lambat laun kita juga akan merasai perkara yang sama. Semoga Allah mengurniakan penutup kehidupan yang baik kepada kita.

Huraian jawapan :

Mengiringi jenazah adalah antara sunnah yang digalakkan untuk dilakukan. Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bara’ Bin ‘Azib. Beliau berkata :

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا ‌بِاتِّبَاعِ ‌الجَنَازَةِ وَعِيَادَةِ المَرِيضِ وَتَشْمِيتِ العَاطِسِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي وَنَصْرِ المَظْلُومِ وَإِبْرَارِ الْمُقْسِمِ وَرَدِّ السَّلَامِ

Maksudnya : “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk melakukan tujuh perkara dan melarang kami dari melakukan tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami mengiringi jenazah, menziarahi orang yang sakit, mendoakan kembali orang yang bersin, memenuhi undangan, membantu orang yang dizalimi, melepaskan orang yang bersumpah dan menjawab salam.”[1]

Mengiringi jenazah adalah perkara yang boleh mengingatkan kita kepada kematian. Namun begitu, ada beberapa adab yang perlu diikuti. Antara adab ketika mengiringi jenazah adalah senyap dan tidak berkata-kata sepanjang mengiringi jenazah. Bahkan makruh menguatkan suara ketika mengiringi jenazah. Al-Khatib Al-Syarbini menukilkan ucapan Imam Al-Nawawi. Beliau berkata :

قَالَ فِي الْمَجْمُوعِ: وَالْمُخْتَارُ بَلْ الصَّوَابُ مَا كَانَ عَلَيْهِ السَّلَفُ مِنْ السُّكُوتِ فِي حَالِ السَّيْرِ مَعَ الْجِنَازَةِ، وَلَا يَرْفَعُ صَوْتَهُ بِقِرَاءَةٍ وَلَا ذِكْرٍ وَلَا غَيْرِهِمَا، ‌بَلْ ‌يَشْتَغِلُ ‌بِالتَّفَكُّرِ فِي الْمَوْتِ وَمَا يَتَعَلَّقُ بِهِ

“Imam Al-Nawawi menyebut dalam kitab Al-Majmu’, Pendapat yang terpilih bahkan yang tepat adalah apa yang dilakukan para salaf iaitu diam sepanjang berjalan bersama jenazah.  Tidak boleh menguatkan suara dengan bacaan Al-Quran, zikir dan juga lain-lain. Bahkan sepatutnya dia menyibukkan diri berfikir tentang kematian dan apa-apa yang berkaitan dengannya.”[2]

Dalil bagi kenyataan imam Nawawi tersebut berdasarkan riwayat Qays bin ‘Ubad RA, beliau berkata:

كان أصحابُ رسولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‌يَكرَهونَ ‌رَفعَ ‌الصَوتِ ‌عِندَ ‌الجَنائزِ وعِندَ القِتالِ وعِندَ الذَكرِ

“Para sahabat  Rasulullah SAW tidak suka mengangkat suara ketika berada di samping jenazah, ketika berperang dan ketika berzikir.”[3]

Di samping itu, makruh untuk berkata-kata tentang perkara-perkara keduniaan ketika mengiringi jenazah. Waktu itu seharusnya digunakan untuk berfikir tentang kematian. Perkara ini dijelaskan untuk Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut :

وَيُكْرَهُ ‌اللَّغَطُ فِي الْمَشْيِ مَعَهَا، وَالْحَدِيثُ فِي أُمُورِ الدُّنْيَا، بَلِ الْمُسْتَحَبُّ الْفِكْرُ فِي الْمَوْتِ وَمَا بَعْدَهُ وَفَنَاءِ الدُّنْيَا وَنَحْوِ ذَلِكَ

“Makruh menguatkan suara ketika berjalan mengiringi jenazah. Begitu juga berkata-kata tentang hal keduniaan. Bahkan sunat berfikir tentang kematian,apa yang akan berlaku selepas mati, fananya dunia ini dan lain-lain.”[4]

Ibn Hajar Al-Haitami juga menyatakan bahawa makruh untuk bercakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah. Ianya juga disebut sebagai Al-Laghat. Perkara ini termasuk berzikir atau membaca Al-Quran dengan kuat.[5]

Justeru, makruh hukumnya bercakap-cakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah. Lebih-lebih lagi bercakap tentang hal keduniaan. Waktu tersebut seharusnya digunakan untuk mengingati kematian, alam barzakh dan menginsafi baki umur yang kita miliki. Ini kerana lambat laun kita juga akan merasai perkara yang sama.

NOTA HUJUNG:

[1] Riwayat Al-Tirmizi, no 2809, Jami’ Al-Tirmizi (1998), Dar Al-Gharb Al-Islami,Beirut, j.4 h.414

[2] Al-Syarbini, Muhammad Bin Ahmad, Mughi Al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz Al-Minhaj(1994), Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, Beirut, j.2 h.48

[3] Riwayat Al-Baihaqi no 7262, Al-Sunan Al-Kubra(2011), Markaz Hijr Li Al-Buhuth wa Al-Dirasat Al-‘Arabiyah Al-Islamiyah, j.7 h.510.

[4] Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Raudhah Al-Talibin wa ‘Umdah Al-Muftin (1991), Al-Maktab Al-Islamiy, Damsyik, j.2 h.116.

[5] Ibn Hajar Al-Haitami, Ahmad Bin Muhammad, Tuhfah Al-Muhtaj fi Syarh Al-Minhaj (1983), Dar Ihya’ Al-Turath Al-Arabiy, Beirut, j.3 h.187.