Soalan:
Apakah hukum seorang muazzin itu menjadi imam solat? Adakah ada larangan berbuat demikian?
Ringkasan Jawapan:
Menurut pandangan muktamad mazhab Syafie, tiada larangan bagi seorang muazin itu untuk menjadi imam solat, bahkan disunatkan pula baginya untuk menjadi imam jika dia seorang yang layak.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Menurut Syeikh al-Damiri, pada asasnya ada tiga pandangan dalam masalah ini:
في الجمع بين الأذان والاقامة ثلاثة أوجه الكراهةُ لِحَدِيثٍ ضَعِيفٍ "نَهَى أَنْ يَكُونَ المؤَذِّنُ إِماماً"، والاستِحْبابُ لِيَحُوزَ الفَضِيلَتَينِ وَهُوَ الذي صَحَّحَهُ في المجموع، والجوازُ. ونَقَلَ أبو الطَّيِّبِ الإجماعَ عَلَيهِ.
Maksudnya: Dalam masalah menghimpunkan antara azan dan iqamah terdapat tiga pandangan: yang pertama makruh berdasarkan berdasarkan satu hadis dhaif yang melarang muazzin menjadi imam; pandangan kedua pula ialah sunat, agar dia menghimpunkan antara dua kelebihan (iaitu kelebihan melaungkan azan dan kelebihan menjadi imam), dan pandangan inilah yang ditashihkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’. Pandangan ketiga pula ialah harus, dan Imam Abu al-Tayyib menukilkan ijma’ terhadapnya.[1]
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis yang melarang itu merupakan hadis riwayat Imam al-Baihaqi, dan ia dihukum sebagai dhaif oleh al-Baihaqi sendiri. Justeru, pandangan ulama ashab seperti Imam al-Juwaini dan al-Baghawi yang memakruhkan seorang imam menjadi muazzin itu ialah pandangan yang kurang tepat. Maka hanya tinggal dua wajah pandangan, iaitu sama ada sunat atau harus, dan yang sahih ialah ia disunatkan.[2]
Justeru, menurut pandangan muktamad mazhab Syafie, tiada larangan bagi seorang muazzin itu untuk menjadi imam solat, bahkan disunatkan pula baginya untuk menjadi imam sekiranya dia layak berbanding ahli jemaah yang lain. Imam Syamsuddin al-Ramli menjelaskan bahawa hukum sunat itu adalah bagi sesiapa yang layak untuk berbuat demikian:
وَيُسَنُّ لِلْمُتَأَهِّلِ أَنْ يَجْمَعَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالْإِمَامَةِ
Maksudnya: Disunatkan bagi yang layak dan berkeahlian untuk menggabungkan antara melaungkan azan dan menjadi imam solat.[3]
Wallahu a’lam.
[1] Rujuk Bughyah al-Mustarsyidin fi Talkhis Fatawa Ba’dh al-A’immah min al-Ulama’ al-Mutaakhirin oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman Ba’lawi (t.t) Dar al-Fikr, hlm. 74
[2] Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Imam Muhyiddin al-Nawawi (t.t) Dar al-Fikr, 3/79-80
قَالَ كَثِيرٌ مِنْ أَصْحَابِنَا يُكْرَه أَنْ يَكُونَ الْإِمَامُ هُوَ الْمُؤَذِّنُ مِمَّنْ نَصَّ عَلَى هَذَا الشَّيْخُ أَبُو مُحَمَّدٍ الْجُوَيْنِيُّ وَالْبَغَوِيُّ وَغَيْرُهُمَا وَاحْتَجَّ هَؤُلَاءِ بِحَدِيثٍ عَنْ جَابِرٌ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " نَهَى أَنْ يَكُونَ الْإِمَامُ مُؤَذِّنًا " رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ وَقَالَ هُوَ ضَعِيفٌ بِمُرَّةَ وَقَالَ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ قَالَ أَبُو عَلِيٍّ الطَّبَرِيُّ الْأَفْضَلُ أَنْ يَجْمَعَ الرَّجُلُ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالْإِمَامَةِ لِيَحُوزَ الْفَضِيلَتَيْنِ وَبِهَذَا قَطَعَ صَاحِبُ الْحَاوِي وَهُوَ الْأَصَحُّ وَفِيهِ حَدِيثٌ جَيِّدٌ سَنَذْكُرُهُ فِي مَسْأَلَةِ الْأَذَانِ قَائِمًا وَنَقَلَ الرَّافِعِيُّ عَنْ ابْنِ كَجٍّ أَيْضًا أَنَّهُ اُسْتُحِبَّ الْجَمْعُ بَيْنَهُمَا قَالَ وَلَعَلَّهُ أَرَادَ الْأَذَانَ لِقَوْمٍ وَالْإِمَامَةَ لِآخَرِينَ (قُلْتُ) وَإِذَا لَمْ يَثْبُتْ فِي الْجَمْعِ بَيْنَهُمَا نَهْيٌ فَكَرَاهَتُهُ خَطَأٌ فَحَصَلَ وَجْهَانِ الصَّحِيحُ انه يستخب وَقَدْ قَالَ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ فِي أَوَّلِ صِفَةِ الصَّلَاةِ فِي مَسْأَلَةِ لَا يَقُومُ حَتَّى يَفْرُغَ الْمُؤَذِّنُ مِنْ الْإِقَامَةِ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى جَوَازِ كَوْنِ الْمُؤَذِّنِ إمَامًا وَاسْتِحْبَابِهِ قَالَ صَاحِبُ الْحَاوِي فِي كُلِّ وَاحِدٍ مِنْ الْأَذَانِ وَالْإِمَامَةِ فَضْلٌ وَلِلْإِنْسَانِ فِيهِمَا أَرْبَعَةُ أَحْوَالٍ حَالٌ يُمْكِنُهُ الْقِيَامُ بِهِمَا وَالْفَرَاغُ لَهُمَا فَالْأَفْضَلُ أَنْ يَجْمَعَ بَيْنَهُمَا
[3] Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj oleh Syamsuddin al-Ramli (1984) Beirut: Dar al-Fikr, 1/417