اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1855: HUKUM BUANG AIR KETIKA MANDI JANABAH

hukum_mandi_janabah.png

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan hukum buang air ketika mandi junub, adakah ia membatalkan mandi junub dan perlu diulang? Mohon penjelasan.

Ringkasan Jawapan

Hukum buang air kecil atau besar ketika mandi junub adalah dibolehkan dan tidak membatalkan mandi tersebut. Namun ia tidak mengangkat hadas kecil ketika mandi junub dijalankan. Oleh yang demikian, selepas mandi seseorang tidak mengerjakan solat melainkan berwuduk terlebih dahulu. Berlainan pula jika seseorang ketika mandi junub tidak berlaku perkara yang membatalkan wuduk, maka dengan mandi itu juga terangkat hadas kecilnya dan harus mengerjakan solat tanpa berwuduk.

Huraian Jawapan

Pertama sekali perlu diketahui bahawa perkara yang menyebabkan wajib mandi ialah lima perkara sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Minhaj al-Talibin:[1]

  • Meninggal dunia
  • Haid
  • Nifas
  • Wiladah (keguguran/kelahiran)
  • Janabah dengan sebab masuknya hasyafah(kepala zakar) ke dalam faraj atau keluarnya mani sama ada secara semula jadi atau selainnya.

Namun, terdapat sebahagian ulama membahagikan perkara yang mewajibkan mandi kepada enam seperti Syeikh Salim Sumair.[2] Hal ini kerena mereka memecahkan aspek janabah menjadi dua iaitu memasukkan hasyafah(kepala zakar) ke dalam faraj dan keluarnya mani. Oleh itu, selain daripada enam perkara ini maka tidak diwajibkan untuk seseorang itu mandi.

Berkait dengan soalan yang timbul, adakah berhadas kecil ketika mandi junub membatalkan mandi tersebut sehingga perlu mengulanginya? Dalam perkara ini, al-Khatib al-Syarbini mengatakan bahawa:

لَوْ أَحْدَثَ فِي أَثْنَاءِ غُسْلِهِ جَازَ أَنْ يُتِمَّهُ وَلَا يَمْنَعُ الْحَدَثُ صِحَّتَهُ، لَكِنْ لَا يُصَلِّي بِهِ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

Maksudnya: Kalau seseorang berhadas (kecil) ketika mandi junub maka boleh baginya menyempurnakan mandi tersebut kerana hadas (kecil) yang keluar tidak menghalang kesempurnaan mandi junub tersebut. Namun, dia tidak boleh menunaikan solat melainkan selepas mengambil wuduk.[3]

Berdasarkan kepada perbahasan dapat disimpulkan bahawa hukum buang air kecil atau besar ketika mandi junub adalah dibolehkan dan tidak membatalkan mandi tersebut. Namun ia tidak mengangkat hadas kecil ketika mandi junub dijalankan. Oleh yang demikian, selepas mandi seseorang tidak mengerjakan solat melainkan berwuduk terlebih dahulu. Berlainan pula jika seseorang ketika mandi junub tidak berlaku perkara yang membatalkan wuduk, maka dengan mandi itu juga terangkat hadas kecilnya dan harus mengerjakan solat tanpa berwuduk. Wallahua’lam.

[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, ed. ‘Iwad Qasim Ahmad ‘Iwad (Beirut: Dar al-Fikr, 2005), 14. موجبه موت وحيض ونفاس وكذا ولادة بلا بلل في الأصح وجنابة بدخول حشفة أو قدرها فرجا وبخروج منى من طريقه المعتاد وغيره

[2] Salim bin Sumair al-Hadrami, Matan Safinah al-Najah (Riyad: Dar al-Minhaj, 2009), 20.

[3] Al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj ila Maʻrifah Maʻani Alfaz al-Minhaj (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1994), 1: 224.