اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2014: ADAKAH PERAHAN SUSU IBU YANG DITAYANGKAN DIKIRA AURAT?

ADAKAH_PERAHAN_SUSU_IBU_YANG_DITAYANGKAN_DIKIRA_AURAT.jpg

 

 

Soalan:

Assalamualaikum, kebiasaannya wanita yang bekerjaya akan menyimpan stok susu. Bagaimanakah sekiranya ia diletakkan merata-rata di tempat terbuka dan ditayangkan kepada umum? Baru-baru ni terdapat segelintir pempengaruh menunjukkan susu badan penuh dalam 1 peti ais. Hal tersebut telah menyebabkan netizen memberi pelbagai respon negatif. Persoalannya, adakah apa-apa yang cecair yang terpisah dari anggota wanita juga dikira aurat? Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Susu ibu tidak termasuk bahagian aurat wanita yang wajib disembunyikan. Namun, perbuatan menayangkan susu ibu dikhalayak umum mahupun di media sosial boleh mengundang reaksi negatif dalam kalangan masyarakat dan tidak bersesuaian dengan adat dan kebiasaan setempat. Sebagai langkah berhati-hati, para ibu dinasihatkan menyimpan stok susu tanpa mendedahkannya bagi menutup ruang fitnah serta menjaga adab sebagai muslimah yang mementingkan sifat malu.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga Hari Kesudahan.

Umat Islam disyariatkan untuk memelihara aurat dan menjaga maruah mereka. Begitu juga, terdapat pengharaman bagi seseorang untuk melihat aurat ajnabi lain berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain.”

Riwayat Muslim (338)

Pengharaman melihat anggota aurat wanita termasuk apa-apa bahagian yang terpisah daripada anggotanya, namun susu badan tidak termasuk dalam kategori aurat. Perkara ini dinyatakan oleh Sheikh Qalyubi dalam karyanya :


وَالْحَاصِلُ أَنَّهُ يَحْرُمُ رُؤْيَةُ شَيْءٍ مِنْ بَدَنِهَا وَإِنْ أُبِينَ كَظُفُرٍ وَشَعْرِ عَانَةٍ وَإِبْطٍ وَدَمِ حَجْمٍ وَفَصْدٍ لَا نَحْوُ بَوْلٍ كَلَبَنٍ

Maksudnya: “Kesimpulannya bahawa haram melihat sesuatu daripada anggota badan perempuan ajnabi (bukan mahram), meskipun anggota badan yang terpisah daripada badannya seperti kuku, bulu kemaluan, bulu ketiak, darah berbekam, darah yang keluar daripada pembuluh darah dan bukan air kencing seperti susu.[1]

Berdasarkan contoh yang dinyatakan berkaitan bahagian aurat yang terpisah daripada anggota, dapat difahami bahawa cecair yang keluar secara tabii seperti air kencing dan susu tidak dikategorikan sebagai bahagian daripada aurat.

Penutup

Kesimpulannya, cecair susu ibu tidak termasuk bahagian aurat. Walau bagaimanapun, para ibu dinasihatkan menyimpan stok susu tanpa mendedahkan kepada pandangan umum agar tidak mengundang reaksi negatif dalam kalangan masyarakat.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Ahmad Salamah al-Qalyubi, Ahmad al-Barlasi ‘Umairah, Hashiata Qalyubi wa ‘Umairah, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995) J:3 P: 209