اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1849: ADAKAH WAJIB MENGERJAKAN BADAL HAJI BAGI ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA

 

1849.JPG
SOALAN

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan. Adakah wajib bagi seseorang waris itu mengerjakan badal haji bagi orang tuanya yang telah meninggal dunia? Bagaimana sekiranya si mati merupakan orang yang tidak berkemampuan? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Menurut mazhab Syafie, seseorang yang telah berkemampuan untuk mengerjakan haji, namun dia meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya, maka ahli warisnya wajib mengerjakan badal haji bagi pihaknya dengan menggunakan harta peninggalan si mati. Ini kerana ia merupakan beban hutang buat si mati. Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta atau harta si mati tidak mencukupi, maka tidak wajib untuknya mengerjakan haji bagi pihak si mati, sebaliknya ia menjadi perkara yang sunat untuk dikerjakan oleh ahli warisnya ataupun orang asing yang lain bagi pihaknya. 

HURAIAN JAWAPAN

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan. 

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib ditunaikan oleh sekalian individu Muslim yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/9). Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

Surah Ali ‘Imran (97)

Pada dasarnya, syarat wajib haji terbahagi kepada lima perkara[1] iaitu: 

  • Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka
  • Berkemampuan

Oleh itu, mereka yang memenuhi kelima-lima syarat wajib haji ini, maka diwajibkan ke atasnya untuk mengerjakan ibadah haji. Manakala bagi yang tidak dapat memenuhi salah satu atau kesemuanya, maka kewajipan haji ini terangkat daripada dirinya sehinggalah dia dapat memenuhi kesemua syarat di atas. 

Sehubungan dengan itu, dalam membicarakan hal pada syarat wajib haji yang kelima iaitu berkemampuan, perkara ini terbahagi kepada dua jenis iaitu secara langsung dan juga tidak langsung. 

Berkemampuan secara langsung ialah mereka yang mampu dan berupaya untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan tubuh badannya sendiri tanpa mengalami sebarang kesusahan atau kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya. Manakala berkemampuan secara tidak langsung pula ialah seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 2/124)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan adakah wajib bagi para waris mengerjakan badal haji bagi ibu atau bapanya yang telah meninggal dunia tanpa sempat menunaikan haji meskipun sudah berkemampuan. 

Maka dalam hal ini, ada dinukilkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, di bawah tajuk sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan tidak mengerjakan kewajipan haji. Pengarang menyebut: 

إذا وجب على الإنسان الحج أو العمرة، ولكنه تراخى عن أدائها فلم يؤدهما حتى مات، مات عاصياً، ووجب تكليف من يحج عنه أو يعتمر، وتدفع النفقة من رأس مال المتوفى، وتعد هذه من الديون، فلا تقسم التركة إلا بعد أداء الديون.

Maksudnya: Sekiranya telah diwajibkan haji atau umrah ke atas seseorang, tetapi dia menangguhkannya atau melengah-lengahkannya, dan tidak mengerjakan kedua-duanya sehinggalah dia meninggal dunia, maka dia meninggal dalam keadaan berdosa, maka diwajibkan agar ditentukan seseorang bagi mengerjakan haji atau umrah bagi pihaknya, dengan tanggungan harta si mati, dan kewajipan ini dikira sebagai hutang. Oleh yang demikian, harta peninggalan si mati tidak boleh dibahagikan dan difaraidkan melainkan selepas selesai melunaskan hutang-hutang tersebut. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 2/176-177)

Ini berdasarkan kepada hadith daripada Ibn Abbas R.A, seorang perempuan daripada Bani Juhainah datang bertemu Rasulullah SAW, lalu berkata:

إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ أَفَأَحُجَّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَتَهُ؟‏ قَالَتْ: نَعَمْ‏.‏ قَالَ: اَقْضُوا دَينَ اللهِ، الَّذِي لَهُ، فَإِنَّ اللَّهَ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk mengerjakan haji. Adakah aku perlu mengerjakan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya, tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bukankah sekiranya ibumu berhutang, kamu akan menyelesaikannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Tunaikanlah hutang Allah kerana hutang Allah lebih berhak ditunaikan.”

Riwayat al-Bukhari (7315)

Ibn Hajar al-Haitami menyebut, oleh kerana disamakan haji dengan hutang dan juga adanya tuntutan untuk melunaskannya, maka ia menunjukkan kewajipan mengerjakan haji bagi pihak si mati, dan perbelanjaannya diambil daripada harta si mati. Beliau menambah lagi, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta pusaka, maka gugur kewajipan haji ke atasnya begitu juga tidak wajib seseorang waris mengerjakan haji bagi pihaknya. Akan tetapi disunatkan bagi para waris mahupun orang asing untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati sekalipun ahli waris tidak mengizinkannya.[2]

Kesimpulannya, seseorang yang telah berkemampuan untuk mengerjakan haji namun dia meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya, maka ahli warisnya wajib mengerjakan badal haji bagi pihaknya dengan menggunakan harta peninggalan si mati kerana ia merupakan beban hutang buat si mati. Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta atau harta si mati tidak mencukupi, maka tidak wajib untuknya mengerjakan haji bagi pihak si mati, sebaliknya ia menjadi perkara yang sunat untuk dikerjakan oleh ahli warisnya ataupun orang asing yang lain.  

 

[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, Tahqiq: Zuhair al-Syawisy, (Beirut: Al-Maktab al-Islami, cetakan ke-3, 1412H), 3/3.

[2] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1357H), 4/28-29.