اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL KAFI #1842: HUKUM MENQADAKAN SOLAT SEKIRANYA SUCI DARIPADA HAID SEBELUM SUBUH

QADA SOLAT HAID 

Soalan: Salam, saya ada kemusykilan. Masuk waktu isyak saya masih haid (keruh). Sebelum tidur dalam pukul 10 malam juga masih haid. Masuk waktu subuh sahaja saya check sudah bersih. Jadi solat apa yg perlu saya ganti? Saya baca fatwa mengatakan jika suci sebelum subuh, kena qada isyak maghrib. Adakah saya patut check dalam waktu 5pagi juga? Terima kasih

Ringkasan Jawapan

  • Sekiranya saudari menyakini telah suci daripada haid sebelum waktu subuh, maka wajib ke atas saudari menunaikan solat Fardu Magrib dan Isyak sepertimana yang dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini dalam penulisannya (Rujuk: al-Iqna Fi Hal Alfaz Matan Abi Syuja’, 1/271):

" Wajib solat Zohor bersama solat Asar apabila sempat kadar masa takbir di akhir waktu Asar. Dan wajib solat Maghrib bersama Isyak apabila sempat kadar tersebut pada penghujung waktu Isyak, kerana waktu Zohor dan Asar ketika ada keuzuran adalah satu waktu sama juga waktu Maghrib dan Isyak, maka ketika darurat adalah lebih utama lagi satu waktu ".

  • Sekiranya saudari tidak menyakini atau tidak tahu secara pasti bilakah tempoh bermula waktu suci, maka sucinya bermula mengikut waktu yang paling hampir ketika saudari melihatnya. Perkara ini sepertimana yang disebut dalam kaedah fiqh:

الأصل إضافة الحادث إلى أقرب أوقاته

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir.

(Rujuk: al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 1/105)

Ini bermakna, sekiranya saudari tidak mengetahui bilakah bermulanya tempoh waktu suci, maka tempoh tersebut dihukum ketika saudari melakukan pemeriksaan pada waktu subuh. Oleh itu, saudari tidak perlu menunaikan solat fardu magrib dan isyak.

Mukadimah

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada hukum asal, wanita yang kedatangan haid tidak wajib melaksanakan solat. Ini kerana haid adalah perkara yang mani` (penghalang) bagi kewajiban solat. Ini berdasarkan hadis Fatimah binti Abu Hubaisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ  فاترُكي الصَّلاَةَ، فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: Apabila datang haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan para ulama bersepakat bahawa wanita haid dan nifas tidak ditaklifkan (diwajibkan) menunaikan solat dan juga menggantikannya.(Rujuk: Sharh Sahih Muslim, 4/30)

Solat yang ditinggalkan sewaktu haid tidak perlu digantikan apabila wanita itu suci. Hal Ini demikian kerana haid merupakan ketetapan yang telah Allah SWT jadikan bagi wanita. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha :

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Perkara itu (haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kami (kaum wanita). Maka kami diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid)." 

(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas Imam al-Nawawi dalam karyanya menyatakan bahawa wanita tidak perlu menggantikan solat kerana perkara tersebut akan memberatkan dirinya. Walau bagaimanapun berbeza dengan ibadat puasa yang wajib digantikan kerana ia boleh digantikan pada bila-bila masa dalam setahun.”

Rujuk: Sharh Sahih Muslim (4/36)

Kaedah Menggantikan Solat Bagi Wanita Berhaid

Berkenaan kaedah mengqadakan solat bagi wanita, perinciannya seperti berikut:

  • Kaedah Zawal al-Mani`(Hilangnya Penghalang)

Apabila hilangnya mani’ (penghalang solat, seperti haid, dan gila) sedangkan berbaki masa sebelum habisnya suatu waktu solat kadar takbiratulihram dan lebih,maka wajib diqadakan solat tersebut. Begitu juga solat sebelum itu wajib diqada jika ia daripada jenis yang boleh dijamak dengannya. Sebagaimana contoh berikut:

a) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Asar, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Asar dan mengqadakan solat Zohor.

b) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Isyak, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Isyak dan mengqadakan solat Maghrib.

Rujuk: al-Taqrirah al-Sadidah (1/196-197)

Ini kerana waktu Asar dan Zohor ketika ada keuzuran menjadi satu waktu begitu juga waktu Magrib dan Isyak merupakan satu waktu. (Rujuk:Tuhfat al-Muhtaj, 1/162)

Berbalik kepada persoalan di atas, kami rumuskan jawapan seperti berikut:

  • Sekiranya saudari menyakini telah suci daripada haid sebelum waktu subuh, maka wajib ke atas saudari menunaikan solat Fardu Maghrib dan Isyak sepertimana yang dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini dalam penulisannya (Rujuk: al-Iqna Fi Hal Alfaz Matan Abi Syuja’, 1/271):

" Wajib solat Zohor bersama solat Asar apabila sempat kadar masa takbir di akhir waktu Asar. Dan wajib solat Maghrib bersama Isyak apabila sempat kadar tersebut pada penghujung waktu Isyak, kerana waktu Zohor dan Asar ketika ada keuzuran adalah satu waktu sama juga waktu Maghrib dan Isyak, maka ketika darurat adalah lebih utama lagi satu waktu ". 

  • Sekiranya saudari tidak menyakini atau tidak tahu secara pasti bilakah tempoh bermula waktu suci, maka suci saudari bermula mengikut waktu yang paling hampir ketika saudari melihatnya. Perkara ini sepertimana yang disebut dalam kaedah fiqh:

الأصل إضافة الحادث إلى أقرب أوقاته

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir.

(Rujuk: al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 1/105)

Ini bermakna, sekiranya saudari tidak mengetahui bilakah bermulanya tempoh waktu suci, maka tempoh tersebut dihukum ketika saudari melakukan pemeriksaan pada waktu subuh. Oleh itu, saudari tidak perlu menunaikan solat Fardu Magrib dan Isyak.

Rujukan

  • Al-Nawawi, Abi Zakariya Muhyidin (1994), Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, T.tp: Muasasah Qurdubah, juz.4, p.30 & 36.
  • Abdul Aziz Muhammad Azzam (2005), Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Kaherah: Dar al-Hadis, jil.1, p.105.
  • Al-Syirbini, Shamsuddin Muhammad (2004), al-Iqna Fi Hal Alfaz Abi Syuja’, Beirut: Dar-Kutub al-Ilmiyyah, juz.1, p.242
  • Hassan bin Ahmad bin Muhammad Salim al-Kaff (2003), al-Taqrirah al-Sadidah Fi Masail al-Mufidah, Tarim: Dar-Ulum wa al-Da’wah, cet.1, p.196-197.
  • Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh Islam Shibabuddin (2017), Tuhfat al-Muhtaj bi Sharh al-Minhaj, Beirut: Dar Al-Kotob Ilmiyah, jil,1, cet, 6, p.162
  • 333, 335. Muslim, Muslim bin Hajjaj, (2006), Sahih Muslim, Riyadh: Dar-Taiyyibah, cet.1, p.161 & 163.