اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1859: SIAPAKAH YANG MENENTUKAN HARGA BARANG CAGARAN YANG DIJUAL - PENCAGAR ATAU PENERIMA CAGARAN?  

Picture1 min

 

Soalan

Salam Dato’ Mufti. Saya pernah membuat pinjaman wang RM5,000 dan meletakkan seutas gelang emas seberat 10g sebagai barang cagaran bagi tempoh setahun. Selepas setahun berlalu, saya masih tidak mampu untuk membayar hutang tersebut menyebabkan barang cagaran tersebut terpaksa dijual.

Persoalan saya, adakah selepas berlalu tempoh setahun tersebut, barang cagaran terus menjadi milik pemiutang sehingga dia boleh menjual dengan harga berapa-berapa sekalipun ataupun barang tersebut masih milik saya dengan syarat ia perlu dijual dan hasil duit jalanan digunakan untuk bayar hutang yang tertunggak?

Kekeliruan utama berkaitan penetapan harga jualan atau harga lelongan barang cagaran tersebut. Adakah perlu ikut harga yang ditetapkan pemiutang selaku pemegang cagaran atau perlu ikut harga saya sebagai pemilik asal? Sebab saya dapat tahu pihak penerima cagaran nak jual sedikit murah daripada harga pasaran. Mohon pencerahan.

 

Ringkasan Jawapan

Harga bagi barang cagaran yang dijual atau dilelong perlu mendapat keizinan dan persetujuan daripada pencagar terlebih dahulu sebagai pemilik asal supaya kemaslahatan dan kebajikan pencagar dapat terjaga sekiranya berlaku penjualan yang dilakukan secara tergopoh-gapah dan tidak cermat.

Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan sekiranya terdapat perjanjian sejak dari awal akad dibuat bahawa pencagar menyerahkan urusan keseluruhan jual beli barang tersebut kepada penerima cagaran.

 

Huraian Jawapan

Persoalan ini berkait rapat dengan al-Rahn. Al-Rahn (cagaran) di sisi Syarak bermaksud suatu kontrak yang menjadikan sesuatu barang atau harta sebagai cagaran untuk menjamin pelunasan sesuatu hutang. al-Rahn terbahagi kepada lima rukun utama seperti berikut:

1) Dua pihak yang berakad; al-Rahin (Pencagar) & al-Murtahin (Penerima Cagaran)

2) Sighah (Ijab dan Qabul)

3) al-Dayn (Hutang Antara Pencagar dan Penerima Cagaran)

4) al-Marhun (Barang Cagaran)

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 7/111-115)

Persoalan di atas akan difokuskan kepada rukun ketiga berkaitan jual beli barang cagaran melihat kepada situasi penanya sebagai penghutang yang tidak berkemampuan untuk melunaskan hutang walaupun tempoh pembayaran semula yang dipersetujui bersama sudah berakhir lantas mengakibatkan barang cagaran perlu dijual.

Bagi menjawab kekeliruan berkaitan penetapan harga jualan atau lelongan barang cagaran tersebut, pertama-pertamanya ulama menyebut bahawa barang yang dicagarkan tetap menjadi hak milik pencagar. Oleh itu, sebarang penjualan dan pelelongan barang cagaran hendaklah mendapat keizinan dan makluman daripada pencagar sebagai pemilik asal melainkan harga jualan sudah ditetapkan dari awal. Alasannya, pencagar boleh untuk mempertikaikan dan mempersoalkan tindakan penerima cagaran sekiranya mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam urusan jual beli barang cagaran. Dalam masa yang sama, kemaslahatan dan kebajikan pencagar dapat terjaga sekiranya berlaku penjualan yang dilakukan secara tergopoh-gapah dan tidak cermat.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/390)[1]

Hal jual beli barang cagaran ini jika diamati dan diteliti, ia termasuklah juga persetujuan harga jualan daripada pencagar. Hak penerima cagaran adalah sekadar mendapatkan semula wang hutangnya melalui penjualan barang cagaran tersebut sedangkan barang tersebut tetap hak milik pencagar sebagai pemilik asal.

Sebagai kesimpulan, harga bagi barang cagaran yang dijual atau dilelong perlu mendapat keizinan dan persetujuan daripada pencagar terlebih dahulu sebagai pemilik asal melainkan terdapat perjanjian sejak dari awal akad dibuat bahawa pencagar menyerahkan urusan keseluruhan jual beli barang tersebut kepada penerima cagaran. Sesuai dengan saranan hadis yang mewajibkan umat Islam berpegang dengan janji yang telah dibuat. Daripada Abu Hurairah RA:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: “Orang muslim itu berpegang pada janji mereka.”

Riwayat Abu Daud (3594)

 Wallahu a’lam.