اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1988: ADAKAH DISAHKAN MENINGGAL DUNIA DENGAN UCAPAN INNALILLAH?

ADAKAH_DISAHKAN_MENINGGAL_DUNIA_DENGAN_UCAPAN_INNALILLAH.jpg

Soalan

Salam, mohon bertanya adakah ucapan Innalillah wa Inna Ilaihi Rajiun itu dikira sebagai ucapan pengesahan kematian? kerana saya ada melihat poster yang tersebar bahawa Perdana Menteri telah meninggal dunia sedangkan beliau masih hidup. mohon pencerahan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Lafaz istirjaʻ atau innalillah ini bukan sahaja diucapkan ketika berlakunya kematian, namun ia merangkumi apa sahaja musibah yang melanda kepada seseorang individu muslim mahupun sesebuah masyarakat. Walau bagaimanapun, seseorang muslim tidak boleh menyebarkan berita palsu tentang kematian seseorang kerana perkara tersebut ditegah dalam agama dan berdosa. Selain itu, seseorang individu Muslim juga tidak boleh mendoakan keburukan ke atas individu yang lain dan juga tidak boleh menjadikan kematian sebagai bahan gurauan.

Huraian Jawapan

Lafaz innalillah ini disebut sebagai lafaz istirjaʻ dan ia diucapkan apabila seseorang ditimpa musibah, tidak kira sama ada musibah tersebut musibah yang kecil mahupun besar seperti kematian. Dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ 

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.

Surah al-Baqarah (155-156)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya agar dapat jelas terlihat siapa yang jujur hatinya dan siapa yang dusta, siapa yang sabar dan siapa yang tidak. Hal ini kerana jika mereka tidak sabar maka hilanglah pahala dan rahmat daripada Allah SWT. Oleh itu, bagi mereka yang bersabar, Allah SWT akan menyuruh Nabi SAW memberitahu khabar gembira buat orang yang bersabar. Perkara inilah yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 156 iaitu apabila mereka ditimpa dengan kesusahan maka ucapkanlah lafaz istirjaʻ: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.[1]

Ummu Salamah RA berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: {إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ} [البقرة: 156]، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا.

Maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin itu ditimpa musibah lalu ia mengucapkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT, Sesungguhnya kami adalah milik Allah SWT dan akan kembali kepada-Nya jua. Ya Allah, ganjarilah kami pahala kerana musibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya melainkan Allah SWT menukarkan baginya dengan yang lebih baik (Inna lillahi wainna ilaihi raji'un allahumma ajurni fi mushibati wa akhlif li khairan minha).”[2]

Riwayat Muslim

Oleh yang demikian jelaslah melalui hadis ini bahawa setiap orang mukmin digalakkan untuk menyebut lafaz istirjaʻ ketika dirinya ditimpa musibah sama ada musibah tersebut kecil mahupun besar seperti kematian. Justeru sunat melafazkannya kerana Rasulullah SAW diperintahkan untuk melafazkannya.[3]

Berpandukan kepada perbahasan di atas, maka dapat difahami bahawa lafaz istirjaʻ atau innalillah ini bukan sahaja diucapkan ketika berlakunya kematian, namun ia merangkumi apa sahaja musibah yang melanda kepada seseorang individu muslim mahupun sesebuah masyarakat.

Walau bagaimanapun, seseorang tidak boleh menyebarkan berita palsu tentang kematian seseorang kerana perkara tersebut ditegah dalam agama dan berdosa. Hal ini kerana Islam amat mementingkan keabsahan sumber sesuatu berita yang disebarkan. Lebih-lebih lagi apabila kewujudan berita tersebut boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat kerana melibatkan orang penting dalam negara seperti Perdana Menteri dan ulama. Perbuatan menyebarkan berita palsu adalah perbuatan yang tidak bermoral dan jauh daripada akhlak Islam dan ia hendaklah dijauhi dan dihindari demi menjamin kesejahteraan masyarakat sejagat.

Di samping itu, ia juga seolah-olah merupakan suatu bentuk sindiran dan mendoakan kematian kepada Perdana Menteri. Jelas ia suatu akhlak yang buruk kerana seseorang individu Muslim tidak boleh mendoakan keburukan ke atas individu yang lain dan juga tidak boleh menjadikan kematian sebagai bahan gurauan.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Abu Bakr al-Jaza’iri, Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir (Madinah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, 2003), jld. 1: hlm. 134.

كل ذلك لإظهار من يصبر على إيمانه وطاعة ربه بامتثال أمره واجتناب نهيه، ومن لا يصبر فيحرم ولاية الله وأجره، ثم أمره رسوله بأن يبشر الصابرين، وبين في الآية الرابعة (156) حال الصابرين وهي أنهم إذا أصابتهم مصيبة قالوا إنا لله، فله أن يصيبنا بما شاء لأن ملكه وعبيده، وإن إليه راجعون بالموت، فلا جزع إذاً ولكن تسليم لحكمه4 ورضاً بقضاءه وقدره،

[2] Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t.), no. hadis 918, jld. 2: hlm. 631.

[3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1392), jld. 6: hlm. 220.

قَوْلُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ فِيهِ فَضِيلَةُ هَذَا الْقَوْلِ وَفِيهِ دَلِيلٌ لِلْمَذْهَبِ الْمُخْتَارِ فِي الْأُصُولِ أَنَّ الْمَنْدُوبَ مَأْمُورٌ بِهِ لِأَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَأْمُورٌ بِهِ مَعَ أَنَّ الْآيَةَ الْكَرِيمَةَ تَقْتَضِي نَدْبَهُ وَإِجْمَاعُ الْمُسْلِمِينَ مُنْعَقِدٌ عَلَيْهِ قَوْلُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا