اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2008: HUKUM MEMACAK PAYUNG DI  ATAS KUBUR

HUKUM_MEMACAK_PAYUNG_DI_ ATAS_KUBUR.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum tuan, saya ada satu permasalahan, kadang-kadang saya membantu penduduk kampung dalam pengurusan jenazah. Masalahnya selepas jenazah ditanam sebahagian masyarakat di sini memacak payung kecil di atas kubur. Kata mereka perbuatan ini merupakan adat bertujuan untuk menghalau anjing atau binatang untuk tidak mengorek kubur tersebut. Bolehkah tuan? Mohon pencerahan terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum letak payung di atas pusara kerana mengikut adat semata-mata adalah makruh dan perbuatan tersebut termasuk dalam perkara yang bidaah dan sia-sia. Manakala mempercayai dengan perbuatan tersebut akan dapat memayungi jenazah di dalam pusara adalah salah satu bentuk khurafat kerana tidak ada nas tentang perkara berkenaan.

Huraian Jawapan

Adat dan budaya sesetengah masyarakat di Malaysia dalam pengurusan jenazah terdapat beberapa amalan yang masih diparktikan secara turun-temurun seperti menabur bunga, meletakkan payung di atas pusara, mengadakan tahlil dan seumpamanya. Bagi sebahagian masyarakat Bajau di Sabah, memasang kelambu atau payung di atas pusara merupakan kepercayaan dan adat yang masih lagi diamalkan. Menurut kepercayaan mereka, amalan tersebut bertujuan untuk menghindari daripada gangguan binatang buas seperti anjing dan babi serta sebagai tanda pusara baru dikebumikan dan pemudah cara untuk mereka yang ingin menziarahinya. 

Secara Asasnya, menurut mazhab al-Syafi’i hukum membina kubur sama ada di dalam atau luar dengan menggunakan bahan yang menyerap bahang panas seperti batu kapur dan seumpamanya adalah makruh. Namun sekiranya binaan tersebut berlebih-lebihan dan terdapat unsur-unsur pembaziran, maka ia adalah haram. Terdapat sebahagian ulama mazhab al-Syafi’i mengecualikan hukum ini kepada kubur para Nabi, orang yang mati syahid, orang salih dan seumpamanya. Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang pembinaan kubur dengan batu kapur.”

Riwayat Muslim (970)

Meletak payung, khemah atau bumbung di atas pusara merupakan perkara yang makruh menurut mazhab al-Syafi’i sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Perkara ini berdasarkan larangan meletakkan payung di atas kubur, kubah, bumbung dan seumpamanya oleh Saidina Umar RA, bahkan beliau juga mengarahkan supaya memindahkannya. Hal ini kerana teduhan payung dan seumpamanya tidak dapat memberi apa-apa faedah ke atas si mati di dalam kubur, melainkan amalannya sendiri yang akan menyelamatkannya.

Menurut Imam al-Syarwani, hukum makruh meletakkan payung atau bumbung di atas pusara dengan tujuan yang tidak betul. Walaupun begitu, sekiranya payung atau teduhan tersebut digunakan dengan tujuan yang betul seperti teduhan untuk orang ramai dari terik matahari maka ia diharuskan. Al-Khatib al-Syirbini berpendapat perkara tersebut merupakan bida’ah yang telah diada-adakan oleh manusia. 

Dalam hal ini, mempercayai bahawa dengan meletakkan payung di atas pusara dapat meneduhkan jenazah di dalamnya boleh dikategorikan sebagai satu kepercayaan yang khurafat. Khurafat adalah kepercayaan yang karut, dongeng dan tahyul. Menurut Ibn Manzur khurafat ialah:   

والخُرافةُ: الحديثُ المُسْتَمْلَحُ مِنَ الكذِبِ.

Maksudnya: “Khufarat ialah kisah-kisah menarik yang disulami dengan perkara-perkara dusta”.

Kesimpulan

i. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa, hukum meletak payung di atas pusara dengan hanya mengikut adat semata-mata adalah makruh dan perbuatan tersebut termasuk dalam perkara yang bidaah dan sia-sia.

ii. Manakala  mempercayai dengan perbuatan tersebut akan dapat memayungi jenazah di dalam pusara adalah salah satu bentuk khurafat.

Wallahua'lam

 

Rujukan:

1. Azmin Pullong, Jahidi Saili. ADAT KEMATIAN MASYARAKAT BAJAU DI SABAH: PENILAIAN DARI PERSPEKTIF ISLAM. Al-Qanatir: International Journal of Islamic Studies. 27. 2. (2022) Hlm. 4-5

2. Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, ali al-Syirbaji. Al-fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. (Damsyiq: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1992) Jdl. 1 Hlm 261

يكره تشييد القبور، داخلها أو ظاهرها، بكل ما دخل فيه النار كالإسمنت والجص ونحوهما. روى مسلم (970)، عن جابر - رضي الله عنه - قال: نهى رسول الله - صلى الله عليه وسلم - أن يجصص القبر. وهو أن يوضع عليه الجص، وهو ما يسمى بالجبصين، فإن بني الرخام ونحوه كان حراماً، لمخالفته الشديدة لنهي رسول الله - صلى الله عليه وسلم -، ولما في ذلك من إضاعة المال المنهي عنه شرعاً، وما فيه من المباهاة والمفاخرة المقيتة في دين الله عز وجل

3. Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ala Fath al-Qarib al-Mujib. (Jakarta: Dar al-Kutub al-Islamiyyah,1428) Jld. 1 Hlm. 491

فيكره البناء عليه إن كان في غير نحو المقبرة المسبلة للدفن فيها، وإلا حرم سواء كان فوق الأرض أو في باطنها. فيجب على الحاكم هدم جميع الأبنية التي في القرافة المسبلة للدفن فيها، وهي التي جرت عادة أهل البلد بالدفن فيها، لأنه يضيق على الناس، ولا فرق بين أن يكون البناء قبة أو بيتًا أو مسجدًا أو غير ذلك، ومنه الأحجار المعروفة بالتركيبة. نعم، استثناها بعضهم للأنبياء والشهداء والصالحين ونحوهم

4. Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (t.tp.: Dar al-Fikr, t.t.) Jdl. 5 Hlm.298

قال البغوي وغيره يكره أن يضرب على القبر مظلة لأن عمر رضي الله عنه رأى مظلة على قبر فأمر برفعها وقال دعوه يظله عمله.

5. Imam Abdul Hamid al-syarawani, Hasyiah al-Syirwani ala Tuhfah al-muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Beirut: dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1357) jld.3 Hlm. 197

كَرَاهَةُ الْمِظَلَّةِ مَا نَصُّهُ وَقَدْ يُقَالُ يَنْبَغِي أَنْ يَكُونَ مَحَلُّ ذَلِكَ إذَا لَمْ يَكُنْ ثَمَّ غَرَضٌ صَحِيحٌ فِي التَّظْلِيلِ وَإِلَّا فَلَا كَرَاهَةَ كَأَنْ يَكُونَ لِوِقَايَةِ مَنْ يَجْتَمِعُونَ لِنَحْوِ الْقِرَاءَةِ عَلَى الْمَيِّتِ مِنْ الْحَرِّ وَالْبَرْدِ

6. Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. (t.tp.: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld.2 Hlm. 55

وَيُكْرَهُ أَنْ يُجْعَلَ عَلَى الْقَبْرِ مِظَلَّةٌ؛ لِأَنَّ عُمَرَ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ - رَأَى قُبَّةً فَنَحَاهَا، وَقَالَ: دَعُوهُ يُظِلُّهُ عَمَلُهُ، وَفِي الْبُخَارِيِّ لَمَّا مَاتَ الْحَسَنُ بْنُ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمْ - ضَرَبَتْ امْرَأَتُهُ الْقُبَّةَ عَلَى قَبْرِهِ سَنَةً، ثُمَّ رُفِعَتْ فَسَمِعُوا صَائِحًا يَقُولُ: أَلَا هَلْ وَجَدُوا مَا فَقَدُوا، فَأَجَابَهُ آخَرُ: بَلْ يَئِسُوا فَانْقَلَبُوا، وَيُكْرَهُ تَقْبِيلُ   الَّذِي يُجْعَلُ عَلَى الْقَبْرِ كَمَا يُكْرَهُ تَقْبِيلُ الْقَبْرِ وَاسْتِلَامُهُ وَتَقْبِيلُ الْأَعْتَابِ عِنْدَ الدُّخُولِ لِزِيَارَةِ الْأَوْلِيَاءِ، فَإِنَّ هَذَا كُلَّهُ مِنْ الْبِدَعِ الَّتِي ارْتَكَبَهَا النَّاسُ {أَفَمَنْ زُيِّنَ لَهُ سُوءُ عَمَلِهِ فَرَآهُ حَسَنًا} [فاطر: 8] .

7. Rujuk: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=tahyul 

8. Ibn Manzur al-Ansari, Lisan al-‘Arab. (Beirut: dar al-Sadir, 1414) Jld. 9 Hlm. 65