اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1940: HUKUM PENIAGA MENGGUNAKAN TESTIMONI PALSU UNTUK MENARIK PELANGGAN

HUKUM PENIAGA MENGGUNAKAN TESTIMONI PALSU UNTUK MENARIK PELANGGAN

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya bekerja menjadi dropship bagi produk kecantikan. Selepas saya mula menjalankan kerja ini, baru saya tahu bahawa testimoni yang dibekalkan kepada kami adalah fake sebab ada pihak yang dibayar untuk buat review dan promote produk tu sangat berkesan sedangkan dia tidak pakai pun. Hasil dari review dan testimoni tadi menyebabkan jualan kami makin meningkat. Soalan saya, bolehkah menggunakan testimoni palsu untuk tujuan meningkatkan jualan?

Jawapan Ringkas

Menggunakan testimoni palsu untuk mendapatkan jualan adalah sama seperti perbuatan menipu pelanggan dan termasuk dalam kategori iklan palsu. Ini adalah kerana sesuatu keberkesanan produk mestilah dapat dibuktikan kebenarannya atau mendapat pentauliahan daripada pihak yang berkenaan. Oleh itu, perbuatan ini adalah diharamkan dalam Islam. Dari segi perundangan negara tindakan menggunakan testimoni palsu ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Huraian Jawapan

Menggunakan testimoni palsu adalah sama seperti perbuatan menipu dan merupakan teknik pemasaran yang tidak beretika. Testimoni palsu tersebut bertujuan untuk memberi gambaran bahawa produk yang dijual tersebut adalah berkualiti dan terbukti berkesan sedangkan pada hakikatnya tidak begitu. Oleh itu, perbuatan ini adalah sama seperti konsep najasy (tawaran palsu) yang dilarang dalam Islam. Rasullah SAW bersabda:

وَلَا تَنَاجَشُوا

Maksudnya: Janganlah kamu melakukan Najasy (tawaran palsu).

Riwayat al-Bukhari (6066)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa najasy atau tawaran palsu ini adalah satu penipuan terancang di pihak penjual yang berperanan untuk menambah daya tarikan pada produk yang dijual dan menyebabkan orang lain terpedaya dengannya.

‌ نَجْشًا ‌وَفِي ‌الشَّرْعِ ‌الزِّيَادَةُ ‌فِي ‌ثَمَنِ ‌السِّلْعَةِ مِمَّنْ لَا يُرِيدُ شِرَاءَهَا لِيَقَعَ غَيْرُهُ فِيهَا سُمِّيَ بِذَلِكَ لِأَنَّ النَّاجِشَ يُثِيرُ الرَّغْبَةَ فِي السِّلْعَةِ

Maksudnya: Najasy (tawaran palsu) menurut syarak adalah satu perbuatan menaikkan harga barang oleh orang yang sebenarnya tidak ingin membeli barang tersebut dengan tujuan supaya orang lain terpedaya dengannya. Tindakan tersebut dikenal sebagai najasy kerana penawar palsu (najisy) memainkan peranan dalam menambah daya tarikan pada barang. (Rujuk Fathul Bari 355/4)

Di samping itu, Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari turut menukilkan kata-kata Imam al-Rafi’i yang menyatakan bahawa pelaku najasy adalah suatu maksiat apatah lagi apabil peniaga itu tahu tentang larangan perbuatan tersebut. Tambahan lagi, Imam al-Rafi’i turut menyatakan bahawa agak sukar untuk memperincikan sebab-sebab al-Najasy tersebut diharamkan, tetapi sebab utamanya adalah kerana ada unsur niat untuk merugikan orang lain. (Rujuk Fathul Bari 355/4[1][2])

Oleh itu, peniaga atau pengiklan hendaklah mempunyai bukti dokumentasi yang benar yang dapat membuktikan bahawa testimoni yang digunakan adalah benar (genuine). Tambahan lagi, tindakan menggunakan testimoni palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999. Individu mengeluarkan iklan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan dan sebagainya boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun. Manakala pertubuhan boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua.

Oleh itu, mana-mana peniaga khususnya peniaga muslim perlu menerapkan sikap jujur dalam melakukan perniagaan. Ini adalah kerana peniaga yang jujur bukan sahaja mendapat keuntungan di dunia terutamanya mendapat kepercayaan daripada pelanggan bahkan peniaga yang jujur juga diberi keistimewaan secara khusus di akhirat. Rifa’at RA meriwayatkan bahawa:

أَنَّهُ خَرَجَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِلَى الْمُصَلَّى فَرَأَى النَّاسَ يَتَبَايَعُونَ فَقَالَ ‏"‏ يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ ‏"‏‏.‏ فَاسْتَجَابُوا لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَرَفَعُوا أَعْنَاقَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ إِلَيْهِ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فُجَّارًا إِلاَّ مَنِ اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ ‏.‏ وَيُقَالُ إِسْمَاعِيلُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ رِفَاعَةَ أَيْضًا ‏.‏

Maksudnya: Rifa’at RA keluar bersama Nabi SAW ke tempat solat lalu Baginda ternampak orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda: Wahai para peniaga! Mereka menyahut panggilan Nabi SAW itu sambil menjenguk ke arah Baginda. Nabi SAW bersabda: “Pada hari kiamat kelak para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang-orang yang jahat kecuali orang yang takutkan Allah, berbuat baik dan jujur.”

Riwayat al-Tirmizi (1210)

Rujuk juga artikel lepas kami dalam IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 263: HUKUM MENIPU UNTUK TUJUAN MARKETING. Moga-moga memberi panduan dan maklumat tambahan kepada pembaca.

Kesimpulan

Menggunakan testimoni palsu untuk mendapatkan jualan adalah sama seperti perbuatan menipu pelanggan dan termasuk dalam kategori iklan palsu. Ini adalah kerana sesuatu keberkesanan produk mestilah dapat dibuktikan kebenarannya atau mendapat pentauliahan daripada pihak yang berkenaan. Oleh itu, perbuatan ini adalah diharamkan dalam Islam. Dari segi  perundangan negara tindakan menggunakan testimoni palsu ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Wallahualam.

 

Rujukan:

[1] وَقَالَ الرَّافِعِيُّ أَطْلَقَ الشَّافِعِيُّ فِي الْمُخْتَصَرِ ‌تَعْصِيَةَ ‌النَّاجِشِ ‌وَشَرَطَ ‌فِي ‌تَعْصِيةِ مَنْ بَاعَ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ أَنْ يَكُونَ عَالِمًا بِالنَّهْيِ

[2] ‌وَاسْتَشْكَلَ ‌الرَّافِعِيُّ ‌الْفَرْقَ بِأَنَّ الْبَيْعَ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ إِضْرَارٌ وَالْإِضْرَارُ يَشْتَرِكُ فِي عِلْمِ تَحْرِيمِهِ كُلُّ أَحَدٍ