اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1934: PANDANGAN SYARAK TENTANG POLISI ‘ONCE BROKEN CONSIDERED SOLD’

PANDANGAN SYARAK TENTANG POLISI ONCE BROKEN CONSIDERED SOLD

 

Soalan

Assalamualaikum, boleh pejabat mufti ulas sikit tentang polisi once broken considered sold? Adakah polisi ini sah di sisi syarak dan apakah status seseorang dipaksa membeli barang yang dirosakkan itu?

Jawapan Ringkas

Polisi ini adalah sah menurut syarak kerana barang yang dirosakkan dengan sengaja atau tidak sengaja hendaklah diganti semula dengan nilainya. Frasa ‘considered sold’ dalam polisi tersebut tidaklah merujuk kepada berlakunya jual beli tetapi merujuk kepada perbuatan perlu membayar ganti rugi dengan nilai barang yang dirosakkan tersebut.

Huraian Jawapan

Polisi once broken consider sold biasa digunakan di kedai-kedai atau premis perniagaan bagi memberi amaran kepada pelanggan untuk tidak cuai ketika memegang barangan yang ada dalam kedai sehingga boleh merosakkannya. Dalam masa yang sama, pelanggan juga perlu membayar ganti rugi sekiranya barang yang dipegang itu pecah atau rosak. Frasa ‘considered sold’ dalam konteks ini dilihat tidak merujuk pada berlakunya jual beli tetapi lebih kepada makna seseorang yang merosakkannya perlu bayar ganti rugi.

Dalam hal ini, terdapat kaedah yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Abd al-Bar bahawa harta seseorang yang dirosakkan perlu diganti.

أن الأموال تُضمن بالعمد والخطأ

Maksudnya: Sesungguhnya harta-harta dijamin daripada kerosakan atau musnah (oleh seseorang) secara sengaja atau tidak sengaja. (Rujuk al-Istizkar 279/7)

Tidak dapat dinafikan bahawa kadang-kadang kerosakan yang berlaku mungkin disebabkan kecuaian yang tidak disengajakan. Dosa kesalahan yang dilakukan kerana tersilap, terlupa atau dipaksa akan diampunkan oleh Allah SWT.

إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memaafkan kesalahan yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau kerana dipaksa.

Riwayat Ibn Majah (2043)

Namun begitu, hadis di atas tidak bermaksud seseorang tidak perlu membayar ganti rugi kepada pemilik barang. Hal ini adalah kerana ia melibatkan harta orang lain. Saidina Abu Bakar RA meriwayatkan bahawa beliau menyaksikan Rasulullah SAW menyampaikan khutbah ketika Hujjatul Wada’, baginda bersabda:

أَلَا ‌إِنَّ ‌دِمَاءَكُمْ ‌وَأَمْوَالَكُمْ ‌وَأَعْرَاضَكُمْ ‌عَلَيْكُمْ ‌حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا

Maksudnya: Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan maruah kamu adalah suci sebagaimana sucinya hari ini...

Riwayat Ahmad (18966)

Oleh kerana itu,  barang yang dirosakkan seseorang perlu diganti sama ada sengaja atau tidak sengaja. Ini adalah kerana permasalahan ini melibatkan hak atau harta orang lain yang perlu dijaga. Namun, perlu difahami bahawa kerosakan yang dilakukan pada harta orang lain secara tidak sengaja adalah tidak berdosa tetapi perlu dibayar ganti rugi. (Rujuk Majmu’ah al-Fawaid al-Bahiyyah h.14[1]; Qawaid al-Ahkam 323/2[2]; al-Umm 200/2[3]; Qawaid wa al-Dawabit al-Fiqhiyyah h.343[4])

Kesimpulan

Polisi ini adalah sah menurut syarak kerana barang yang dirosakkan dengan sengaja atau tidak sengaja hendaklah diganti semula dengan nilainya. Frasa ‘consider sold’ dalam polisi tersebut tidaklah merujuk kepada berlakunya jual beli tetapi merujuk kepada perbuatan perlu membayar ganti rugi dengan nilai barang yang dirosakkan tersebut.

Wallahualam.

 

Rujukan:

[1] والخطأُ والإكراهُ والنسيانُ ... أسقطه معبودُنا الرحمانُ

‌لكن ‌معَ ‌الإتلافِ ‌يَثْبُتُ ‌البدلْ ... ويَنْتَفِي التأثيمُ عنه والزَّلَلْ

[2] من وضع يده خطأ على مال غيره لزمه ضمانه

[3] ومن المقرر شرعاً أن كل من أتلف مالاً لمسلمٍ فهو ضامن، ولا اعتبار لكون الإتلاف حصل خطأً أو عمداً، وهذا أمرٌ متفقٌ عليه بين جماهير الفقهاء، قال الإمام الشافعي: ولم أعلم بين المسلمين اختلافاً أن ما كان ممنوعاً أن يُتلف من نفسِ إنسانٍ أو طائرٍ أو دابةٍ أو غير ذلك مما يجوز ملكه، فأصابه إنسانٌ عمداً فكان على من أصابه فيه ثمنٌ يؤدى لصاحبه، وكذلك فيما أصاب من ذلك خطأً لا فرق بين ذلك إلا المأثم في العمد

[4] من أتلف مالا بغير حق وجب عليه ضمانه، سواء أتلفه عمدا أم خطأ